Keraian 10 Tahun Reality Club, November Ini
Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, eksklusif, hanya untuk satu malam.

Oleh RUMI

“… Reality Club telah membantu membentuk cita rasa satu generasi pendengar muzik di Asia Tenggara menerusi katalog lagu, merakam realiti perihal cinta, kerinduan dan proses membesar.”

DARIPADA karya indie kegemaran ramai, Is It The Answer? hinggalah pesona santai Alexandra, antaranya, keberadaan Reality Club sememangnya sukar diketepikan.

Sedekad perjalanan yang mengagumkan untuk band asal Jakarta ini mengadakan persembahan ulang tahun yang habis terjual di Jakarta, tahun lalu, diikuti berita mereka menerima lamaran Suneater, label muzik Indonesia yang menaungi beberapa nama penting dalam dunia muzik bebas republik itu.

Momentum itulah yang ingin dibawa POST dan Katarsis Live ke Kuala Lumpur untuk sebuah keraian bermakna yang dijadual berlangsung, hanya satu malam, di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November nanti.

Sejak kemunculan mereka, Reality Club telah membantu membentuk cita rasa satu generasi pendengar muzik di Asia Tenggara menerusi katalog lagu, merakam realiti perihal cinta, kerinduan dan proses membesar.

Karya mereka menjadi suara masyarakat, semakin kukuh dengan kehadiran album studio ketiga, Reality Club Presents… yang menyaksikan band ini memperluaskan warna muzik mereka dengan menggabungkan pelbagai genre, sambil memberikan setiap lagu naratif dan karakter tersendiri.

Cukup untuk membolehkan album itu dinobatkan pemenang Album Alternatif Terbaik pada Anugerah Musik Indonesia, manakala Love Epiphany dipilih Duo/ Berkumpulan/ Kolaborasi Alternatif Terbaik.

Band ini tampil lebih matang menerusi penghasilan album keempat, Who Knows Where Life Will Take You? yang disifatkan, antaranya sebagai karya mereka yang paling yakin dan menyentuh emosi setakat ini.

Kerana itu, penganjur dalam kenyataan media mereka, berkata konsert pada 13 November nanti bukan cuma sebuah persembahan biasa.

Kata kenyataan itu lagi, tidak hanya membawakan himpunan lagu popular, malam itu sememangnya dirangka bagi keraian 10 tahun Reality Club degan susunan semula katalog lagu mereka untuk membentuk sebuah set persembahan yang istimewa.

Fans, menurut penganjur, boleh menjangkakan sebuah persembahan yang berbeza, sekalian meraikan satu detik penting dalam perjalanan Reality Club menerusi lagu-lagu yang telah menjadi runut bunyi kepada pelbagai kenangan dalam hidup mereka.

Ikuti Instagram POST untuk info lanjut.

Akses

  • 13 November 2026
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8 pm

Tiket

  • Pra-jualan bermula pada Isnin, 31 Ogos. Jualan umum dibuka pada Rabu, 2 September
  • Sila layari www.ticketmelon.com untuk pembelian