Awas, KL! Metal Queen, Lovebites Datang
Band sensasi Jepun ini bakal tampil lewat konsert sulung, Oktober nanti.

Oleh RUMI

“… Lovebites membawa gabungan muzik power metal, speed metal, dan melodic metal yang sarat dengan kemahiran teknikal bertaraf dunia. Bukan band wanita biasa, tentunya… “

“MEREKA bukan sekadar sebuah kumpulan metal wanita, tetapi juga sebuah fenomena global yang memiliki peminat setia di seluruh dunia,” kata Pengarah Rockstage Entertainment, Talib Othman mengenai penganjuran konsert Lovebites.

Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 4 Oktober nanti, konsert yang digelar Lovebites: Outstanding Tour Live in Kuala Lumpur itu juga serentak dengan ulang tahun ke-10 band asal Tokyo, Jepun itu.

Dianggotai Asami sebagai vokalis, Midori (gitar), Miyako (gitar dan kibod), Fami (bass) dan Haruna (dram), Lovebites membawa gabungan muzik power metal, speed metal, dan melodic metal yang sarat dengan kemahiran teknikal bertaraf dunia.

Bukan band wanita biasa, tentunya, pemilik anugerah Best New Band di Metal Hammer Golden Gods Awards di United Kingdom ini juga dikenali sebagai pemuzik virtuoso yang berjaya memecahkan stereotaip dalam dunia heavy metal yang lazimnya didominasi lelaki.

Talib, memetik kenyataan medianya, berkata kehadiran Lovebites sebenarnya sudah lama dirancang oleh Rockstage Entertainment, antaranya sebagai memenuhi permintaan peminat metal tempatan.

“Kami percaya konsert ini akan menjadi antara acara metal paling istimewa, tahun ini, kerana ia menandakan penampilan pertama Lovebites di Malaysia,” katanya, ingin memberikan pengalaman yang setanding dengan persembahan mereka di Eropah dan Amerika Syarikat, selain Jepun sendiri.

“Lovebites terkenal dengan ketepatan muzik, kualiti persembahan, serta tenaga luar biasa di atas pentas. Justeru, kami akan memastikan setiap aspek produksi, termasuk sistem bunyi, pencahayaan, dan pengalaman audiens berada pada tahap terbaik.

Daripada album seperti Awakening From Abyss, Electric Pentagram, Judgement Day, dan Lovebites EP II, peminat boleh menjangkakan hits seperti Holy War, When Destinies Align, The Hamer of Wrath, Shadowmaker, Judgement Day dan We The United pada malam konsert nanti.

Kedatangan band seperti Lovebites, menurut Talib, secara tidak langsung turut mengangkat Malaysia sebagai destinasi penting bagi jelajah artis antarabangsa, termasuk bagi genre rock dan metal dunia.

“Koimuniti metal di Malaysia sangat besar dan sentiasa memberikan sokongan luar biasa. Kehadiran Lovebites membuktikan negara kita semakin diiktiraf  sebagai pasaran penting untuk artis antarabangsa dalam genre ini,” katanya lagi.

Akses

  • 4 Oktober 2026
  • Zepp Kuala Lumpur

Tiket

Sila layari MyTikcetEmpire untuk pembelian