7 Lagu Yang Rupanya Dicipta M Nasir Yang Patut Ada Pada Konsert Hikayat
Menyusuri 40 tahun perjalanan muziknya sambil berharap diperdengarkan nafas baru pada karya paling signifikan pernah digubahnya – untuk orang lain.
Oleh Zurina Waji | Foto Luncai Emas
“SOLD out, saya tidak biasa (dengan keadaan ini),“ kata Datuk M Nasir, agak termangu semasa dikhabarkan tiket Konsert M Nasir Satu Hikayat: 40 Tahun Perjalanan pada 23 November depan habis dijual dalam masa singkat, bulan lalu.
“Apa yang berlaku (sebenarnya), saya tidak tahu.”
Dijadual, asalnya untuk hanya satu malam, atas permintaan ramai penganjur Shiraz Projects, baru ini mengumumkan konsert berskala besar itu disambung pada 24 November. “Mungkin,” kata komposer dan penyanyi berusia 62 tahun ini lagi, “kerana peminat sudah lama tidak menyaksikan konsert solo saya.”
Berbekalkan katalog sejak 1979, solo dan bersama Kembara, juga mencipta untuk Sweet Charity ke band rock gergasi Search atau duet malar segar Datuk Jamal Abdillah (Ghazal Untuk Rabiah), Yunizar Hussein (Dua Insan), Allahyarham Tan Sri SM Salim (Seloka Cak Kun Cak) dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini (Sabarlah Sayang), antaranya bagaimana konsert ini akan digarap sebagai sebuah hikayat?
BACA : Tiket Konsert M Nasir Satu Hikayat Panas, Jangan Gigit Jari
Lagu seperti Hati Emas, Kepada Mu Kekasih, Keroncong Untuk Ana dan Suatu Masa selain hits kemudiannya termasuk Mustika, Apokalips, Sentuhan Listrikmu ke Mentera Semerah Padi antara yang membekas dalam jiwa ramai penggemarnya, sebagaimana Tanya Sama Itu Hud Hud, Raikan Cinta atau Hijab Kekasih, misalnya.
Saat M Nasir berkongsi rencananya untuk menyanyikan semula beberapa lagu yang pernah diciptanya untuk orang lain, memikirkan kemungkinan ada lagi magis seperti yang diberinya pada hit Bloodshed, Srikandi Cintaku, nyata mengujakan.
Sambil mengharapkan kejutan, mungkin mendengar M Nasir menyanyikan lagu seperti Seloka Cinta Remaja (M Nasir/ S Amin Shahab) yang berentak cha cha yang dirakam Allahyarham Seha pada 1990 selepas tidak lagi bersama Freedom, kita juga perlu berharap agar tidak akan diberikan Sentuhan Kecundang, nyanyian asal Ekamatra dan seangkatannya.
Ini tujuh lagu ciptaan M Nasir untuk penyanyi lain yang patut dinyanyikan semula pada konsert Hikayat:
SENANDUNG SEMALAM
Senyumlah Kuala Lumpur (M Nasir/ Syed Mohd Amind Syed Hashim) kekal antara lagu dalam senarai all-time favourite saya, namun sejarah M Nasir-Alleycats dilorek seawal debut 1979 mereka, Terima Kasih yang memuatkan hit Jika Kau Bercinta Lagi.
Sering menggunakan S Amin Shahab untuk lirik, M Nasir memberikan band legenda yang ditubuhkan pada 1969 ini lagu-lagu malar segar, daripada seromantis Sekuntum Mawar Sebuah Puisi hingga Setahun Sudah Berlalu, Nota Terakhir dan Andai Aku Pergi Dulu yang menyebakkan.
Pilihan: Senandung Semalam, lirik pertama dinukilkan M Nasir bagi lagu ciptaan Wan Ibrahim dan dinyanyikan mendiang Loga. Dimuatkan di dalam album Terima Kasih, lagu ini bagaimanapun hanya meledak selepas dinyanyikan Datuk Jamal Abdillah pada Bintang RTM 1979 dan muncul juara.
Loga pernah memberitahu Berita Harian: “Dalam banyak lagu Melayu yang saya nyanyikan, Senandung Semalam paling saya suka. Lagu itu benar-benar menyentuh perasaan. Saya menghayati lagu itu. JIwa saya melayang entah ke mana apabila menyanyikan Senandung Semalam.”
Alleycats
AZURA
Ghazal Untuk Rabiah seakan menjadi tuntutan dalam kolaborasi M Nasir-Jamal Abdillah, lewat nyanyian juga penciptaan. Lirik oleh Cenderawasih ini dipercayai merujuk Rabiah al-Adawiyah, wanita miskin dari Kota Basrah yang dikenal kemudiannya sebagai Ahli Sufi kerana kecintaannya yang mendalam kepada Tuhannya.
Hubungan M Nasir-Jamal bagaimanapun, bermula seawal 1979, ketika Jamal menyanyikan Senandung Semalam, lagu Alleycats yang kurang popular. “Saya tak kenal pun siapa M Nasir, masa itu,” kata Jamal mengenai lagu yang dibawanya pada malam akhir Bintang RTM 1979. “Dia belum popular.”
Pilihan: Sandarkan Pada Kenangan, duet Jamal-Ogy Ahmad Daud ciptaan M Nasir mungkin dinobat Lagu Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-5 namun Azura adalah fenomena. Diguna bagi runut bunyi filem 1984 ini yang menggunakan judul sama, Azura juga adalah lagu pertama dicipta M Nasir untuk Jamal.
Azura ,menurut M Nasir dalam satu temubualnya, dihasilkan dalam keadaan dirinya yang ketika itu, “masih struggle, sibuk memikirkan soal nasib sendiri.” Sebab itu, jika Azura diperdengarkan semula, jawapnya? Meletup!
BACA : Kepadamu Kekasih
MILIK SIAPAKAH GADIS INI
Asia’s No.1 Performer yang dikeluarkan pada 1989 adalah album studio terakhir Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad menyaksikan lima daripada 10 lagu yang dimuatkan adalah kolaborasi ciptaan M Nasir dan lirik Sudirman, seperti Antara Hujan dan Air Mata.
Dirakam usai penyanyi yang dijoloki The Singing Lawyer itu menjuarai pertandingan Anugerah Muzik Popular Asean di Royal Albert Hall, London pada tahun sama, Bercanda di Pasiran Pantai duet Sudirman-Anita Sarawak tentu menyerlahkan sisi fun M Nasir sekiranya dinyanyikan semula.
Sudirman
Pilihan: Milik Siapakah Gadis Ini (M Nasir/ S Amin Shahab) daripada album Kul It! terbitan 1986 dan merupakan satu-satunya ciptaan M Nasir . Lagu dengan elemen rock ini dikaitkan dengan fasa kedukaan yang masih dilalui Sudirman berikutan perceraiannya, dua tahun sebelum itu.
BACA : Salam Terakhir Sudirman
KABUT SERANGKAI MAWAR
Zaiton Sameon yang pernah menyertai Bintang RTM 1980, hanya meledak tujuh tahun kemudian selepas debut dengan album Menaruh Harapan terbitan A Ali sesudah Kembara yang turut dianggotai S Sahlan dan M Nasir berpecah.
Pada 1988, dia menggunakan khidmat M Nasir untuk menerbitkan album keduanya, Kabut Serangkai Mawar yang turut memuatkan empat lagu ciptaan komposer itu, antaranya Semalam Satu Cerita (M Nasir/ S Amin Shahab). Setahun selepas muncul dengan album Diriku Yang Tersingkir (1989), Zaiton terbabit dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, 13, dan menjejaskan kariernya.
Pilihan: Kabut Serangkai Mawar yang dicipta M Nasir untuk album kedua Zaiton yang turut disifatkan dekat dengan diri penyanyi itu. Zaiton, kini berusia 62 tahun, dalam satu temubual disiarkan New Straits Times pada 2017, menyifatkan lagu itu antara “sebahagian yang merangkumi kisah sedih di dalam hidup saya.”
Zaiton, lewat satu artikel disiarkan URTV pada 2018, mengimbau kenangan merakam lagu ini bersama M Nasir yang disifatkan “cool orangnya” semasa di studio, “tak garang dan kreatif mencipta lagu dengan gitarnya.”
Zaiton Sameon
NUR NILAM SARI
Cerita M Nasir dan Search bermula seawal album pertama, Cinta Buatan Malaysia pada 1985 yang turut hit dengan Kejora (M Nasir/ S Amin Shahab) dan Cinta Sepi yang kemudian dirakam semula M Nasir. Pada 1987, M Nasir memberikan Fantasia Bulan Madu lewat album ketiga, Mentari Merah di Ufuk Timur.
Namun Isabella (M Nasir/ Bob Lokman) daripada album Fenomena (1989) yang menjulang Search, menebarkan sayap sampai ke Indonesia dengan Amy sebagai frontman. Selepas 30 tahun, lagu yang bersandarkan hanya nama Isabella sebagai panduan M Nasir untuk Bob membuat lirik, terus menginspirasi.
Pilihan: Nur Nilam Sari, bersempena nama bayi perempuan pertama M Nasir-Allahyarham Junainah. Ia dirakam Awie sebagai vokalis gantian lewat album Selepas Banjir (1998). Bait meruntun dalam pengharapan dinukilkan Loloq, membayangi fasa dilalui M Nasir yang kematian isteri akibat barah, tiga bulan selepas melahirkan.
M Nasir, ketika menyanyikan lagu ini pada Konsert Gembala di Singapura pada 1999, mengungkapkannya sebagai “lagu yang agak istimewa” yang “memberi kenangan yang mungkin manis, mungkin pahit.” Pernah dirakam semula bagi album Srikandi Cintaku pada 1999, mood yang diberikan antara paling meramas jiwa.
CINTA KRISTAL
Perkalihan Rahim Maarof ke rock daripada pop Melayu pada awal 80an menyaksikan sentuhan emas M Nasir lewat album Kristal (1988) yang hit, antaranya dengan Hipokrasi (M Nasir/ Usop Kopratasa). Jangan Kau Rayu (M Nasir) yang dibuka dengan tiupan saksafon Jari telah dirakam semula, termasuk oleh Ruhil Amani, Zamani Slam dan Allahyarham Saleem.
Keharmonian Falsafah Cinta, duet M Nasir-Rahim Maarof lewat album komposer itu menyusuli pada 1989. Rahim kembali dengan album studio keenam, Sensitif pada 1990 yang memuatkan, antaranya Istana Menanti (M Nasir) dan Sensitif (M Nasir/ Bob Lokman).
Pada 1991, Rahim ke layar lebar untuk filem arahan Bada Hj Azmi, Syakilla, bergandingan dengan penyanyi, Aisyah. Syakilla, juga judul runut bunyi ciptaan M Nasir yang dirakam Rahim menang Lagu Tema Terbaik di FFM ke-10.
Pilihan: Cinta Kristal, antara ciptaan M Nasir yang menjulang Rahim sebagai penyayi rock dan Kristal yang turut menjalin blues dan pop rock itu yang dikatakan album fizikal terakhir dijual dalam bentuk kaset dan piring hitam, dinobat antara album terbaik.
Disempurnakan oleh lirik Nasir Jani, Cinta Kristal dinyanyikan semula oleh Awie sebagai runut bunyi filem box-office, Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid.
SAMPAI HATI
Lagu cinta mendayu, antara trademark yang memperkemaskan langkah Spring dalam industri muzik tanahair. Ditubuhkan pada 1987, namun hanya debut pada 1991 menerusi album Spring yang menampilkan hit Sejiwa dan vokal Ameng yang tersendiri.
Spring yang sememangnya kuat pop Melayunya turut membuai penggemarnya menerusi lagu-lagu melankolik dengan judul seperti Bourgenvilla, Butakah Cinta, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Romantis, Sejujur Manakah Kata-Kata dan Pesanan Buat Kekasih, selain memulai trend merakam lagu secara akustik.
Pilihan: Sampai Hati barangkali antara lagu paling membekas dalam himpunan gandingan M Nasir dan Allahyarham Juwie yang menukilkan liriknya. Dimuat di dalam album kedua, juga berjudul Sampai Hati (1992), ia kekal No.1 dalam carta lagu popular Spring sampai kini.
Ditambah dengan fakta mengenai kolaborasi M Nasir-Spring yang terhad ini, bagaimana nanti komposer ini akan memilikkan lagu seumpama Sampai Hati tentunya elemen yang akan memberi makna pada perjalanan seninya.
Comments are closed.