“Rasa macam balik kampung.” – Reality Club teruja konsert di KL

Juga, ada kejutan menanti fans pada konsert 10 Years of Reality Club Live in KL, 13 November ini.
Oleh Zurina Waji
“… menghasilkan empat album, terbaru Who Knows Where Life Will Take You? dan itu setahun yang lalu. Sebab itu, kami teruja untuk membawakan lagu-lagu daripada album itu di sini… “
“PERTAMA kali kami ke Kuala Lumpur pada 2019, (bermain) di satu tempat yag sangat, sangat kecil. Masa itu, kami baru keluar dengan single Alexandra, tapi semua orang tahu liriknya,” kata Fathia Izzati, mengimbau pengalaman awalnya dan band, Reality Club.
Bersama band asal Jakarta itu, dia yang merupakan pemain kibod dan gitar, selain menyanyi dan menulis lagu, menyifatkan antisipasi yang ditunjukkan audiens Malaysia, ketika itu, sangat hebat.
“Di tingkat dua, bukan?” sampuk pemain bes mereka, Nugi Wicaksono.
Fathia yang duduk bersebelahan, antara Nugi dan pemain dram mereka, Era Patigo, segera menganggukkan kepala dan menyambung, “Iya, macam studio.”
Vokalis, juga pencipta sebahagian besar karya Reality Club, Faiz Novascotiasa Saripudin, yang hanya senyum mendengar perbualan daripada awal, akhirnya bersuara, “Ia memberikan pandangan pertama yang sangat bagus tentang Malaysia, Kuala Lumpur.
“Okey, bayangkan ini ya. Lagu itu dikeluarkan pada Jumaat, sedangkan show kami pada Selasa, atau Isnin, sebelumnya. Baru dua tiga hari dipasarkan, tapi audiens Malaysia sudah menyanyikannya, mereka tahu liriknya.”
Mula meraih perhatian pada 2016 menerusi single Is It The Answer?, dikuti Things I Don’t Know dan Fatal Attraction, band ini memperkemaskan langkah dengan kelahiran album sulung, Never Get Better, setahun kemudian.

BACA: Keraian 10 Tahun Reality Club, November Ini
Sedekad usia mereka, apa lagi cara terbaik untuk meraikannya jika bukan bersama fans pada konsert 10 Years of Reality Club Live in KL yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November ini. Konsert dibawa oleh POST dan Katarsis.
“Dalam 10 tahun, kami telah menghasilkan empat album, terbaru Who Knows Where Life Will Take You? dan itu setahun yang lalu. Sebab itu, kami teruja untuk membawakan lagu-lagu daripada album itu di sini kerana tidak pernah lagi mempersembahkan album itu,” kata Fathia.
Ujarnya lagi, dalam rangka jelajah Reality Club yang meliputi Asia, juga Amerika Syarikat, sememangnya tidak tertanding keterujaan dengan hentian Kuala Lumpur yang akan dilayani dengan lebih 20 lagu, antara yang terbanyak pernah mereka bawa.
“Kami ada jelajah Asia, malah Amerika Syarikat, tapi sebenarnya untuk dapat kembali ke Kuala Lumpur yang seperti rumah kedua, ibarat balik kampung, apatah lagi Malaysia mencatat pendengar kedua tertinggi kami, merentasi seluruh platform muzik.
“Ia sebuah persembahan yang istimewa kerana ada konsep, bukan gig biasa. Tentunya ada kejutan yang menanti dalam persembahan selama dua jam itu. Banyak kejutan, ada tema, seolah membawa anda ke club house kami,” katanya.

BAHASA INGGERIS VS BAHASA INDONEISA
Sempena pertemuan bermakna ini, kata Fathia, satu set list dipersiapkan khusus buat fans di Malaysia.
“Pada konsert ini nanti akan ada banyak penceritaan, antaranya tentang bagaimana kami sampai ke sini. Kerana itu, kami memilih set list khusus untuk Malaysia dengan sebahagian lagunya berbeza daripada persembahan lain, di samping visual yang menarik,” katanya.
Pada pertemuan dengan pemenang dua anugerah, salah satunya Album Alternatif Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia, kesempatan diambil untuk bertanyakan mengenai pengunaan Bahasa Inggeris bagi album mereka.
“Kerana penulis lagu, kebanyakannya Faiz yang lebih yakin untuk menulis dalam Bahasa Inggeris,” jelas Fathia mengenai adiknya itu.
Faiz yang mendengar, senyum berkata, “Jujur, cara terbaik untuk saya meluahkan perasaan saya, cerita saya, adalah dalam Bahasa Inggeris kerana saya lebih banyak bercakap dalam Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Indonesia.
“Saya selesa dengan bahasa itu, alasan utamanya. Sudah tentu ada buruk dan baiknya. Yang baiknya, karya kami mudah diakses di pasaran antarabangsa, tapi yang buruknya, ia tidak boleh hype di negara sendiri.”
Fathia kemudian segera mencelah, “Tapi selepas 10 tahun, kami punya lagu Indonesia, akhirnya yang berjudul Close To You/ Jauh.”
Lagu itu, menurutnya, yang dirakam pada Ramadan di Bangkok, Thailand, mencatat pengalaman bermakna buat mereka.
Sambil ketawa kecil, jelas teruja dengan karya itu, dia menambah, “Lagu itu berbeza bukan saja kerana bahasanya, tapi juga ini adalah topik yng tidak pernah kami sentuh sebelum ini. Iaitu, tentang kerohanian dan kami mendapat sambutan yang baik dengan lagu itu.
“Kami sering ditanya bilakah kami akan menghasilkan lagu dalam Bahasa Indonesia. Kami tidak tertekan, tapi ia datang dengan sendiri. Masa rakaman Close To You/ Jauh keadaan sangat sukar, lagi pula bulan puasa, dan lagu itu juga perlu fikir soal emosi, memikirkan Tuhan.
“Kami semua menangis kerana agak emosi. Aneh, kerana secara teknikalnya ia bukanlah lagu yang sukar pun, tapi menyanyikannya cukup beremosi. Tahu tak apa yang terjadi selepas itu? Bangkok dilanda gempa bumi!”
Tiket terhad masih boleh didapatkan pada harga RM188 (CAT 2) dan RM228 (CAT 1). Sila layari www.ticketmelon.com untuk pembelian.





Comments are closed.