Padi Reborn Bikin Malam Dewa 19 Begitu Indah

Bagaimana band jemputan istimewa ini menghadiahkan momen langka yang menggugah rasa.
Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures
“… antusias para Baladewa dan Baladewi yang menanti ditusuk panah daripada busur Arjuna Dewa 19 dengan set list yang menurut Fadly, frontman Padi Reborn, pada pertemuan menjelang malam konsert, “termasuk judul rare sebagai memenuhi permintaan Sobat Padi di Malaysia.”
DI ulang tahun ke-28 mereka, band ini kembali ke Kuala Lumpur, menemui para penggemarnya. Ditampilkan sebagai jemputan bagi konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia, ada kerinduan yang dilunaskan.
Tak banyak, tapi setidak-tidaknya berbalas jugalah rasa rindu dendam.
Kali terakhir band ini berada di ibu kota untuk konsert solo mereka ialah tiga tahun lalu, sempena keraian 25 tahun penubuhan mereka. Iaitu, yang pertama selepas mereka vakum selama tujuh tahun, sebelum kembali menggunakan nama Padi Reborn.
Namun Padi tetaplah Padi, sebagaimana dikenali sejak debut dengan album Lain Dunia pada 1999 yang memberikan hits seperti Begitu Indah. Di keraian yang ditandai dengan album baharu, 28, yang disebut “Dua Delapan”, filosofi semangat padi yang “semakin berisi, semakin merunduk” jelas dipegang kemas dalam mengungkap lembaran baharu perjalanan muzik mereka.
Di Unifi Arena Bukit Jalil, pekan lalu, band ini membina antusias para Baladewa dan Baladewi yang menanti ditusuk panah daripada busur Arjuna Dewa 19 dengan set list yang menurut Fadly, frontman Padi Reborn, pada pertemuan menjelang malam konsert, “termasuk judul rare sebagai memenuhi permintaan Sobat Padi di Malaysia.”
Lapan lagu kesemuanya, antaranya Ego yang diperdengarkan sebagai salam perkenalan daripada 28, band asal Surabaya ini mengharukan seluruh arena yang melihat Jalur Gemilang berkibar megah di layar yang melatari pentas, menemani judul tidak dirancang, Sahabat Selamanya.
Dirakam Padi, asalnya sebagai runut bunyi untuk siri animasi Upin Ipin, menakjubkan apabila memikirkan bagaimana lagu berusia sekitar 16 tahun itu terus berupaya meniupkan semangat patriotisme, juga membuat sebahagian audiens asyik dibuai nostalgia zaman kanak-kanak.

TERIMA KASIH SOBAT PADI
“Muzik itu hiburan. Muzik itu fun. Muzik itu menyatukan, bukan memecahkan,” teringat kata Fadly yang sedang memberikan Menanti Sebuah Jawaban sesudah membuka panggung dengan Sang Penghibur.
“Jadi, itu yang kita bawa energinya, sekarang ini dengan Dewa 19, judulnya (konsert) Cintaku Tertinggal di Malaysia (ibarat) kita ini melepas rindu dengan orang yang merindukan, mendengar langsung lagu-lagu Padi, lagu-lagu Dewa, dan itu yang jadi paling diingati.”
Jangan Datang Malam Ini yang diperdengarkan, menyusuli Patah, mengingatkan pula pada kata-kata pemain gitar mereka, Ari, yang mengakui beberapa lagu yang jarang dimainkan “Ternyata enak juga lagu ini ya, sudah lama (tidak dimainkan).”
Selain Fadly dan Ari, Padi Reborn turut dihidupkan Piyu (gitar), Randra (bass) dan Yoyo (dram).
Fadly, mengakui ada beberapa lagu disenarai bukan super hits, namun punya potensi dan bermakna buat mereka yang pernah melalui pengalaman sebegitu, juga bagi Padi Reborn sendiri sebagai pemuzik.
Tanpa berselindung, jelas Piyu, pengalaman hampir tiga dekad bergelumang dalam seni membawan ke satu keadaan, di mana mereka kini berkarya, antara lain adalah untuk menyenangkan audiens.
“Kalau dulu masih mahu menyenangkan diri sendiri,” katanya, mengakui matlamat mereka dalam muzik sudah berubah. “Dulu mungkin kerana masih muda, tapi sekarang (buat persembahan) mahu menyenangkan audiens. Kami mahu orang senang dengan keberadaan kami.”
Selama vakum, kata Piyu, antara rahsia kekuatan Padi sebenarnya terletak pada sokongan para penggemar mereka.
“Kami bukan band yang berdasarkan algoritma, atau band yang berdasarkan jumlah followers yang lebih banyak, tapi kami masih punya Sobat Padi yang menyokong kami. Harapan kami buat penikmat muzik di Malaysia untuk mendengarkan lagu daripada album baharu kami.”
“… malam Dewa 19 itu sebagai umpan bagi menjentik hati penggemar muzik tanah air. Biar para peminat ini rasa tidak cukup. Biar mereka tertanya-tanya, ini sajakah persembahan Padi.” – Iman Tang

SELEPAS DEWA 19, PADI REBORN?
Konsert seumpama Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang julung kali berlangsung di negara ini, bukan cuma pertemuan dua band papan atas.
Pertama, penghargaan harus dilayangkan kepada penganjur, ICON Entertainment yang mememungkinkan berlakunya pertemuan pada 6 Jun itu yang berdasarkan idea pengasasnya, Iman Tang.
Kerana sudah terlalu acapkali menonton Dewa 19, malah sudah menghafal sebahagian rutin konsertnya, kehadiran Padi Reborn sebagai jemputan membuat hati berbunga, dan tidak hairanlah mengapa wajar untuk memikirkan: Next! Konsert solo Padi?
Iman mengakui sememangnya berencana untuk Padi Reborn beraksi di pentas lebih besar seraya menyifatkan malam Dewa 19 itu sebagai umpan bagi menjentik hati penggemar muzik tanah air.
“Biar para peminat ini rasa tidak cukup. Biar mereka tertanya-tanya, ini sajakah persembahan Padi,” katanya.
Cukup mengingati paparan bendera Palestin dan tampalan tembikai pada tali gitar coklat Fadly sebagai satu mesej halus, sekali gus pernyataan pendirian yang menambah kekaguman pada band ini, malam itu juga meninggalkan jejak yang tidak mungkin diabaikan: Iaitu, Dewa 19 yang meraja di hati.

Dewa 19 masih dikepalai Ahmad Dhani yang bermain kibod, juga Andra Ramadhan (gitar), Yuke Sampurna (bass) dan Agung Yudha (dram). Al Ghazali, anak lelaki Ahmad Dhani, dengan tampangnya meraih sorakan fans, muncul bergilir di dram yang ditinggalkan Tyo Nugros yang berdepan isu perundangan di repubik itu.
Kala Once yang pernah bersama Dewa 19 terus jadi sebutan, malah jadi perbalahan tentang kekosongan yang ditinggalkannya, saya kira Virzha, Ello dan Ari Lasso sudah seusaha mungkin memberikan rendisi mereka.
Sedalam perasaan dicurahkan Virzha lewat Pangeran Cinta, Larut, Pupus dan Risalah Hati, misalnya, Ello membuat fans cair dengan Arjuna, Dewi dan Cukup Siti Nurbaya, antaranya.
Tapi kekaguman ini tidak terbanding pada Ari Lasso dengan energi dan suaranya yang ikut mencorakkan keberadaan Dewa 19, hari ini, dari era Aku Milikmu ke Kirana, malah Roman Picisan dan Kangen di sebalik kondisinya sebagai pesakit kanser.
Sambil mencongak sendiri, mengapa Madu 3 yang dipopularkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sering dibawa Ahmad Dhani di beberapa pentasnya, tidak adil tentunya untuk menafikan peranannya buat Dewa 19, termasuk dalam penghasilan karya yang sebajagiannya berbait cinta.
Kerana itu, sejengkel mana pun, bukan mudah untuk menepikan Dewa 19. Aneh, bukan.





Comments are closed.