“Nak give up, balik kampung.” – Tapi kenapa Ezad Lazim ubah fikiran?
Berkongsi cerita di tengah kesibukannya, antara konsert Exists dan projek solo lewat lagu baru, Rasa Cinta.

Oleh Zurina Waji

“… digelar “suara telan kaset” ada kalanya membuatnya resah kerana bukan saja dia bimbang dibuai pujian, malah paling dikhuatirinya sekiranya satu hari kelak dia tidak mampu menyanyi lagi.”

“SIAPA kata tak risau? Risau. Kita takut, kita tak tahu tahap kemampuan kita, tak semestinya sama,” kata Ezad Lazim, tidak menyembunyikan kembimbangannya mengenai suaranya di sebalik kekaguman pendengar terhadap keupayaannya.

Sekilas, memang tiada apa sebenarnya hendak dikhuatiri vokalis Exists ini. Kerana entah berapa banyak hati yang telah tersentuh dengan kelunakan lantunannya sejak dia diperkenalkan band pop rock terkenal itu pada 1995.

Iaitu, menerusi album studio ketiga Exists yang menggunakan judul Diammu Gunung Berapi yang merupakan antara hits, selain Alasanmu dan Masih Terserlah Ayumu. Selain suara, Ezad yang ketika itu berusia 16 tahun turut menyumbang sebuah lagu ciptannya, Dalam Kenangan.

Akhir ini, disanjung pendengar sehingga digelar “suara telan kaset” ada kalanya membuatnya resah kerana bukan saja dia bimbang dibuai pujian, malah paling dikhuatirinya sekiranya satu hari kelak dia tidak mampu menyanyi lagi.

“Mungkin sekarang orang tengok Ezad masih boleh menyanyi, menyanyi macam dulu-dulu. Kita tak tahu mungkin satu hari nanti tahap kemampuan saya tak sampai tahap apa yang saya ada sekarang.

“Kita risau juga sebab bila meningkat umur kadang ada tahap kita rasa kemampuan tak sama macam dulu. Mana tahu kalau Tuhan nak tarik (anugerah), Dia tarik sedikit kita tak boleh menyanyi,” katanya.

Akui Ezad, dia juga pernah melalui fasa yang membuatnya memikirkan selama mana dia akan menyanyi.

“Kalau dikutkan, dulu rasa nak give up menyanyi ada sekali. Iaitu, selepas saya keluar daripada Exists,” katanya, terdiam seketika, sebelum menyambung, “kena buang Exists masa itu. Nak mencari tapak secara solo sangat sukar.

“Apabila macam-macam buat asyik tak jadi, masa itu give up dah. Macam nak balik kampung, rasa ‘aku menyanyi mungkin sampai sini sajalah, kekuatan aku tak ada.’ Semasa mula cuba nak tampil solo, tak ada nasib.

“Tapi masih cuba, mungkin terakhir, dan ternyata Tuhan masih bagi peluang sampailah ada sekarang ini. Jadi, saya kena bersyukur. Sebenarnya, Tuhan sentiasa beri kau peluang, jangan kecewalah. Maknanya, Alhamdulillah kekecewaan tidak membawa sampai melarat.”

ANTARA EXISTS DAN IMPIAN

Berat mungkin untuk dibicarakan, namun Ezad mengakui dia tidak boleh lari daripada masa silam.

“Masa itu saya ada masalah ting tong, ting tong… Banyak benda yang kalau kita fikir, ikutkan kalau saya layan benda itu akan membawa saya ke tahap paling bawah.

“Alhamdulillah, mungkin Tuhan mahu bagi aturan yang baik untuk saya. Perlahan-lahan saya balik berubah, dapat semangat balik sampailah sekarang ini. Kita pun tak sangka apa yang berlaku akan menginspirasi kita untuk berkarya, masih diberi Tuhan,” ujarnya.

Ditanya adakah dia merasa muzik antara yang menyelamatkannya, cepat dia mengangguk.

“Ya, betul. Dulu fikir buat muzik ini satu benda yang sia-sia, tapi apabila saya bersangka baik sebenarnya tak boleh kata macam itu. Tuhan dah bagi peluang dalam bidang itu, saya mula main muzik sehabis sekolah saja terus masuk dengan Exists.

“Masa fikir bidang ini tak kena dengan diri, cuba buat benda lain, tapi tak ada jalan. Mungkin sebab seni kuat dalam darah, jiwa itu, jadi tetap nak dalam bidang itu,” katanya yang baru selesai latihan akhir untuk konsert Exists Memento Mori 2.0 di Unifi Arena, Bukit Jalil, 8 November ini.

Kini, menghampiri usia 47 tahun, dia memulai impian dalam bidang penciptaan lagu yang lama tertunda dengan memperkukuhkan profil Ezad & Zeana Ventures Sdn Bhd yang dibangunkan bersama isteri, Zeana, dengan pelancaran single solonya, Rasa Cinta.

Dicipta Ezad sendiri dan lirik oleh Zeana, lagu berentak balada itu diterbitkan labelnya, EZ Record, di mana dia juga bertindak sebagai penerbit, selain terbabit dalam pembikinan muzik videonya. Selain Ezad, EZ Record juga mempunyai dua artis baharu, Adree dan Tika Nasir.

Ikut hati, katanya, dia memang mahu bereksperimen dengan pelbagai muzik namun pengalaman bersama Exists mengajarnya untuk mengenali pasaran, dan paling penting, “Saya tidak boleh syok sendiri.”

Sempat, dia ketawa kecil, sebelum menambah, “Sebenarnya daripada dulu nak buat tapi mungkin tiada keberanian, kewangan dan keyakinan. Tapi keyakinan itu mungkin apabila tengok Exists, Alhamdulillah sukses, ia bagi inspirasi dan semangat.

“Nak bagi lagu kepada orang agak sukar, peluang tak akan diberi begitu saja. Mana-mana pun, kita sendiri kena cari peluang. Saya ambil langkah berani, buat sendirilah. Kalau tidak, bila orang nak ambil lagu saya? Saya bukanlah komposer terkenal, tapi minat itu memang ada.”    Namun tegas Ezad, dalam mengejar impiannya itu tidak bermakna dia akan menepikan Exists, apatah lagi selepas sama mengharungi jatuh bangun untuk sampai ke tahap ini.

Padanlah, dengan dukungan yang diterimanya, mengapa Exists akan terus menjadi sebahagian daripada hidupnya.