Bila Suamiku Anak Mak

Dibintangi, antaranya Emma Maembong dan Keith Foo, saksikan drama terbaru Astro ini mulai 26 Oktober ini.
Oleh RUMI
“… adakah seorang suami perlu memilih antara ibu dengan isteri, atau adakah kedua-duanya boleh dihormati tanpa mengabaikan tanggungjawab dalam perkahwinan?”
PILIH mak atau isteri?
Konflik rumahtangga drama Suamiku Anak Mak yang antara lain, mengangkat persoalan tentang batas campur tangan ibu mentua dalam perkahwinan, meraih perhatian seawal perkongsian trailer rasminya di platform digital yang mencecah 1 juta tontonan dalam masa hanya 48 jam.
Dikongsi menerusi akaun TikTok rasmi BamBam Studios, ia memaparkan kisah Zaara dan suaminya, Haris, serta ibu mentuanya, Mak Leha yang turut menyentuh tentang tanggungjawab suami dan hubungan kekeluargaan.
Paparan konflik yang dilihat dekat dengan kehidupan seharian dipercayai antara faktor yang menarik perhatian audiens, daripada isu suami yang terlalu mengutamakan ibu, isteri yang berasa terpinggir dan campur tangan keluarga dalam rumahhtangga yang sering menjadi bahan perbincangan di media sosial.
Kenyataan medianya menyebut, menerusi kisah Zaraa dan Haris juga, audiens bakal menyaksikan bagaimana hubungan yang dibina atas dasar cinta boleh diuji apabila kehendak Mak Leha sering menjadi keutamaan.
Konflik ini turut mengundang persoalan yang mungkin mencetuskan perdebatan: adakah seorang suami perlu memilih antara ibu dengan isteri, atau adakah kedua-duanya boleh dihormati tanpa mengabaikan tanggungjawab dalam perkahwinan?
Turut menampilkan lakonan Izzue Islam dan Dian P Ramlee, selain Emma dan Keith, Suamiku Anak Mak dilihat mempunyai elemen yang boleh membuatkan audiens bersimpati dengan Zaraa, mempersoalkan tindakan Haris dan menilai sikap Mak Leha.
Persoalan seperti siapakah yang sebenarnya bersalah, selain sejauh manakah seorang ibu boleh mencampuri urusan rumah tangga anak, dan bilakah seorang suami perlu menetapkan batas dengan keluarganya sendiri pastinya menjadi antara perkara yang menarik untuk diperhatikan apabila drama ini mula ditayangkan.
Pencapaian trailer tersebut juga menjadi indikasi awal minat audiens, namun reaksi mereka terhadap jalan cerita dan watak-wataknya hanya akan dapat dilihat dengan lebih jelas apabila episod pertama bersiaran.
Jadi, adakah Zaraa mampu mempertahankan kebahagiaannya? Mampukah Haris mengimbangi tanggunghjawab sebagai anak dan suami? Dan apakah yang bakal dilakukan Mak Leha apabila hubungan mereka semakin tegang.
Segala persoalan akan terjawab dengan menonton Suamiku Anak Mak mulai 26 Oktober ini, jam 10 malam, menerusi slot Megadrama di Astro Ria dan aplikasi sooka.




Comments are closed.