Exists Balik Kampung 9 Januari 2027
Lewat Konsert Exists Pulang Live in Johor Bahru yang bakal mengamit memori

Oleh RUMI

“… membesar dengan lagu-lagu Exists. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mendengar lagu yang sama.” – Musa, pemain bes

“JOHOR adalah tempat kami bermula. Di sinilah perjalanan Exists dibentuk, di sinilah kami belajar mengenal muzik dan mengejar impian,” kata pemain kibod, Ajai, tentang kepulangan ke Johor lewat Konsert Exists Pulang Live in Johor Bahru yang dianggapsebagai cukup istimewa dan ada nilai sentimental.

“Apabila diberi peluang untuk kembali dan mengadakan sebuah konsert besar di negeri sendiri, perasaannya memang berbeza. Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan, tetapi tentang pulang dan menghargai tempat yang membentuk siapa kami hari ini.”

Mengangkat tema Pulang, konsert ini dianjurkan oleh Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures.

Konsert ini bakal menjadi sebuah pertemuan penuh nostalgia yang menghubungkan semula karya-karya malar segar Exists dengan kenangan dan pengalaman hidup peminat, merentasi generasi.

Dijadualkan berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, pada 9 Januari tahun depan, kepulangan Exists juga bakal menghadiahkan momen istimewa, bukan saja buat anggota band ini, malah peminat, terutama yang mengikuti perjalanan mereka seawal kemunculan pada 1991.

Konsert Exists Pulang Live in Johor Bahru menyaksikan gabungan semua tujuh ahli yang pernah dan masih bersama Exists, iaitu Mamat dan Ezad sebagai vokalis, Along dan Shah (gitar), Musa (bes) dan Ujang (dram), selain Ajai.

Gabungan ini, menurut kenyataan medianya, menjanjikan sebuah persembahan yang meraikan perjalanan penting Exists, selain menghidupkan kembali lagu-lagu popular yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan dan kehidupan peminat.

Musa, dalam kenyataannya pula, menyifatkan konsert ini sebagai peluang untuk menghubunhgkan kembali perjalanan muzik Exists yang setia seawal kemunculan band remaja ini.

“Kami tahu ramai yang membesar dengan lagu-lagu Exists. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mendengar lagu yang sama.

“Kami mahu malam ini menjadi satu pertemuan antara generasi. Kami mahu peminat datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi juga merasai kembali kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya.

Konsert ini, menurut penganjur, merupakan sebuah perjalanan pulang ke akar, tempat bermulanya perjalanan seni mereka sebelum nama Exists dikenali  dan mencipta fenomena dalam industri muzik Malaysia.

Lebih daripada sekadar mengimbau nostalgia, konsert ini turut menjadi simbol kebangkitan dan kemunculan semula Exists di pentas berskala besar, dengan semangat serta tenaga baharu untuk kembali mendekati peminat.

Pada masa sama, ia membawa mesej tentang penghargaan terhadap asal usul, persahabatan, perjalanan panjang dalam dunia seni serta ikatan istimewa antara Exists dan para peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

Konsert Exists ini merupakan kolaborasi kedua antara Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan penganjuran Wali Live in JB, awal Oktober lalu, yang meraih kehadiran 14,000 audiens.

Nusantara Live Entertainment, menerusi wakilnya, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman, berkata Konsert Exists Pulang Live in Johor Bahru meraih sambutan menggalakkan dengan lebih 50 peratus tiket sudah terjual.

“Pemilihan Exists sebagai artis utama turut membawa nilai sentimental tersendiri memandangkan Johor merupakan tempat kumpulan tersebut sebelum menempa nama dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Akses

  • 9 Januari 2027
  • EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor

Tiket

  • Janji Padamu (CAT 4) RM98, Julia (CAT 3) RM138, Bunga (CAT 2) RM 168, Jesnita (GA) RM149, Alasanmu (CAT 1) RM428 & Untukmu Ibu (Super VIP) RM928
  • Sila layari www.myticket.asia untuk pembelian.