Saat Gerimis Mengundang Sempurnakan Unplugged Slam

Bagaimana sebuah lagu menyimpulkan kehebatan sebuah band walaupun selepas lebih tiga dekad.
Oleh Zurina Waji
“Sedang Zamani? Sang pelunak hati yang mampu membikin hatta pari-pari yang berkejaran di kaki pelangi pun terhenti, terpaku.”
KATA JoBranko, band ini “king dalam pop rock.” Bukan kenyataan kecil, tentunya. Juga, bukan sekadar omongan apabila ia dihamburkan pemuzik dengan kedudukan seperti pendiri band Barbarik ini.
Memang dia merupakan salah seorang daripada artis jemputan pada konsert The Grand Slam Unplugged 2, baru ini, bersama dua lagi pemuziik hebat, Kid Search dan Nan, namun jauh daripada membodek, bicaranya jelas berbaur penghormatan.
Jika ada yang ingin menafikan, dipersilakan.
Tapi Slam yang melewati usia lebih tiga dekad sejak penubuhan mereka adalah juga pemilik kepada katalog yang banyaknya membuai rasa seawal era kaset, lama sebelum munculnya generasi lagu galau, misalnya.
Ini biarpun dengan kejayaan komersial yang hanya mula diraih pada album kedua, Kesan Terbukti pada 1995, dua tahun selepas debut underated mereka yang menggunakan judul dengan nama sama, Slam, serta memberikan karya seperti Nina dan Buat Seorang Kekasih, antaranya.
Sedang Zamani?
Sang pelunak hati yang mampu membikin hatta pari-pari yang berkejaran di kaki pelangi pun terhenti, terpaku. Drama sungguh!
Tapi saya bukan peminat tegar Slam. Begitu pun, ada beberapa lagu mereka yang merupakan all-time favourite yang saya kira mendukung kerelevanan mereka, merentasi sempadan dan masih besar pengaruhnya, terutama di Indonesia dengan puluhan juta album terjual, satu ketika.
The Grand Slam Unplugged 2 mungkin dianjurkan SS Karya Venture sebagai sekuel kepada Slam Live Concert Unplugged yang pernah dipentaskan di Stadium Negara pada 1996, dan walaupun tidak tertanding vibrasi yang pernah dibangkitkan, nostalgia tetap mengetuk pintu hati yang membuat penggemar Slam, terutamanya, untuk Tak Mungkin Berpaling.
“… hilang apa jua keresahan yang ada sebaik Jo, Kid dan Nan kembali ke pentas, dan disertai Shah, malam jadi saksi empat hero gitar memadu asmara, melagukan secara terhormat tanpa perlu bertingkah demi validasi, memberikan justifikasi kepada karya agung Slam itu.”
BACA: “Slam, king dalam pop rock.” – JoBranko


TRIBUTE HIDUPKAN MALAM
Biar berada antara 4,000 penggemar Slam, separuh masa pertama konsert sempat membuat saya gusar lantaran masih belum menemukan rasa yang seharusnya membuai. Adakah set lagu yang tidak mengimbangi Rindiani dan Syair Pari Pari, misalnya?
Atau, pentas dan latar yang terasa datar ketika saya mengharapkan Slam – gitaris, Shah, Lili (bass), Eddie (kibod) dan Man (dram), selain Zamani – yang diiringi pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan serta pemuzik undangan, Shafik (gitar) dan Paang Zaman (perkusi) tidak cukup dominan secara lahirnya?
Saya membisikkan kepada teman di sebelah tentang malam awal yang terasa “kurang garam” sambil fikiran menerawang ke malam blackout 1996 dan Slam dengan penampilan serba putih mereka di Stadium Negara, ketika itu, berakustk dalam konsert bersejarah yang dikuasakan hanya oleh set generator untuk ditandai kemudiannya dengan album Slam Live Concert Unplugged.
Hati hanya mula berbunga apabila malam Slam berubah rentak dengan kemunculan Nan yang tampil cool berjaket military, memperindahkan Sentuhan Listrikmu lewat segmen tribute yang menyaksikan Zamani melunakkan karya paling seksi Datuk M Nasir itu.
Intanku Kesepian yang menyusul, seperti diduga, membalas kerinduan pada sentuhan Jo yang tidak pernah gagal untuk membuat audiens asyik melihatnya membelai tali gitarya lewat nafas segar buat karya asal Wings itu, juga ciptaan M Nasir dan lirik Allahyarham Bob Lokman.
Manakala Kid dan Gadisku? Tanpa memaksa, sentuhan Kid mengundang damai yang didamba.
Nan, dalam temuramah awal, membuat rasa haru apabila mengakui tidak menyangka pemuzik sepertinya akan diundang Slam, sepertimana Kid yang merendah diri , di sebalik statusnya sebagai antara pemuzik paling dikagumi, menyifatkan satu penghormatan untuk bermain di sisi Slam.

EMPAT HERO GITAR DAN SEORANG PENYANYI KESAYANGAN
Shah yang juga Pengarah Muzik dan Seni konsert, mengesahkan apa yang disebut Jo, Kid dan Nan mengenai kebagusannya sebagai pemuzik, dan bersama Eddie, menjadikan duo ini sosok yang bertanggungjawab memperkemas muzik Slam, terdengar harmoni dan dewasa.
Tribute yang walaupun hanya tiga lagu membawa pengertian mendalam yang tidak terbatas pada penghormatan terhadap pemuzik dan band senior yang menginspirasi, malah menjadi pernyataan halus sebagai satu penghormatan yang lebih besar buat seniman bernama M Nasir.
Slam mengekalkan momentum dengarn himpunan karya komersial Slam, antaranya Kembali Merindu, Jika Kau Rasa Getarnya, Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih, dan Kembali Terjalin, sebelum menghilangkan dahaga audiens dengan Gerimis Mengundang yang paling dinantikan.
Serentak, hilang apa jua keresahan yang ada sebaik Jo, Kid dan Nan kembali ke pentas, dan disertai Shah, malam jadi saksi empat hero gitar memadu asmara, melagukan secara terhormat tanpa perlu bertingkah demi validasi, memberikan justifikasi kepada karya agung Slam itu.
Saya tidak pasti, apakah kerana kondisi Zamani yang berusaha keras memperlok persembahan dalam keadaan tubuh membongkok yang membuat hati luluh, atau disebabkan suara uniknya yang menyentap halus jiwa yang membuat instrumen empat hero gitar tadi seolah ikut menangis?
Entah berapa banyak versi Gerimis Mengundang yang boleh didapatkan di YouTube, misalnya – kata Nan, sekitar 15, tapi ada juga yang kata tak kurang 20, namun hakikatnya tidak tertanding dengan rasa yang diberikan Zamani, hanya dia, memukul perlahan perasaan tapi dalam.
Saat audiens memberikan standing ovation kala Slam melabuhkan tirai mereka, saya melihat maksud Jo ketika dia mengungkapkan Slam, “king dalam pop rock” sambil mata bertumpu pada Zamani, mengenang perjalanan band ini, dan magis Gerimis Mengundang yang tak pernah padam.




Comments are closed.