“You larat ke?” – Bagaimana Gerak Khas 2.0 bakar semangat Datuk Dr. Yusof Haslam

Siri kepolisian ini kembali, kali ini ke TVS, menyambung legasi yang menghampiri tiga dekad.
Oleh Zurina Waji
“… masa disiarkan di RTM, ada yang bertanya ‘Apa pasal kau tak habis-habis?’ Lillahitaala, saya tiada kabel.”
“KADANG kawan-kawan (cakap) ‘Wah! Kabel you bagus ya,” kata sutradara terkenal, Datuk Dr. Yusof Haslam, mengingati pandangan sinis yang pernah dilemparkan apabila drama bersiri Gerak Khas beroleh tayangan, musim demi musim.
Sambil ketawa kecil, dia menyambung, “Kabel apa? Kau ingat (stesen) TV itu bapa aku punya?”
Ada nada kesal menyaluti bicaranya apabila mengenang kecaman terhadap siri kepolisian itu yang memulai tayangannya di RTM pada 1999 sebelum ia melabuhkan tirainya di TV3 tanpa menduga ia akan dihidupkan semula di TVS, segelintirnya datang daripada pemain industri sendiri.
“Macam dulu juga, masa disiarkan di RTM, ada yang bertanya ‘Apa pasal kau tak habis-habis?’ Lillahitaala, saya tiada kabel. Ada antara menteri yang bertukar ganti di RTM, mendakwa ramai produser bertemunya pasal kabel ini.
“Saya tak nak sebut siapa, tapi dia mahu menghentikan Gerak Khas atas alasan banyak aduan sehinggalah ada orang di RTM beritahu itu program utama mereka. Terkejut menteri itu, tak jadi berhentikan Gerak Khas,” katanya.
Francais ini diberikan nafas baharu menerusi Gerak Khas 2.0 yang menampilkan lakonan bertenaga Anding Indrawani, Nabiha Aimi, Emily Elizabeth, Afiq Muiz, Fezrul Khan, Zen Ng, Meynillen Thamil Selvan serta bakat kelahiran Sarawak, Marzella Sigai.
Diterbitkan oleh Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions, Yusof yang bertindak sebagai sutradara turut membuat penampilan bersama wajah ikonik drama ini, antaranya Erra Fazira, C.Kumaresan, SAC (B) Datuk Shaharom Anuar, Deen Maidin dan Salina Saibi.
Gerak Khas 2.0 juga menampilkan Sarawak sebagai sebahagian daripada latar penceritaannya yang meliputi ancaman jenayah yang lebih kompleks, konflik yang lebih mendalam, dan visual yang lebih sinematik.
Pada usia 72 tahun, Yusof yang pada era 90an digelar Six Million Dollar Man susulan rekod box-office yang mencecah jutaan Ringgit menerusi kutipan bagi filem Sembilu II, bersyukur dia masih diberi kudrat untuk meneruskan perjuangan seninya.
Dia senyum mengingati kegusaran isterinya, Datin Patimah Ismail apabila dilamar TVS untuk menghidupkan semula Gerak Khas.
“You larat ke, kata isteri. Walaupun (umur) 72 tahun, saya tak anggap diri saya 72. Saya anggap diri saya 50 tahun. Untuk apa? Untuk saya meneruskan perjuangan (seni). Ada saja kawan-kawan yang sudah pencen ajak minum di kedai kopi, tapi saya tiada masa.
“Ada yang kata, umur 72 pun nak kerja lagi? Sebenarnya, saya enjoy kerana saya menyukai bidang ini dan dengan izin Allah, syarikat saya (Skop Productions) bertahan selama 41 tahun. Bukan sebab saya hebat, bukan anak-anak saya hebat, tapi kerana sokongan masyarakat. Alhamdulillah,” katanya.
Kemudian, dengan nada berseloroh, dia menambah, “Menteri sudah bertukar mungkin dekat 10 kali, Perdana Menteri pun sudah tujuh kali. Malah Ketua Polis, seawal Tun Hanif Omar, masa itu Tan Sri, masih berseragam kuning dan masuk 10 Ketua Polis, tapi yang tak pencen saya saja.”
“A Galak, umur dia 85 tahun. Datuk Rahim Razali, 87. Tahu kenapa saya ambil orang tua ini berlakon? Sebab saya tak mahu mereka diliupakan oleh generasi baharu.”

Info
– Gerak Khas mula diperkenalkan pada 1999
– Ditayangkan selama 20 musim dan 1,054 episod
– Diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Drama Prime Time Paling Lama Bersiaran di Malaysia
– Gerak Khas: The Finale melabuhkan tirainya pada 2021
Siri Gerak Khas, menurut Yusof, tidaklah begitu menguntungkan daripada segi perniagaan, namun ia sentiasa membakar semangatnya untuk terus berjuang membawakan karya sebegitu buat tatapan audiens, seraya meninggalkan imej positif terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Orang tanya kenapa tidak fokus pada siri penyiasatan saja, tapi saya beranggapan ia akan membuat orang bosan. Sebab itu, Gerak Khas diselitkan cerita keluarga, antaranya tentang masalah dalaman yang dihadapi.
“Jika ada satu dua kes (salah), janganlah labelkan seluruh pasukan polis itu buruk. Polis juga manusia biasa yang ada melakukan kesilapan, tiada siapa yang sempurna. Itu manusia, waima politik pun tidak sempurna,” katanya yang meraih perhatian pada naratif jujur Gerak Khas 2.0 yang akan turut mempamer sisi gelap sebagai mesej kepada masyarakat.
Gerak Khas 2.0 juga menyisipkan penghormatan Yusof buat bintang veteran, A Galak dan Datuk Rahim Razali.
“A Galak, umur dia 85 tahun. Datuk Rahim Razali, 87. Tahu kenapa saya ambil orang tua ini berlakon? Sebab saya tak mahu mereka diliupakan oleh generasi baharu. Rahim, saya hormati sebagai pengarah, seorang tokoh besar dalam industri. Dia memegang watak bapa Salina Saibi dan berkawain baik dengan A Galak, seorang bekas anggota polis.
“Rahim juga adalah pengulas sukan yang hebat, selain seorang sutradara yang hebat. Manakala A Galak, saya menghormatinya. Dia bersama saya sejak saya mendirikan syarikat saya pada 1985 dan dia bekerja dengan saya tanpa henti, sampai sekarang. Dialah kawan sejati saya. Jadi, saya ambil mereka ini supaya mereka tidak dilupakan,” jelasnya.
Gerak Khas 2.0 telah pun memulai tayangannya di TVS pada 3 Julai lalu, dan bersiaran pada setiap Jumaat jam 8.30 malam menerusi saluran 122 di MYTV, Astro dan Unifi TV, selain di aplikasi TVS INSPIRE.





Comments are closed.