Siapa Bakal Sertai Reunion Terakhir Sembilu?
Pada malam paling dinantikan yang digelar Sembilu 2.0 The Last Reunion Live in Concert.

Oleh RUMI

“… Sembilu 2.0 lebih dinantikan adalah kejutan yang menanti peminat dengan merahsiakan identiti barisan artis lebih dului bagi mengekalkan elemen eksklusif dan keterujaan… “

NOSTALGIA bakal menggamit perasaan, lagi, dengan kemunculan Sembilu 2.0 The Last Reunion Live in Concert, tahun depan, yang menghidupkan kenangan pada fenomena filem Sembilu satu ketika dulu.

Ia dijadual berlangsung di Stadium Merdeka pada 16 Januari nanti.

Dianjurkan oleh TJTM Entertainment, konsert berskala mega ini diadakan susulan kejayaan luar biasa penganjuran konsert Sembilu pada Februari lalu yang menampilkan bintang utama filem 90an itu, iaitu Datuk Awie, Datuk Ziana Zain dan Erra Fazira.

Kenyataan media penganjur, antara lain menyifatkan konsert berkenaan yang boleh ditonton dengan tiket pada harga serendah RM309 seorang, tentunya akan membawa makna yang lebih istimewa.

“Mengangkat tema The Last Reunion, penganjuran kali ini membawa makna yang lebih istimewa sebagai sebuah pertemuan yang dinanti-nantikan, menghimpunkan kembali kenangan yang pernah mencipta sejarah dalam industri hiburan tanah air,” menurut kenyataan itu.

Meneruskan momentum kejayaan edisi terdahulu, Sembilu 2.0 tampil dengan peningkatkan daripada segi skala produksi, konsep persembahan, susunan muzik serta pengalaman hiburan yang lebih eksklusif.

Kenyataan itu menyebut, “Kali ini, konsert bakal berlangsung di Stadum Merdeka, Kuala Lumpur sebagai sebuah lokasi bersejarah yang cukup sinonim dengan penganjuran acara dan persembahan berskala besar negara.

“Pemilihan ini mencerminkan aspirasi penganjur untuk membawa Sembilu 2.0 ke satu tahap yang lebih tinggi, sekali gus memberikan pengalaman konsert yang lebih gah, istimewa dan tidak dapat dilupakan.”

Apa yang menjadikan Sembilu 2.0 lebih dinantikan adalah kejutan yang menanti peminat dengan merahsiakan identiti barisan artis lebih dulu bagi mengekalkan elemen eksklusif dan keterujaan menjelang pengumuman rasmi.

“Peminat juga boleh menjangkakan pemilihan lagu yang lebih mantap, susunan muzik yang diperbaharui serta rangkaian lagu-lagu ikonik yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan filem Sembilu.

“Setiap persembahan dirancang untuk menghidupkan kembali momen romantis, konflik, persahabatan dan emosi yang menjadikan Sembilu sebuah karya yang terus dekat di hati peminat sehingga hari ini,” ujar kenyataan itu.

TJTM Entertainment, sebuah syarikat hiburan di bawah naungan pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, yang sebelum ini turut meraih kejayaan dengan konsert 40 Dekad Fauziah Latiff, komited untuk memastikan Sembilu 2.0 menjadi sebuah produksi berkualiti tinggi yang mampu memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat dan industri hiburan tanah air.

Akses

  • 16 Januari 2027
  • Stadium Merdeka, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • Halaman Asmara (RM1,399), Senja Nan Merah (RM1,019), Di Ambang Wati (RM659), Setiaku di Sini(RM409), Cinta Abadi (RM329), Di Penjara Janji (RM359) & Pasrah (RM309).
  • Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 27 November, mulai jam 12 tengah hari.
  • Sila layari www.ilassotickets.com/sembilu2