Malam Eksklusif Kembara 25 Tahun Shila Amzah
Berbekalkan 40 lagu, dan penampilan khas daripada DJ Fuzz ke Mimi Fly, ini adalah sebuah keraian.

Oleh RUMI

“Ia bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.” – Penyanyi, Shila Amzah

“SAYA percaya setiap lagu yang pernah saya nyanyikan mempunyai cerita tersendiri,” kata Shila Amzah yang menghimpunkan 40 judul, merangkumi lagu Melayu, Mandarin dan Inggeris, bagi konsert ‘KITA – 25 Tahun Bersama’, Ogos nanti.

“Saya mahu menghidupkan semula semua kenangan itu bersama para peminat yang sentiasa berada di sisi saya sejak hari pertama.”

Justeru, menurutnya, malam di lokasi ikonik, Genting Highlands itu bukan sekadar konsert.

“Ia bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 saya dalam industri muzik, tetapi lebih kepada menghargai setiap insan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya lagi yang menghargai peminat yang menyokongnya tanpa berbelah bagi, selama ini.

Dianjurkan oleh Pink Asia dengan sokongan Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia, konsert yang juga bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu dijangka meraih kehadiran lebih 5,000 audiens, termasuk dari China, antara negara yang mengumpul peminat terbesarnya.

Bukan sekadar sebuah konsert, ia juga adalah sebuah perjalanan muzik yang merentasi pelbagai era kerjaya Shila, lengkap dengan produksi bertaraf antarabangsa, susunan muzik eksklusif serta visual yang bakal memberikan pengalaman luar biasa kepada audiens.

Apa ada masa konsert?

  • 40 lagu akan diperdengarkan, antaranya judul ikonik seperti Ada Saja, Tragik, Kita Berdansa, Patah Seribu Hatiku, Oscar Winning Tears, Forever Love, Masih Aku Cinta, Memori Tercipta dan Temberang.
  • Menampilkan tribute khas seperti Tribute Sudirman, Tribute Michael Jackson dan medley Fish Leong
  • Kolaborasi dengan artis seperti DJ Fuzz, Balan Kashmir, Kidd Santhe, Mimi Fly dan Hael Husaini.

Shila mengakui teruja untuk berkongsi pentas dengan rakan artis yang turut mewarnai industri muzik tempatan.

“Malam tersebut akan menjadi sebuah persembahan yang sangat dekat di hati saya. Saya juga sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan rakan-rakan artis yang saya hormati kerana masing-masing mempunyai  identiti dan kekuatan tersendiri.

“Saya percaya gabungan ini akan menjadikan ‘KITA – 25 Tahun Bersama’ lebih istimewa dan saya berharap semua yang hadir akan pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya, melahirkan harapan terhadap keraian jubli perak itu.

Pengarah Pink Asia, Ravivarman Vicraman, menerusi kenyataan medianya, mengakui pihaknya berbesar hati dapat merealisasikan sebuah konsert yang meraikan pencapaian luar biasa seorang ikon muzik Malaysia yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Shila Amzah bukan sekadar penyanyi  bertaraf antarabangsa, tetapi juga simbol kecekalan, dedikasi, dan kebanggaan industri muzik Malaysia. ‘KITA – 25 Tahun Bersama’  dirancang sebagai sebuah produksi premium yang menggabungkan elemen muzik, visual dan penceritaan bagi menghargai perjalanan seninya selama suku abad,” katanya.

Konsert itu juga, menurutnya, menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai bakat tanah air dalam satu malam yang penuh makna dengan memenuhi jangkaan peminat tempatan, selain mampu menarik lebih ramai pengunjung luar negara bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, sempena kempen promosi Coffee Bean x KITA, peminat boleh mendapatkan diskaun segera 10% bagi setiap pembelian menerusi ticket2u.com.my atau rwgenting.com.

Pemegang tiket juga layak menikmati diskaun 20% bagi makanan dan minnuman di cawangan The Coffee Bean & Tea Leaf Malaysia yang mengambil bahagian dengan menunjukkan tiket dalam masa tiga hari dari tarikh pembelian.

Akses

  • 15 Ogos 2026
  • 7pm
  • Arena of Stars, Resort World Genting

Tiket

  • RM149 (SA5), RM199 (SA4), RM249 (SA3), RM249 (SA2), RM399 (SA1) & VIP RM599
  • Sila layari www.ticket2u.com.my untuk pembelian