Rindu Dendam Malam Hujan

Di sebalik momen bersejarah konsert ulang tahun ke-20 Hujan dan 17,000 fans mereka yang digelar Raingers.
Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures
“… 20 tahun Hujan dalam showbiz tentunya tidak dijalani tanpa onak dan ranjau – melewati hari diboikot audiens, dilempar kata kesat sampailah ke layangan jari tengah, juga love-hate relationship Noh dengan media… “
“SHOW dia pakai selipar je. Boleh?,” kata Juriah Banding yang sudah bertahun menguruskan kerjaya seni Datuk Ramli Sarip, atau digelar juga Papa Rock, ketawa kecil mengingati Noh Saleh, pendiri band indie, Hujan.
“Tapi, masa itu di awal kemunculan, masih baru dan belum hot macam sekarang.”
Dia yang baru usai menonton beberapa klip video konsert HUJAN XX: #HUJAN20TAHUN , baru ini, ketawa lagi, apabila ditanya, “Selipar jamban?” Dia yang saya teriak Kak Ju, mengangguk sambil berkata, “Tapi saya suka Hujan. Datuk (Ramli) pun suka Hujan ni.”
Saat ini, sebetulnya siapa saja yang tidak kenal Hujan?
Jika bukan pada rupa, harus pada lagunya, daripada judul seikonik Pagi Yang Gelap atau Aku Skandal yang catchy, juga balada sekomersial Bila Aku Sudah Tiada yang mungkin sempat singgah di telinga tanpa menyedari siapa yang menyanyikannya.
Hujan, berbekalkan seberkas bakat ibarat kawah gunung berapi yang hanya menanti saat untuk meledak, lebih dua dekad lalu, dan kedegilan untuk memainkan “apa yang aku suka” adalah antara segelintir yang menerobos dinding mainstream yang terpana dengan vibrasi band indie ini.
Juga, pada sang frontman dan attitudenya.

MYSPACE, RAMBUT BEATLES DAN CERITA DULU
Seorang Raingers muda yang mengakui membesar bersama muzik Butterfingers dan Hujan, apabila ditanya momen paling membekas buatnya pada konsert anjuran ICON Entertainent di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu, berkata, “Yang dengan (Datuk) M Nasir.”
Ditanya lagi, katanya, “Sejarah tu, legenda perform dengan legenda. Dan (segmen) Loque juga.”
Serentak, ia membawa saya kembali ke tahun 2008 silam, semasa kali pertama diperkenalkan kepada Hujan oleh Amer Munawer, mantan ahli grup soul R&B, Ruffedge.
Hujan yang diuruskan Mermotto Productions Creative Soul Business, milik Amer, belum lama debut dengan EP 1,2,3 Go? yang memberikan single Pagi Yang Gelap.
Cuma, bukan hal album yang ditulis sepenuhnya oleh Noh itu yang membawa kepada pertemuan, sebaliknya ia membabitkan inisiatif Click-a-Child (CAC), satu program bagi membantu anak-anak yatim yang digerakkan Amer. Dibantu jurugambar, Fid Fathir, kami memotretkan Hujan untuk sebuah majalah politik dan gaya hidup yang sedang saya jalankan, masa itu.
Noh, saya diberitahu, meninggalkan Miri, ketika itu, mencari peluang di Kuala Lumpur, di mana dia diperkenalkan pula kepada Dimas yang dibawa Amer dari Singapura untuk mendirikan label, Morning Rocket. Selebihnya adalah sejarah.
Jelas, 20 tahun Hujan dalam showbiz tentunya tidak dijalani tanpa onak dan ranjau – melewati hari diboikot audiens, dilempar kata kesat sampailah ke layangan jari tengah, juga love-hate relationship Noh dengan media, antaranya.
Hujan yang bertapak seawal di MySpace, juga Noh dengan rambut potongan ala Beatlesnya yang menggunakan status sederhana bandnya pada 2008 itu dengan meminjamkan kederatnya, termasuk “jadi tukang bawa van” semasa era CAC itu, hari ini adalah gergasi dalam dunia muzik.
Lama sekadar menjadi pemerhati sehinggalah sekitar sepekan lalu berada di celahan lebih 17,000 Raingersyang membawa kepada pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records bagi Largest Audience for a Single Indie Band Live Concert, pengaruh Hujan bukan untuk dipertikaikan lagi.
“Bukan saja dengan kematangan muzik dan persembahan, tapi juga energi yang dilempiaskan. Saya tidak ingin mengatakannya sempurna, namun apalah sangat sepeser glitch dalam isu teknikal, misalnya, kala gelombang energi berbolak-balik antara Hujan dan fans… “

KONKLUSI MALAM HUJAN
Kata pemerhati muzik di Indonesia, selepas Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid, nama ketiga paling berpengaruh di republik itu, saat ini, dalam kalangan artis Malaysia ialah Hujan yang kini turut diaggotai AG Coco, Am dan Izzat, selain Noh.
Bukan saja dengan kematangan muzik dan persembahan, tapi juga energi yang dilempiaskan. Saya tidak ingin mengatakannya sempurna, namun apalah sangat sepeser glitch dalam isu teknikal, misalnya, kala gelombang energi berbolak-balik antara Hujan dan fans, menambat rindu pada scene muzik yang dulu.
Satu masa, di gig kecil, ketika semua bermain dan mendengar muzik bersandarkan keghairahan yang lahir daripada jiwa. Di underground scene yang boleh saja berdiri berpijak di metal, thrash, ke punk, malahan R&B misalnya, membina tapak sebagai pemuzik indie.
Hujan pada tahun ke-20nya tampil gah dalam serba serbi, daripada rekaan pentasnya yang mengikut angka roman, X, kepada sistem bunyi yang menyerlahkan kekuatan muzik mereka. Sambil Noh menguasai lautan penggemarnya, segelintir membuat mosh pit, mata saya terpaku pada AG dan gitarnya yang menambah kehangatan dengan kemunculan Fami Modread yang dari kejauhan itu sempat membuat saya mengira Slipknot terlepas di pentas.

Seawal Benci, adrenalin Hujan mendaki seiring judul seperti 2nd Airwave Malam Minggu, Lonely Soldier Boy, Sangkar Besi di Hatiku, Ahmoi Chantek, Inspektor Remos, Di Kala Bulan Bermain Biola, dan Ludah Amerika hinggalah tirai berlabuh lewat pertunjukkan bunga api yang mengiringi Aku Skandal. Juga Suria, karya yang diangkat dalam pesan solidariti Hujan bersama Palestin dan Syria.
Sungguh, Hujan 20 Tahun dengan energi band yang seolah tidak terkuras menepati interpretasi sebuah keraian yang lama tidak saya nikmati. Juga momen indah yang dicipta kolaborator dalam kalangan anak sealiran, daripada Yuna ke Akim Jahat sampailah ke seniman senior, Datuk M Nasir.
Paling membekas, secara peribadi, penampilan DJ Uno bersama sampling Hujan oleh Allahyarham Sudirman, antaranya, yang memercikkan vibrasi old school untuk cover Lamunan Terhenti dengan susunan yang membuat mulut menganga. Jangan ditanya berapa kali rakaman itu diputar yang membuat senyum sendiri, sekalian membikin rindu pada kemunculan Pop Shuvit.
Ditanya seorang teman industri, sebagus manakah Hujan 20 Tahun, tidak mungkinlah saya menafikan apa yang dilihat, malam itu, yang menurut saya lagi, menjadikannya sebagai “konsert terbaik daripada ICON Entertainment, setakat ini.”
Dia bertanya lagi, “Lebih baik daripada M Nasir? Atau berbanding Dewa?” Tanpa ragu, saya mengiyakan untuk kesekian kalinya sambil membayangkan apakah akan ada pertemuan ke-30. Mungkin.






Comments are closed.