Cecah 3 Dekad, Kenapa Spider Rasa Ralat?

Dalam kesibukan mempersiapkan konsert Spideraya, September ini, ada kenangan yang mengusik jiwa.
Oleh Zurina Waji
“Susunan, kebanyakannya kekal pada karya asal. Jadi, fans tidaklah rasa canggung dengan muzik. Supaya bila dengar bunyi, dengar intro, mereka sudah tahu lagu apa.”
“SAYA percaya setiap orang ada hari dia. Mungkin ini masa kami pula,” kata frontman Spider, Tam Mustafah mengenai konsert terbesar mereka, Spideraya, bersempena keraian ke-30 tahun penubuhan mereka.
Dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, pada September ini, konsert anjuran B7 Resources Sdn Bhd itu adalah persembahan solo ketiga buat band dengan pengaruh muzik ska dan punk itu.
“Selama penubuhan, Spider tidak pernah muncul dengan konsert solo. Kami hanya mula (buat konsert), dua tahun lepas,” katanya, merujuk Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024 yang full house, ketika itu. Tahun lalu, mereka tampil dengan konsert kedua, Spider Unplugged Concert.
“Jadi, kami ambil peluang sebab benda itu dah datang, bukan. Ini masa kami untuk buat live.”
Tam yang ditemui usai majlis pengumuan konsert Spideraya di ibu kota, baru ini, berkata konsert itu digelar sebegitu rupa adalah sebagai sebuah perayaan, iaitu khusus bagi meraikan penggemar mereka.
“Spideraya ini lebih untuk merayakan fans sebab sudah 30 tahun bersama kami,” katanya, mengakui tidak banyak perubahan dibuat pada karya yang akan dipersembahkan. “Susunan, kebanyakannya kekal pada karya asal. Jadi, fans tidaklah rasa canggung dengan muzik.
“Supaya bila dengar bunyi, dengar intro, mereka sudah tahu lagu apa. Kalau ada pun susunan baharu, sikit-sikit sajalah. Tiada susunan yang berat-berat, sekadar teaser. Kalau yang berat-berat, mungkin bila ada rezeki, kita buat rockestra pula.
“Tapi kita lepaskan dulu ulang tahun ini, kita rayakan fans yang menyokong Spider selama ini.”
Bagi yang mengenali Spider, tentu mengetahui band asal Johor ini sudah kehilangan dua anggota asalnya, iaitu pemain bes, Allahyarham Tony yang meninggal dunia pada 2021, manakala gitaris, Allahyarham Napie pula meninggal dunia pada November 2024.
“Hal (Allahyarham) Tony dan Napie adalah satu perkara yang buat saya rasa ralat. Saat kami nak buat konsert, mereka sudah tiada. Seawal konsert pertama, saya selalu membayangkan seronoknya kalau mereka ada.
“Tapi perkara ini bukan dalam kawalan kita. Memang (pemergian) buat saya ralat, tapi tidaklah mematahkan semangat, tambahan adanya Is (pemain bes) dan Pown (gitaris) yang sudi untuk menggalas tanggungjawab yang pernah dibawa Tony dan Napie,” katanya.
Justeru, dia berkata, keraian ke-30 nanti tidak seharusnya dilepaskan tanpa menghidupkan semula kenangan itu.
“Mungkin ada tribute untuk mereka yang sudah tiada bersama kami pada malam konsert nanti,” katanya, sekai gus mengingatkan mengenai banyaknya karya mereka turut disumbangkan penulis lirik terkenal, Allahyarham Loloq.
Justeru, katanya, keraian ini juga tentu akan lebih bermakna sekiranya mereka dapat menghadirkan orang yang bertanggungjawab membuka jalan buat mereka dalam seni, terutamanya Datuk M Nasir.
Ditanya bagaimana perasaan mereka apabila memikirkan akan bermain di lokasi sebesar Stadium Hoki Nasional yang boleh memuatkan tidak kurang 15,000 audiens pada satu-satu masa, Tam ketawa kecil, menjawab, “Masa mula dengan Stadium Hoki, alamak!
“Sebenarnya, lokasi itu kiranya adalah satu-satunya pilihan yang ada memandangkan tempat lain yang diinginkan penganjur sudah penuh. Awalnya, gementar jugalah, tapi penganjur yakin dan pada masa sama, kami ambil ini sebagai cabaran. Kalau ada rezeki (full house), Alhamdulillah.”
Akses
- 26 September 2026
- 8.30pm
- Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil
Tiket
- Aladin (RM158), Kita Satu (RM148), Ngam Ho (RM168), Ankabut (RM208), Bintang 12 (RM238) & Nazraku (RM268)
- Sila layari www.ticket2u.com.my/spideraya untuk pembelian





Comments are closed.