Suara, Karakter Marsha Milan Pikat Ungu Untuk Konsert
Mampu bawa energi pada malam konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur, September ini.

Oleh RUMI

“Kami percaya Marsha mampu membawa energi untuk malam ini. Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia.” – Ungu

“MARSHA mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu,” kata Ungu, memberi alasan memilih penyanyi popular, Marsha Milan sebagai artis jemputan khas konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur.

Ia dijadual berlangsung di Idea Live Arena pada 5 September nanti.

Disebut sebagai sebuah malam penuh emosi, nostalgia dan kejutan istimewa, konsert yang dibawakan oleh COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment itu bertepatan dengan keraian tiga dekad Ungu dalam seni.

Bakal menghiburkan audiens dengan puluhan hits mereka, daripada Demi Waktu, Tercipta Untukku sehinggalah Seperti Yang Dulu, dan Cinta Dalam Hati, konsert ini juga disifatkan antara yang paling peribadi dan istimewa buat band popular Indonesia ini.

Konsert itu akan menelusuri perjalanan Ungu menerusi tiga segmen utama, iaitu The Birth, The Peak, dan The Legacy menerusi elemen penceritaan, visual, dan susunan muzik yang lebih imersif bagi menghidupkan kembali perjalanan seni mereka sepanjang tiga dekad.

Justeru, penganjur menerusi kenyataan media mereka, mengumumkan penampilan Marsha yang dipilih Ungu yang sudah lama mengikuti perjalanan seni bakat kelahiran Sabah itu yang dilihat mempunyai aura tersendiri.

“Kami percaya Marsha mampu membawa energi untuk malam ini,” kata Ungu. “Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia.”

Penjualan tiket konsert yang sudah melebihi 50 peratus juga menjelaskan keterujaan terhadap konsert berkenaan yang mendorong penganjur untuk menambah beberapa kategori tenpat duduk baharu sebagai pilihan kepada penggemar Ungu.

Sementara itu, Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy daripada COMs. Creative Studio, berkata fokus utama penganjur adalah untuk memastikan malam itu terasa lebih dekat dan bermakna buat mereka yang telah membesar bersama muzik Ungu.

“Ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, tapi sebuah malam yang meraikan muzik, kenangan, dan hubungan istimewa antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia,” katanya, terutama dengan pemilihan Marsha yang bakal memberikan warna berbeza kepada keseluruhan pengalaman konsert.

“Apabila Ungu sendiri memilih Marsha sebagai artis jemputan, kami tahu kombinasi ini akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa. Kami percaya audiens akan dapat menyaksikan sebuah kolaborasi yang bukan saja kuat daripada segi vokal, tetapi juga penuh chemistry dan emosi.”

Sila layari www.ilassotickets.com untuk pembelian tiket.