Saat Air Mata Awie Menitis di Hari Ulang Tahun ke-10 Perkahwinannya

Di sebalik kebahagiaan rumahtangga bintang rock ini, ada cerita yang sukar dilupakan.
Oleh Zurina Waji | Foto Alang Nordin
“Saya ingat lagi perasaan takut itu, takut dia (Ladyana) menolak lamaran ini. Takut dia tidak boleh terima saya kerana ada lima orang anak. Tapi wanita ini berhati kental… “
“SAYA buat majlis (kahwin) itu sampai tiada duit nak bayar ke hotel itu, RM10,000,” kata Datuk Awie, mengimbau kehidupan awal dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Shamsudin yang dinikahinya pada 7 Oktober 2016.
Berkahwin di Songkhla, Thailand, kerana mahu meraikannya bersama keluarga yang mempunyai pertalian di sana, vokalis dan pengasas band rock terkenal, Wings, ini mengakui tidak menduga wanita itu sudi menerimanya yang hidup susah, ketika itu.
“Itulah kenangan yang paling sedih dan juga memberi seribu makna dalam perjuangan perkahwinan ini,” katanya yang “berhempas pulas mencari wang” setelah pulang ke ibukota dan kembali ke Songkhla untuk melunaskan hutangnya dengan “rasa malu.”
“Alhamdulillah, dalam keadaan susah saya, saya bertemu dengan seorang wanita yang sangat memahami diri saya, kepayahan saya, (kami) membina mahligai dalam keadaan paiing susah, ketika itu.”
Perkongsiannya itu pada Majlis Ulang Tahun ke-10 Perkahwinan Datuk Awie dan Datin Ladyana di Gombak, baru ini, menyaksikannya ikut menitiskan air mata air apabila berkata, “Kami memulakan langkah dengan keadaan yang kosong, tiada apa-apa.
“Tapi Alhamdulillah, wanita ini yang saya gelar ‘wanita gila’ yang mahu bersama dengan saya yang pastinya gila dan jahat, juga nakal. Saya sangat bersyukur dengan pertemuan ini dan saya doakan, juga minta anda mendoakan agar perjalanan ini kekal hingga ke jannah.”
Cuba menahan sebak, usai ditenangkan seketika oleh beberapa anaknya, dia menyambung, “Saya bukan seorang lelaki yang sempurna. Saya datang dengan masa lalu. Saya datang dengan luka dan saya datang dengan lima orang anak.
“Saya ingat lagi perasaan takut itu, takut dia (Ladyana) menolak lamaran ini. Takut dia tidak boleh terima saya kerana ada lima orang anak. Tapi wanita ini berhati kental, dia tidak pernah tanya masa lalu saya. Dia tak pernah ungkit, dia terima seadanya saya.
“Dia terima anak-anak saya macam anak-anak dia. Dia sayang mereka, dia jaga mereka, dia didik mereka. Tiga anak saya di bawah jagaannya ke universiti. Terima kasih, terima kasih sebab terima I yang ada anak lima waktu itu.


Di pentas, masih memandang Ladyana dan sempat melayani dua anak kecil yang bergilir memeluknya, pengakuan tulusnya yang berikut menyentuh hati hadirin, “Susah saya rasa bagi seorang wanita untuk menerima anak-anak tiri, tapi Alhamdulillah wanita ini tidak kenal erti payah.
“Teima kasih sekali lagi sebab tak pernah tinggalkan I. Alhamdulillah, Allah balas ketulusan you dengan rezeki yang sangat indah. Allah kurniakan kita dengan dua orang lagi anak-anak yang comel dan manja, anak-anak yang bijak. Sekarang kita ada tujuh, sayang. Kita ada tujuh cahaya mata, tujuh amanah Allah. Syukur, Alhamdulillah.”
Pada majlis berkenaan, hadirin juga diperdengarkan dengan ucapan tahniah daripada tujuh anak mereka, termasuk ucapan hari ulang tahun buat ibu bapa mereka yang sama menyambutnya pada November. Sebelum itu, hadirin juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Merah.
Serentak dengan keraian itu juga diadakan sambutan ulang tahun ke-11 Wings Motors Gang Society (WMGS), sebuah komuniti yang diasaskan Awie atas semangat persaudaraan, minat terhadap dunia permotoran dan kecintaan terhadap motosikal berkuasa besar.
Bermula daripada pertemuan peminat selepas Konsert Wings 30 pada 2012, komuniti ini berkembang menerusi aktiviti tunggangan dan konvoi sebelum ditubuhkan secara rasmi pada 2015 di Tadom.
Pada keraian itu, sebanyak 11 motosikal berkuasa besar Harley Davidson turut memasuki dewan sebagai simbolik sambutan, sebelum dihangatkan lagi dengan persembahan Naib Juara Anugerah Juara Lagu 34, Aman Ra, antaranya menerusi lagu Bangun.
Turut hadir, beberapa aktor terkenal seperti Beto, Sharnaaz Ahmad dan Syed Aiman yang juga merupakan sebahagian daripada komuniti WMGS, selain Datuk Afdlin Shauki dan Datuk Hans Isaac.






Comments are closed.