MTR: Sidang Penutup Sempurnakan Tahun 2026 Ella

Konsert penutup sebagai tanda penghargaan buat fans sebelum cuti panjang pada 2027.
Oleh Zurina Waji | Foto Hitman Solution
“… cara terbaik untuk mengakhiri tahun ini dengan penuh gemilang. Iaitu dengan Ella, Ratu Rock Malaysia kita serta barisan artis yang kita ada, Yuna dan Datuk Ziana Zain.” – Rohit Rampal
ELLA mahu berehat. Cuma sebelum itu, menurutnya, ada hutang yang ingin dilangsaikannya.
Kepada fans, tentunya, yang merupakan sebahagian daripada kekuatannya dalam menempuhi perjalanan seninya yang melangkaui empat dekad sejak debut dengan Dua Insan Bercinta sebagai Ella & The Boys.
Pengiktirafan oleh Anugerah Industri Muzik 25 (AIM25), baru ini, yang menamakannya sebagai penerima Anugerah Sri Wirama juga disifatkannya tidak akan diperolehi tanpa sokongan fans, selain pemain industri.
“You all nak (konsert) betul-betul ni? Serius?” kata Ella kepada media yang menemuinya pada satu majlis penghargaan, sebelum ini, kepada mereka yang dilihat menjadi tulang belakangnya yang membawa kepada penganugerahannya pada malam AIM25 itu.
Selain pengamal media, majlis itu turut meraikan legenda seni seperti Datuk Ramli Sarip dan Datuk M Nasir, antara komposer dan penerbit albumnya, juga Datuk Habsah Hassan, Datuk Wah Idris dan Saari Amri, serta penggiat muda seperti Tam Spider, Sam Bunkface dan AG Coco.
Semua ini yang akhirnya mencetuskan idea bagi penganjuran Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup bagi menyempurnakan tahun 2026 Ratu Rock Malaysia ini, sekali gus sebagai menyatakan penghargaannya, terutama buat fans.
Dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jall, pada 5 Disember nanti, konsert anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen itu adalah yang keempat dalam siri Majlis Tertinggi Rockqueen (MTR) selepas Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang yang mencatat kehadiran lebih 70,000 orang.
“Tahun ini memang satu perjalanan yang sangat luar biasa dan penuh makna buat Ella,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan konsert terakhir MTR, seraya melahirkan rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dan berkongsi muzik dengan para penggemarnya.
Ditanya tidakkah dia tertekan untuk mengekalkan momentum ini, dia mengakui tidak dapat mengelaknya.
“Sebab kalau anda memang dalam industri (seni), soal tekanan itu memang ada. Tapi bagi Ella, itu stres yang bagus kerana ia mencabar kita, malah menjadi dorongan untuk kita berikan sehabis baik,” katanya.

PENGASAS dan KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, HITMAN SOLUTIONS, ROHIT RAMPAL:
“Sidang Penutup akan menjadi sebuah malam yang penuh kemanisan dan memori yang sangat indah. Ia adalah cara terbaik untuk mengakhiri tahun ini dengan penuh gemilang. Iaitu dengan Ella, Ratu Rock Malaysia kita serta barisan artis yang kita ada, Yuna dan Datuk Ziana Zain.
“Ada lagi (artis) yang saya berhasrat untuk bawa pada konsert. Siapa? Ia akan jadi kejutan pada hari itu nanti. Tempoh dari pengumuman ke hari konsert memang singkat, tapi saya yakin tiket akan terjual kerana fan base kami pun ada dalam 300,000 orang. Lagi pula, sudah tiga tahun kami bersama tim Rockqueen, walaupun ada naik turunnya, kami tahu tiket konsert Ella akan laris.”
PENGARAH JENAMA ROCKQUEEN, KAPTEN AZHAR GHAZALI:
“Sidang Penutup ini juga adalah sebagai hadiah yang Ella mahu berikan kepada fans. Biar mungkin tanpa pingat, tanpa plak, sebaliknya satu konsert yang disajikan buat mereka yang selalu menyokongnya sebagai hadiah penerima (Anugerah) Sri Wirama.
“Juga, kenapa Yuna dan Ziana? Yuna, kerana keserasian mereka dalam menghormati satu sama lain dan perjalanan mereka yang saling mengikonkan, saling menghormati walaupun berbeza generasi. Ziana pula kerana rasa ada sesuatu dengan gandingan mereka semasa (konsert) di Pulau Pinang, satu stadium bergema apabila mereka menyanyi dan kami ingin bawa itu buat fans.”
Masih mengekalkan Datuk Acis sebagai Pengarah Muzik, selain sebahagian besar mereka yang bersamanya sepanjang MTR, ujar Ella, “Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua.
“Ella mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama.”
Sidang Penutup juga, katanya, paling sempurna dalam memberikan lagi momen bersejarah terhadap tahun 2026nya, sekalian membolehkannya untuk mengambil nafas seketika dengan bercuti panjang pada 2027.
“Tahun depan berehat daripada aktiviti seni, konsert-konsert besar,” celah Kapten Azhar yang juga suami Ella, menjelaskan tumpuan sebaliknya akan diberikan kepada bidang berbeza, iaitu pertanian yang membabitkan sawit.
Sawit? Tapi kerana Ella sememangnya sentiasa penuh dengan kejutan.
Jadi, apa pula kejutan yang akan dibawa Ella pada Sidang Penutup nanti selain penampilan Yuna dan Ziana sebagai artis jemputan? Tiket berharga serendah RM179 boleh didapatkan dengan melayari www.hitmanlive.com





Comments are closed.