“Slam, king dalam pop rock.” – JoBranko
Di konsert The Grand Slam Unplugged 2, malam nanti yang bakal mengesahkannya.

Oleh Zurina Waji

“…Shah ajak saya (jadi artis jemputan), saya cakap ‘okay Shah.’ Saya tak ada nak minta apa-apa kerana bagi saya, memang saya kena sama terbabit. Sebab Slam ini satu kumpulan yang kalau dikira semasa generasinya, dengan muzik yang mereka bawa, kira king dalam pop rock.” – JoBranko

“PENGHORMATAN itu kena beri kepada mereka,” kata pemain gitar legenda, JoBranko, mengenai Slam, band pop rock terkenal yang kembali ke pentas, malam ini, lewat konsert The Grand Slam Unplugged 2.

Ia suatu yang wajar, ujarnya, buat band seumpama Slam yang kini mencecah usia 33 tahun.

“Slam, band pop rock yang bertahan sampai sekarang,” katanya pada petang pertemuan, usai sesi latihan konsert bersama Slam dan Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya, baru ini.

Akuinya, dia tidak peru berfikir dua kali apabila dilamar Shah, pendiri Slam, untuk beraksi sepentas sebagai artis jemputan bagi malam Unplugged 2 yang turut menampilkan dua lagi gitaris hebat, Kid Search dan Aznan Alias yang lebih dikenali sebagai Nan.

“Sebab mereka ini semuanya pemuzik yang hebat-hebat sebenarnya, cuma mereka main muzik yang mellow, tapi mereka ini rockers juga sebenarnya dulu. Pasal mereka ini boleh kekal sampai sekarang, jadi band ini memang kita kena (hormat).

“Macam apabila Shah ajak saya (jadi artis jemputan), saya cakap ‘okay Shah.’ Saya tak ada nak minta apa-apa kerana bagi saya, memang saya kena sama terbabit. Sebab Slam ini satu kumpulan yang kalau dikira semasa generasinya, dengan muzik yang mereka bawa, kira king dalam pop rock.”

Slam yang berdepan saingan daripada kumpulan seperti Spring dan Mega, hanya menerima sambutan suam-suam kuku semasa diperkenalkan lewat album dengan judul sama pada 1993 yang memberikan lagu seperti Buat Seorang Kekasih dan Nina, antaranya.

Nasib band asal Johor Bahru ini yang turut dianggotai Lili, Man, Eddie, selain Shah dan Zamani, sebelum Ajak mengundurkan diri, berubah dengan album kedua, Kesan Terbukti yang mengandungi hits seperti Nur Kasih, Kembali Terjalin dan Tak Mungkin Berpaling.

Ditanya apa yang mengundang rasa hormat pemuzik sepertinya terhadap band seperti  Slam, JoBranko yang kini bergerak bersama Barbarik, meletak aura yang dimiliki Zamani sebagai antara kekuatan.

“Ada dua tiga unsur yang kita kena pandang tentang Slam. Pertama, dengan lagu-lagu yang memang mesra radio. Penyanyinya, Zamani itu, suara dia lain semasa dia keluar (ketika itu) dia seorang seorang penyanyi yang bagus sebenanrya.

“Nak dengar Zamani Slam nyanyi sumbang, payah sebenarnya,” katanya, senyum.

Sempat mengimbau kenangan semasa mengikuti satu jelajah promosi pada tahun 1990an yang disertai Zamani, bersama Amy dan Awie yang lebih dulu mencipta nama, masing-masing sebagai vokalis Search dan Wings, katanya:

“Masa itu, dia punya populariti, Zamani ini, melebihi Amy dan Awie. Mereka bertiga, semasa Awie keluar, orang sorak dan semasa Amy keluar, orang sorak, tapi semasa Zamani keluar… “ katanya, seraya mengangkat kedua-dua tangannya, tanda sorakan gemuruh audiens buat Zamani.

“Semasa itu, memang nampak (sambutan), masa (Slam) tengah memuncak. Mereka ini datang pada masa yang tepat, ketika mereka keluar itu.”

Kid yang mendengar, juga mencelah, “Shah pun pandai, (susunan) kena dengan lagu. Mereka, Slam, berdiri sendiri.”

Nan turut menyatakan kekagumannya pada Slam yang dilihat sentiasa menghasilkan karya yang “keluar daripada jiwa mereka” dan mencipta identiti mereka yang tersendiri, tanpa bergantung pada pencipta luar.

Kemunculan Kid dan Nan, selain JoBranko, diumumkan Slam, sebelum ini, bagi segmen tribute sebagai penghormatan buat tiga pemuzik legeda itu pada konsert selama hampir tiga jam itu yang akan memperdengarkan lebih 20 lagu, termasuk karya malar segar daripada Search dan Wings.

Apakah The Grand Slam Unplugged 2 bakal mengulangi  sejarah 1996? Jumpa di konsert, malam ini.