Kala PGL Melewati Cinta ke Sejarah Yang Tak Harus Terlupakan

Bukan cuma muzikal, naskah ini berbicara tentang hal lebih penting, iaitu erti menjadi sebuah keluarga besar.
Oleh Zurina Waji | Foto Enfiniti Productions
“… apabila saya tidak lagi muda, (melihat) banyak mesej moral PGL yang lebih penting sebetulnya, terutama untuk generasi muda. Biarpun generasi tua pun terkadang lupa juga.”
“SAAT Bayan terpaksa meninggalkan dan melepaskan dia pergi, ia satu momen yang memedihkan,” kata legenda filem Indonesia, Christine Hakim, mengimbau kenangan paling membekas semasa penggambaran filem Puteri Gunung Ledang yang dibintanginya lebih dua dekad lalu.
Sebagai Bayan, dia menemani Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah dalam perjalanan hidupnya, melihat puteri Jawa daripada kerajaan Majapahit membesar sehinggalah dia ke Melaka, namun akhirnya hidup terasing di Gunung Ledang.
Ditayangkan pada 2004, naskah arahan Saw Teong Hin itu menyaksikan peran sang Puteri digalas aktres terkenal, Puan Seri Tiara Jacquelina yang juga Penerbit bagi filem dengan bajet mencecah RM20 juta itu.
“Kerana tahu sajalah, bagaimana dalam budaya masyarakat Jawa, setia. Kesetiaan bagi seorang seperti Bayan adalah sangat penting. Bayan sangat setia, berdedikasi dan pengorbanannya itu… Saya fikir apa yang kita lupa dalam era moden ini, tentang filem (iaitu) asas, muzik.
“Ya, itu mengingatkan saya bahagian dalam banyak babak apabila saya menonton filem ini. Ia juga mengingatkan saya tentang nilai. Semasa muda, kita (sebagai pelakon) lebih fikirkan jalan cerita.,” katanya, ketawa kecil.
Christine, dalam pertemuan kami itu, di belakang pentas Puteri Gunung Ledang The Musical di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, Subang Jaya, baru ini, selepas menonton buat pertama kali bersama aktor handalan, Reza Rahadian, melihat perhubungannya dengan Bayan melangkaui layar.

“Tetapi setelah bercakap, 20 tahun, apabila saya tidak lagi muda, (melihat) banyak mesej moral PGL yang lebih penting sebetulnya, terutama untuk generasi muda. Biarpun generasi tua pun terkadang lupa juga.
“Itulah sebabnya saya suka (muzikal) terdapat, apa, antaranya (penampilan) anak kecil itu yang menjadi anak Sultan kerana ia adalah generasi seterusnya,” katanya, merujuk watak Raja Ahmad yang dilakonkan secara bergilir oleh Fiq Aqiel dan Wafi Jr.
Kisah cinta terlarang yang mencabar dua empayar – Kesultanan Melaka dan Majapahit – merupakan versi dipersembahkan Tiara, seawal di layar, bergandingan dengan Datuk M Nasir sebagai Hang Tuah.
Juga disebut PGL, filem terbitan Enfiniti Productions itu turut mengumpulkan pelakon papan atas Indonesia, iaitu Slamet Rahardjo sebagai Patih, dan Allahyarham Alex Komang (Gusti Adipati Handaya Ningrat), selain cameo oleh Dian Sastrowardoyo.
Ia debut sebagai muzikal pada 2006 dengan Tiara sebagai sang Puterii selama tiga musim. Selepas 17 tahun, ia kembali meraikan dua dekadnya, tahun ini, serta menampilkan barisan baharu seperti Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai Puteri Gunung Ledang; Nadia Aqilah dan Mimifly (Bayan); Aqasha (Hang Tuah) dan Luqman Hafidz (Sultan Mahmud Shah).
“… momen Puteri Gunung Ledang. Harapan semoga ini juga boleh menjadi seperti suatu yang menyatukan, menjadi kekuatan buat perhubungan kita, antara Malaysia dan Indonesia.”

BICARA KUASA CINTA
Paling penting, menurut Christine yang sudah lima dekad berjuang dalam dunia seni, dalam keseluruhan naskah muzikal ini adalah bagaimana kuasa cinta berupaya membenamkan perkara lain.
“Kerana apabila kita bercakap tentang cinta, anda lupa tentang kebenaran, tentang perkara lain,” katanya yang mengakui terpukul seawal pembukaan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical yang diarahkan Tiara.
“Apa yang kita ada, kita perlu bersama sebagai manusia, untuk mencintai antara satu sama lain.”
Sepuluh minit pertama muzikal, menurutnya yang meraih pengiktirafan antarabangsa, antaranya sebagai juri pada Festival Filem Cannes 2002 bersama bintang Hollywood, Sharon Stone dan Michelle Yeoh, menyedarkannya tentang sesuatu.
“Sebagai seni, persembahan seninya sangat bagus. Tapi bagi saya, ini keprihatinan saya juga, iaitu generasi baru perlu lebih tahu lagi tentang sejarah kita (bahawa) kita adalah sebuah keluarga yang besar.
“Secara politiknya, kita (hari ini) ada kerajaan Malaysia, Indonesia, Thailand misalnya (tapi) secara sejarahnya, kita adalah keluarga. Ini bagus untuk mengingatkan kita, mengingatkan generasi muda (bahawa) mereka perlu tahu cerita latar belakang keluarga kita. Bagus juga untuk bercakap tentang kuasa cinta,” katanya.


Malam Ahad itu, bintang kelahiran Jambi ini jelas masih menawan biarpun tampil sederhana dengan top batik, bercelana hitam dan sandal merah jambunya. Perlahan, dia mengakui usul itu, bagaimanapun bukan suatu yang mudah memandangkan situasi semasa.
“Tapi saya fikir ini juga amat penting. Apa namanya… momen Puteri Gunung Ledang. Harapan semoga ini juga boleh menjadi seperti suatu yang menyatukan, menjadi kekuatan buat perhubungan kita, antara Malaysia dan Indonesia,” ujarnya.
Kembali kepada pementasan yang melabuhkan tirainya dengan malam Grand Finale, 17 November lalu, Christine melahirkan kekagumannya kepada para pelakon, antaranya Mila yang mengingatkannya pada keseriusan Tiara, berlakon, menari dan menulis semasa PGL difilemkan.
Ini biarpun setelah pemilik sembilan Anugerah Citra, Festival Filem Indonesia ini yang memberikan naskah ikonik seperti Tjoet Nja’ Dien dan Pasir Berbisik, juga Pangku yang merupakan arahan sulung Reza, sengaja menyimpan sedikit keraguan sebelum menonton.
“Tapi sudah tentu saya gembira, teruja dan saya boleh merasakan energinya,” katanya, terharu muzikal PGL masih meraih sambutan. “Saya tak dapat bayangkan bagaimana Tiara memberikan, mengekalkan energinya. Saya fikir itu yang paling sukar, iaitu untuk memberikan secara konsisten.”
Sempat, diusik bagaimana sekiranya dilamar untuk memerankan Bayan lagi, dia ketawa menjawab, “Jangan! Saya sudah tua.” Yang pasti, bertemunya kembali selepas dua dekad, auranya ternyata tidak pernah padam.





Comments are closed.