60 Peratus Tiket Terjual, Bara Lovebites Makin Terasa
Band metal wanita asal Jepun ini bakal buka lembaran baharu buat fans tempatan.

Oleh RUMI

“Konsert ini cukup istimewa kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia. Bayangkan dua pemain gitar, saling bersahut menerusi riff  serta gitar solo berkelajuan tinggi.”

KENAPA kena beli tiket? Pengalaman menonton Lovebites secara live berbanding video di YouTube, misalnya, memang tidak sama.

Sekalian, menjadi peluang untuk fans mencatat memori bermakna dengan penampilan sulung band metal wanita ini di Malaysia menerusi Outstanding Tour Live in Kuala Lumpur selepas jelajah Eropah, United Kingdom dan Jepun.

Dibawakan oleh Rockstage Entertainment, konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober itu juga merupakan sebahagian daripada Outstanding Tour – SEA 2026 yang membawa Lovebites menjelajah rantau Asia Tenggara.

Setakat ini, kenyataan media penganjur menyebut, sebanyak 60 peratus tiket sudah terjual.

“Berdasarkan sambutan awal, konsert Lovebites berpotensi mencatat kehadiran yang menggalakkan,” memetik kenyataan itu mengenai kehadiran band berkenaan. “Konsert ini cukup istimewa kerana ia menandakan penampilan pertama mereka di Malaysia.

“Bayangkan dua pemain gitar, saling bersahut menerusi riff  serta gitar solo berkelajuan tinggi.”

BACA: Awas, KL! Metal Queen, Lovebites Datang

Ditubuhkan di Tokyo, Jepun pada 2016, Lovebites yang dianggotai Asami sebagai vokalis, selain Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bes), dan Haruna (dram) debut pada tahun berikutnya dengan The Lovebites EP diikuti album, Awakening from Abyss.

Dipengaruhi muzik heavy metal British, pemenang trofi Band Baru Terbaik pada Anugerah Metal Hammer Golden Gods pada 2018 ini mencipta identiti tersendiri menerusi gabungan heavy metal, power metal dan speed metal yang diperkukuhkan dengan melodi dramatik serta permainan instrumental berintensiiti tinggi.

“Kekuatan Lovebites bukan sekadar pada vokal Asami, malah kehebatan dua pemain gitarnya, Midori dan Miyako yang sering menjadi perhatian fans melalui permainan gitar yang pantas, teknnikal dan penuh tenaga.

“Permainan bes Fami dan pukulan dram Haruna pula melengkapkan bunyi berat yang menjadi ramuan utama persembahan mereka,” katanya lagi mengenai band itu yang meraih pencapaian terbesar, setakat ini,  selepas persembahan di pentas Nippon Budokan yang menjadi  impian ramai penggiat seni Jepun.

Sila layari www.myticketempire.com untuk pembelian tiket.