Mr Ragaman! Where Are You??

Full house, namun kenapa terasa ada sesuatu yang hilang di konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat?
Oleh ZURINA WAJI | Foto HITMAN SOLUTIONS
“… Suara Rakyat juga memberikan judul yang dilihat agak underrated seperti Anti Gravity. Atau, apabila video Wasiat Che Det dilayangkan sambil suara tokoh cukup dihormati itu, membalikkan rasa haru.”
DIA paling saya nantikan pada malam Faizal Tahir: Suara Rakyat sekitardua pekan lalu. Iaitu, semenjak penyanyi-komposer prolifik ini memperkenalkan pesona ini menerusi lagu yang diberi judul Ragaman.
Saya jatuh cinta pandang pertama pada lagu dengan vibrasi santai reggae itu, apatah lagi dengan rilisan muzik video yang menyentuh hati di sebalik kelucuan tentang asam garam pasangan yang hidup berumahtangga, dilakonkannya bersama aktres, Nabila Huda.
Juga kerana Ragaman yang dimuatkan di dalam album studio kelimanya, Rojak, dan diciptanya bersama Jaare, Karim Karam, Mike Chan dan Romeo, itu membuat saya mula melihat sosok bernama Faizal Tahir dengan pandangan berbeza.
Kerana buat pertama kalinya, berbanding tema sebelumnya yang agak serius dalam banyak karyanya, kritikan sosial Ragaman bukan saja memberikan genre dan gaya penyampaian berbeza yang membawa sebahagian pendengarnya mengimbau pada mood era P Ramlee, antaranya.
Lebih lagi kerana ia juga menyerlahkan sisinya yang lebih fun, santai dengan gaya yang sedikit nakal.
Sebab tu, di satu titik dalam perjalanan seninya, mengapa menurut saya, dampak Ragaman tidak mungkin diketepikan, terutama apabila membicarakan tentang konsert yang turut meraikan perjalanan seninya yang melewati dua dekad itu.
Tapi, ternyata saya silap.
Harapan yang berbunga untuk mendengar Ragaman di pentas besar yang disediakan penganjur, Hitman Solutions, sebaliknya tinggal angan walaupun lagu itu ada dalam senarai awal yang dikongsi dengan media.
BACA: Ingin Bersara, Tapi Suara Rakyat Buat Faizal Tahir Tewas
Sekilas memang tidak adil juga untuk membahaskan malam Suara Rakyat bersandarkan ketiadaan Ragaman semata biarpun pemilihan lagu seperti Teknologia, antaranya membuat sebahagian masa saya duduk melengung di tengah audiens.
Apakah antaranya kerana mahu mengambil hati Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil yang ikut hadir, dan menaungi, antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menjadikan Tekmologia sebagai lagu rasmi Kempen Internet Selamat mereka?
Jika pak Menteri membuat bangga kerana “membeli sendiri tiket” biarpun ditawarkan percuma sebagai jemputan yang termasuk Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, bagi saya, hutang sebenar Faizal adalah terhadap 10,000 fans yang memenuhi Unifi Arena, Bukit Jalil, malam itu.
Didorong, antaranya keliatan sang idola untuk berkonsert, terutamanya buat fans setia setelah kali terakhir muncul solo di pentas mega, tiga tahun lalu, menjadikan kesempatan seumpama Suara Rakyat satu pertemuan yang amat dinantikan.
“Entah susunan set list, atau mungkin soal stamina sehingga hampir sepertiga durasi dipenuhi cakap-cakap berbanding nyanyian, membuat saya tertanya, apakah saya lagi di konsert atau kem motivasi?”


KONSERT VS KEM MOTIVASI
Energi yang diberikan Batu & Golek dengan muzik kerasnya, harus diakui menjadi pembukaan yang memukau, tercipta di pentas megah yang berlatar visual dan penataan cahaya serta piro, selayaknya untuk sosok bernama Faizal Tahir.
Dengan gitar, kemunculannya yang membiaskan fasa awalnya, siap berjaket kulit hitam bagai menjanjikan sebuah malam yang tidak akan mengecewakan, cukup untuk membuat gegar seluruh arena.
Dia tidak membuang masa untuk menyatukan audiens dengan Gemuruh, kemudiannya, awal bermula bangkitnya semangat patriotisme dan suntikan memotivasi dalam sebahagian karyanya, terutama akhir ini.
Memenuhi ekspektasi, dia menyusul dengan rock balada Cuba yang menurut saya, antara trek terbaiknya ketika dia debut dengan imej rock star dan album Aku.Muzik.Kamu pada 2007 yang membikin mood malam berubah drastik, didukung kemantapan vokal dan kepaduan audionya.
Ia sebagaimana apabila Sampai Syurga dan Mahakarya Cinta, antara yang membawa rasa spiritual, juga daripada album sama, diberikan menjelang penghujung persembahan, sekalian mengimbau nostalgia yang masih terasa hangatnya sampai kini.
Di samping Becinta dan Sejati, antara lagu pilihan fans, saya suka apabila Suara Rakyat juga memberikan judul yang dilihat agak underrated seperti Anti Gravity. Atau, apabila video Wasiat Che Det dilayangkan sambil suara tokoh cukup dihormati itu, membalikkan rasa haru.
Dia juga kembali ke fasa nasyidnya bersama Mirwana, melantunkan Aku Tanpa Cintamu dan Biar Satu Dunia Tahu, sebelum kembali dengan persalinan Melayu yang memberikan, antaranya karya daripada projek Let Zapin seperti Buka Panggung, Orang Kampung dan Tutup Panggung.
Menyulam kesempurnaan apabila Datuk M Nasir meneruskan rasa keMelayuan untuk duet Campak Bintang sebagai kejutan.
Serahkan kepada Faizal yang kembali meniupi bara patriotisme, lagi, mencipta momen yang mennggoncang dada apabila Jalur Gemilang dinaikkan dan berkibar di bawah sorotan neon sebelum memberikan Negaraku / Malaysia, tapi hanya untuk melengung semula dek Fire & Water.
Entah susunan set list, atau mungkin soal stamina sehingga hampir sepertiga durasi dipenuhi cakap-cakap berbanding nyanyian, membuat saya tertanya, apakah saya lagi di konsert atau kem motivasi?
Jujur, ada ketikanya terasa juga seolah di kempen pilihan raya, ada ceramah dan show.
Paling membunuh mood, saya kira, apabila kerisauan akan “overrun” disebut berulang kali yang menimbulkan tentang soal ketulusan. Vibrasi yang kejap hangat, kejap kelam, mula menuai bosan dan perlahan meluputkan keasyikan.
Sedangkan Faizal, saya percaya, punya banyak karya jauh lebih bermakna bagi membiaskan onak ranjau perjalanan seninya. Jka tidak, masakan M Nasir pun mengakui kehadiran Faizal membuatnya “lega”, sekalian dilihat sebagai satu pengiktirafan dan langka daripada sang Sifu.
Sempat, saya bertanya sendiri, adakah Suara Rakyat membuat saya kesal? Tapi ingatan pada Mr Ragaman mungkin saja membawa saya kembali.




Comments are closed.