for Revenge Raikan 20 Tahun Lewat Titik Sadrah
Sebuah konsert yang membawa band ini kembali ke Kuala Lumpur pada 15 November ini.

Oleh RUMI

“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri dan mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit.”

ADA cerita di sebalik lagu for Revenge yang paling dekat dengan anda?

15 November ini sudah seharusnya dinantikan dengan penuh debar oleh mereka yang telah berkongsi cerita di sebalik lagu pilihan apabila band itu kembali ke Kuala Lumpur untuk konsert Titik Sadrah kelak.

Dianjurkan oleh Neptunes Presents, konsert di Zepp Kuala Lumpur ini adalah bersempena ulang tahun ke-20 mereka.

Jurucakap, Muhamad Hadi Johari, dalam satu kenyataan media, berkata rangkaian lagu for Revenge bukan sekadar muzik buat para penggemarnya.

“Ada lagu yang hadir ketika seseorang jatuh cinta, ada yang menjadi teman ketika melalui perpisahan. Manakala sebahagiannya pula menemani proses untuk menerima dan melepaskan sesuatu yang sudah berlaku.

“Pentas Titik Sadrah di Kuala Lumpur memberi peluang kepada semua cerita itu untuk bertemu dalam satu ruang. Justeru, fans diajak berkongsi lagu for Revenge mana yang paling dekat dengan mereka serta cerita di sebaliknya.

“Cerita dan foto daripada fans akan menjadi sebahagian daripada pengalaman Titik Sadrah di Kuala Lumpur,” katanya mengenai konsert yang dianjurkan dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music itu.

Konsert yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa for Revenge itu juga akan menampilkan kolaborasi bersama artis undangan, iaitu Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Roy Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe.

Bermula daripada kancah muzik Bandung sejak 2006, for Revenge yang merangkumi Boniex Noer sebagai vokalis, Arief ismail (gitar), Izha Muhammad (bes), dan Archims Pribadi (dram) membina perjalanan seni mereka menerusi karya-karya yang mendapat tempat di hati fans.

“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri dan mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit.

“Kini, perjalanan muzik mereka diteruskan di Kuala Lumpur untuk bertemu secara langsung dengan fans di Malaysia yang selama ini mengikuti karya mereka merentasi sempadan,” ujar Muhamad Hadi lagi.

Titik Sadrah akan membawa audiens melalui perjalanan emosi yang mendalam, di mana setiap individu dapat melepaskan perasaan terpendam yang menjadi sebahagian daripada perjalanan seni for Revenge dan fans selama tempoh 20 tahun ini.

Tiket masih boleh didapatkan dengan melayari https://forrevenge.id