Naa Vera Level Bawa Kidd Santhe Ke Pentas Global
Kolaborasi bersama bintang India, Raavanaa Ram, bagi albumnya yang akan datang, Mr Crorepati

Oleh RUMI | Foto Sony Music Entertainment

“Saya tidak cipta lagu ini untuk mengikut mana-mana trend. Saya mahu buktikan bahawa kita juga mampu membawa identiti kita ke tahap global tanpa perlu mengubah siapa jati diri kita,”

“INI bukan sekadar lagu. Ini adalah diri saya yang sebenar dan paling jujur,” kata Kidd Santhe mengenai Naa Vera Level, single yang baru ini mencetuskan fenomena baharu dalam arena hip hop Tamil.

Kerana jelas, single kedua bagi albumnya yang akan datang, Mr Crorepati, yang dirakam bersama artis popular antarabangsa India, Raavanaa Ram, bukan sekadar penampilan, tetapi sebuah pertembungan budaya dan suara jalinan dua negara yang menyatukan semangt hip hop Tamil Malaysia dan tenaga street rap Chennai dalam satu gelombang muzik yang sama.

Naa Vera Level menyaksikan keberanian Kidd melangkah ke dimensi baharu sebagai artis.

“Saya tidak cipta lagu ini untuk mengikut mana-mana trend. Saya mahu buktikan bahawa kita juga mampu membawa identiti kita ke tahap global tanpa perlu mengubah siapa jati diri kita,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Kolaorasi itu, malahan dilihatnya membawa makna lebih besar daripada sekadar muzik.

Raavana Ram sendiri, dulunya seorang pakar motivasi, merupakan rapper dan penyanyi popular selepas memperlihatkan bakatnya apabila muncul di dalam program realiti mencari jodoh, Single Pasanga, di saluran Zee Tamil.

“Bila Malaysia dan Chennai bertemu dalam satu lagu, ia bukan sekadar kolaborasi. Ia pertembungan budaya, sejarah, dan jiwa jalanan yang sebenar. Saya bangga dapat membawa semangat ini keluar dari sempadan kita,” kata Kidd lagi.

Naa Vera Level, karya pertama Kidd dalam genre Tamil kuthu turut menyaksikannya bertindak sebagai penerbit dan komposer sepenuhnya. Judulnya yang membawa maksud, ‘saya di tahap yang berbeza’ juga adalah satu deklarasi.

Iaitu, satu pernyataan keyakinan, cita-cita dan kebangkitan identiti yang memperlihatkan Kidd melangkaui sempadan kreatif yang sebelum ini membentuk perjalanan muziknya, menjadikan Mr Crorepati yang akan dilancarkan tahun ini, antara yang paling dinantikan.

Gabungan melodi bertenaga Kidd dengan gaya rap bersahaja Raavanaa menghasilkan pengalaman muzik terasa seperti perayaan jalanan yang bertukar menjadi ledakan sinematik. Di sebalik tenaga itu, terselit identiti budaya yang kuat melalui penggunaan instrumen tradisional India seperti udukai, thavil, jaldra dan tuttari, menjadikannya sebuah karya yang berakar pada budaya, tetapi moden dalam persembahan.

Sebagai sebuah projek terbesar dalam kerjaya Kidd, setakat ini, sokongan Sony Music Entertainment India South memungkinkan Naa Vera Level yang membabitkan kos produksi, muzik video yang mengangkat auto rickshaw dan komunitinya sebagai simbol kehidupan, dan pemasaran melebihi RM100,000 membuka laluan luas untuk Kidd di pentas global.

Naa Vera Level kini boleh distrim di semua platform digital utama.