Ingin Bersara, Tapi Suara Rakyat Buat Faizal Tahir Tewas

Di konsert terbesarnya, refleksi 20 tahun perjalanannya dalam muzik dan sebagai seorang insan.
Oleh Zurina Waji
“… benda berubah dalam hidup. Kita jumpa banyak benda, kita lalui, macam-macam pengalaman dalam kehidupan. Jadi, bersara itu adalah benda yang bermain di belakang fikiran saya, sentiasa. Bukan sekali dua kali, banyak kali.”
“SAYA tak boleh bersembunyi. Saya tak boleh menipu, cakap benda itu tak terlintas. Bertahun-tahun (memikirkannya), berkali-kali terlintas untuk bersara,” ujar penyanyi-komposer terkenal, Faizal Tahir.
Senyum, agak misterius, dia menambah, “Saya harap benda itu akan dimakbulkan, insya-Allah.”
Tidak. Ini bukan hanya satu lelucon daripada figura ini yang sempat bersama kumpulan nasyid, Miwarna sebelum meraih perhatian selepas penyertaannya di dalam program reaiti, One In A Million pada 2006.
“Sebab itu adalah, kalau saya boleh katakan impian, bukanlah untuk mengecewakan sesiapa, tapi macam saya cakap tadi, benda berubah dalam hidup. Kita jumpa banyak benda, kita lalui, macam-macam pengalaman dalam kehidupan.
“Jadi, bersara itu adalah benda yang bermain di belakang fikiran saya, sentiasa. Bukan sekali dua kali, banyak kali. Tapi ramai orang di sekeliling saya, pengurusan saya, ada fans saya yang tak henti-henti mengganggu saya, sentiasa mendoakan saya agar tak bersara,” katanya.
Kerana fans jugalah, katanya, antara yang mendorongnya kembali ke pentas, 3 Oktober nanti.
Digelar Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat, konsert anjuran Hitman Solutions dengan kolaborasi Faithful Music ini merupakan konsert solo terbesarnya, sekalian menyempurnakan dirgahayu dua dekad pembabitannya dalam muzik.
“Saya kira itu juga salah satu sebab kenapa konsert ini sangat kena dengan temanya, Suara Rakyat, kerana saya tewas kepada benda itu. Nak tak nak saya kena terima juga yang orang nak saya buat persembahan di pentas. ,” katanya.
“Sebab itu, saya suka konsep ini. Ini tanggungjawab saya (sebab) kalau saya tak jalankan tanggungjawab ini, saya berdosa sebab saya dikurniakan satu perjalanan ini, 20 tahun yang sangat lama, yang berkat, yang dapat saya manfaatkan untuk orang lain dengan muzik saya dan bakat yang ramai orang lain nak.
“Kalau saya tak gunakan, memberikan apa yang orang nak daripada saya, saya rasa salah tu.”
Dijadual berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, dia dijangka mempersembahkan sekitar 30 lagu, dari era Mahakarya Cinta sehingga terkini, daripada album Jati Diri. Konsert terakhirnya, Aku Faizal Tahir, dipentaskan tiga tahun lalu.
Pengumuman dibuat pada satu majlis di The Campus, Ampang, oleh Pengarah Urusan dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal yang turut terbabit dalam mengkurasi konsert berkenaan. Turut hadir, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D.

PENTAS KECIL VS PENTAS BESAR
Separa berseloroh, Faizal memberitahu, dia mengharapkan konsert itu semacam satu penamat, namun sedar apa saja boleh berlaku di masa depan, dan antaranya turut bergantung pada ‘rasa’ yang akan diberikan Suara Rakyat kelak.
“Dibandingkan dengan artis lama macam Ella, Wings, Datuk M Nasir yang giat buat konsert sekarang, mereka memang ada pengikut konsert sejak dulu sedangkan saya tak pernah ada pengikut konsert sebab saya jarang buat konsert.
“Apa yang saya paling kisahkan? Kesihatan saya. Komitmen, saya tak risau, kerana jika sudah komited, saya akan berikan yang terbaik. Juga, penjualan tiket, cuma saya tak nak peningkan kepala kerana itu tugas Hitman dan saya cuma ingn fokus pada persembahan malam itu.”
Aneh mendengar seorang seperti Faizal Tahir yang kadang terlupa akan katalog 20 tahun yang dimilikinya, daripada lagu seperti Santai, Ragaman, Assalamualaikum ke Gemuruh, sehinggalah Bila Lagi Nak Jumpa bersama Senario.
Juga, apabila dia lebih selesa untuk berada di pentas kecil. Lalu, untuk apa jadi penghibur?
“Mungkin, satu masa dulu,” katanya, melihat bagaimana tanggungjawab pada keluarga, antaranya, memacu kehidupannya, kini. “Keluarga dan anak-anak makin membesar, dan saya ada benda lain yang perlu dibuat, minat saya yang sudah berubah kepada benda lain.
“Saya suka muzik, tapi mengadakan persembahan di pentas tidak boleh dikatakan sebagai minat utama saya. Siapa yang mengikut perjalanan saya daripada One In A Million tahu saya lebih ingin jadi orang belakang (tabir) dengan matlamat No.1 jadi seorang penulis dan produser yang berjaya.
“Ia peluang untuk ketengahkan nama saya, tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik. Saya dah dapat pun cita-cita jadi seorang penulis lagu, produser dan label yang sangat berjaya, Fatihful Music. Tapi anda tiba pada satu titik di mana setiap manusia akan rasa ‘apa lagi yang saya boleh lakukan’, dan sesetengah perkara di dalam hidup berubah.”
Pada usianya kini, 48 tahun, akui Faizal, dia ingin punya lebih banyak masa bersama keluarga.
Ditanya lagi tentang minatnya, dia senyum, menjawab: “Saya lebih minat bersendirian. Saya rasa bukan saya sajalah, semua orang pun. Kita tengok trend orang suka keluar dari KL, cari tempat yang tak diganggu, tempat yang dinamakan healing, masuk hutan.
“Minat saya lebih kepada alam semula jadi, mungkin orang kata pelik, tapi saya tak rasa salah untuk saya minat pertanian, iaitu berjemur tengah panas, ternak kambing, tunggang kuda, bercucuk tanam.”
Namun seperti katanya, apa saja boleh berlaku dan tidak hanya sekadar memenuhi permintaan fans, Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat juga dipersetujui lantaran keyakinan ada perkara baik yang boleh dikongsinya.
“Saya rasa tidak adil untuk saya, seorang anak seni yang sudah melalui macam-macam, ups and down selama kerjaya saya, apabila saya jatuh ada fans angkat saya kembali, ada orang dalam indiustri yang tolong angkat nama saya balik.
“Tanggungjawab, dah 20 tahun, saya rasa ada benda yang boleh dikongsikan. Sebab itulah, saya buat konsert ini. Saya rasa kalau saya tiada benda baik yang boleh dikongsi saya tak rasa saya akan buat konsert ini,” ujarnya.
Akses
- 3 Oktober 2026
- Unifi Arena, Bukit Jalil
Tiket
Sila layari www.hitmanlive.com untuk pembelian dan info lanjut






Comments are closed.