DOLLA Bawa Muzik ke Eropah

Akhir bulan ini, menerusi DOLLA x Tobii Europe Showcase Tour 2026.
Oleh RUMI
“… jelajah berkenaan adalah yang pertama buat DOLLA di Eropah,sekali gus meneruskan usaha mencipta gelombang baharu dalam membawa muzik pop Malaysia ke pentas global.”
DOLLA bakal menawan pentas muzik Eropah, kali ini menerusi kolaborasi bersama penyanyi rap Def Jam, Thailand, Tobii dalam showcase yang digelar DOLLA x Tobii Europe Showcase Tour 2026, akhir Oktober ini.
Kenyataan media yang dikeluarkan menyebut, jelajah berkenaan adalah yang pertama buat DOLLA di Eropah,sekali gus meneruskan usaha mencipta gelombang baharu dalam membawa muzik pop Malaysia ke pentas global.
Kumpulan wanita terkenal ini dijadual mengadakan persembahan di The A Festival di Paris pada 24 Oktober, diikuti acara Bi Nuu di Berlin (28 Oktober) dan P60 di Amsterdam (29 Oktober). Satu lagi persinggahan berpotensi dijangka diumumkan kelak.
Pendedahan di Eropah dilihat sebagai meneruskan momentum DOLLA yang lebih dulu meraih perhatian di pasaran Asia Tenggara selepas penampilan mereka, antaranya di Clarke Quay, Singapura yang turut menampilkan artis serantau seperti MARBLES dari Indonesia, VVV (Thailand), XONARA (Filipina) dan Lyhan (Vietnam).
Persembahan DOLLA itu diikuti dengan satu lagi penampilan, iaitu sebelum sesi fireside bersama Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Group (UMG) bagi Afrika, Timur Tengah, dan Asia, Adam Granite, bertajuk “Music is Universal. A Look at the Region’s Most Exciting Musical Future.”
Adam, menerusi sesi berkenaan, antara lain menyatakan lebih 130 artis di seluruh rantau ini, kini disokong pengurusan UMG, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk membina khalayak di peringkat antarabangsa. Nantikan pengumuman mengenai jelajah Eropah DOLLA.






Comments are closed.