Kali Pertama Konsert Bersama, Fabio & Nadhif Bilang, “Seru!”

Malah janji dua penyanyi ini, konsert Rumah Hati pada 26 Julai ini bakal jadi malam paling diingati.
Oleh Zurina Waji
“Antusiasi luar biasa. Saya teruja, senang, kerana ini pertama kali kolaborasi dengan Nadhif. Di Indonesia pun belum pernah berkolaborasi, bertemu di acara pun agak jarang, apatah lagi satu panggung memang belum pernah… ” – Fabio Asher
“SAYA gembira, super teruja!” kata Nadhif Basalamah, ketawa, merujuk penampilan akan datangnya di Kuala Lumpur, bukan sendirian, tapi bersama rakan senegaranya, Fabio Asher.
Pada 26 Julai ini, di Megaastar Arena Kuala Lumpur, konsert Rumah Hati Fabio Asher & Nadhif Basalamah Live in Kuala Lumpur menggandingkan dua penyanyi bersuara lunak ini untuk sebuah kolaborasi bersejarah yang julung kalinya, bukan saja di Malaysia, malah Indonesia sendiri.
Debut dengan Nadhif pada 2024, ternyata anak jati Jakarta ini tidak membuang masa untuk menawan banyak hati dengan karya seperti Penjaga Hati ke Bergema Sampai Selamanya, juga Kota Ini Tak Sama Tanpamu yang dirakam kemudiannya bersama Aziz Harun dan Aisha Retno.
Ikut berkongsi keterujaan, Fabio yang memberikan single Bertahan Terluka pada 2022, sebelum tampil dengan album mini, ASHER, pada tahun berikutnya dan terus meraih perhatian dengan lagu seperti Rumah Singgah, Tanpa Rasa Bersalah, Berharap Kau Kembali dan Nikmati Sakitnya.
“Antusiasi luar biasa,” kata bakat asal Sulawesi Utara ini. “Saya teruja, senang, kerana ini pertama kali kolaborasi dengan Nadhif. Di Indonesia pun belum pernah berkolaborasi, bertemu di acara pun agak jarang, apatah lagi satu panggung memang belum pernah, makanya saya teruja.”
Kehadiran dua penyanyi ini nyata dinantikan para penggemar mereka apabila tiket konsert anjuran Cerita Project & Events Sdn Bhd dengan Jiwa Kacau sebagai rakan strategik, sudah 80 peratus terjual.
Umum juga tentu maklum, ini bukanlah penampilan pertama Fabio mahu pun Nadhif di Kuala Lumpur. Senangnya mereka dengan ibukota ini hadir dalam jawapan tulus mereka yang spontan mengakui perkara pertama dicari sebaik tiba ialah makanan.
Fabio, senyum malu, mengakui sudah merancang untuk “mencari nasi tomato” nanti sejak merasanya selepas diberikan oleh fans, sebelum ini, dan dalam nada berseloroh, menambah, “tapi entah mahu cari di mana, mungkin akan minta lagi dari fans.”
Sementara Nadhif pula memilih Nasi Lemak Bumbung yang terletak “jauh daripada (tumpuan) pelancong, (kedai) hanya di lorong” dan gemar mengisi masa terluang di daerah Bangsar, malah sempat berseloroh, “Saya memang suka Bangsar, jadi kalau nak cari Nadhif, bolehlah cari di Bangsar nanti.”
“Kembali sebagai mempererat perhubungan antara Malaysia dan Indonesia kerana jelas, kita serumpun. Banyak yang boleh dinyatakan mengenai muzik, bagaimana ia boleh bertukar energi dalam cara yang kita tidak faham.” – Nadhif Basalamah
FABIO & NADHIF PERSIAP KEJUTAN
Dalam nada serius, Nadhif menjelaskan alasan untuk kembali ke Kuala Lumpur, selain didorong sebab peribadi, juga kerana persembahan sebegini dilihat dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara dua negara.
“Kembali sebagai mempererat perhubungan antara Malaysia dan Indonesia kerana jelas, kita serumpun. Banyak yang boleh dinyatakan mengenai muzik, bagaimana ia boleh bertukar energi dalam cara yang kita tidak faham.
“Seronok untuk dapat kembali ke sini,” katanya.
Fabio kemudian mencelah, “Malaysia ini ibarat rumah kedua saya. Hampir setiap tahun, saya ‘balik’ ke Malaysia, cuma kali ini dengan konsep yang berbeda. Malaysia, sejujurnya, ada tempat yang istimewa (di hati).
Ini juga diharapkan Nadhif yang percaya dirinya dan Fabio “ada chemistry yang akan jadi bagus”, malah bersama, mereka juga merancang untuk menyediakan kejutan buat para penggemar Malaysia mereka.
Ditanya apakah ada kemungkinan mereka berduet pada malam berkenaan, Fabio mengakuinya, namun berkata, “Lagu apa, masih dirahsiakan. Tapi pastinya istimewa, mungkin lagu saya atau Nadhif yang akan disusun bersama, atau mungkin lagu Nadhif yang dibawa juga.
“Ini kerana, saya salah seorag pencinta karyanya Nadhif. Sebenarnya, kami berdua punya persamaan dalam karya. Jadi, mungkin juga membawa lagu masing-masing. Saya ada lagu yang baru dirilis dan mungkin belum didengar di Malaysia, okay juga kalau dibawa.”
Besar harapan kedua-dua Fabio dan Nadhif agar Rumah Hati menjadi malam bersejarah buat penggemar muzik, sebagaimana hasrat mereka untuk melihat pasukan kegemaran, Portugal, bersama bintangnya, Cristiano Ronaldo memberikan tanda mata terindah pada Piala Dunia nanti.
“Saya harap konsert ini akan jadi satu pengalaman, terutama buat fans Malaysia, yang tidak akan diliupakan. Tidak cuma menonton Fabio dan Nadhif, tapi juga bisa menjadi pengalaman yang baik, cerita yang baik, sesuatu untuk diceritakan kepada teman-teman anda,” kata Nadhif.
Harapan sama dikongsi Fabio yang ingin sentiasa mengenang fans Malaysia mereka “selalu menjadi teman dan pendengar yang hangat untuk kami” dan kerana itu, malam itu kelak harus dicipta menjadi “momen yang terpahat di ingatan selamanya.” Tiket terhad bagi konsert ini boleh didapatkan di www.ilassotikckets.com





Comments are closed.