Dari BTS ke The Weeknd, KL Tuan Rumah Konsert Berkelas Dunia

Bagaimana inisiatif seperti KL Headline Season 2026 memacu kebangkitan kota ini lewat acara live.
Oleh Zurina Waji | Foto Live Nation Malaysia dan PR Worldwide
“… KL Headline Season diwujudkan. Iaitu untuk meletak Kuala Lumpur di peta jelajah dunia, seraya meraikan kebangkitan kota ini sebagai kota hiburan dan mewujudkan platform yang menyatukan muzik, pelancongan, budaya, jenama dan komuniti… “ – Paramananthan Rajagopal
“DULU peminat Malaysia akan ke Singapura, Bangkok, Seoul, Tokyo, Australia. Hari ini, jelajah terbesar dunia datang ke Kuala Lumpur,” kata Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal.
Di bawah jenamaKL Headline Season 2026, inisiatif oleh Live Nation Malaysia itu bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama Asia bagi jelajah muziklive antarabangsa, sekali gus menyokong pelancongan dan perekonomian negara di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026.
Edisi itu yang dilancarkan di ibu kota, baru ini, menyaksikan penyenaraian 25 persembahan muzik antarabangsa seperti BTS, The Weeknd, Post Malone ke David Ceaser, Laufey dan Lany, di enam lokasi utama yang bakal menghimpun lebih 500,000 peminat, termasuk dari seluruh rantau ini.
Konsert, hari ini, ujar Paramananthan, bukan sekadar sebuah acara hiburan, sebaliknya menjadi enjin ekonomi hasil impak terhadap industri perhotelan, penerbangan, restoran, pengangkutan ke kru produksi dan pekerja bebas, serta ribuan pekerjaan melangkaui ekosistem.
“Peminat (kini) terbang dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, Vietnam, Taiwan, Hong Kong dan lebih jauh hanya untuk merasai pengalaman konsert di Kuala Lumpur. Ini adalah kuasa hiburan live,” katanya, ketika berucap pada Majlis Perasmian KL Headline Season 2026 itu yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
“Ini mengapa KL Headline Season diwujudkan. Iaitu untuk meletak Kuala Lumpur di peta jelajah dunia, seraya meraikan kebangkitan kota ini sebagai kota hiburan dan mewujudkan platform yang menyatukan muzik, pelancongan, budaya, jenama dan komuniti di bawah satu visi, iaitu untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai teraju utama.”

Dibangunkan dengan kerjasama PR Worldwide, Tourism Malaysia, dan CelcomDigi, KL Headline Season 2026 menyaksikan barisan persembahan muzik paling padat pernah dianjurkan di ibu kota, merangkumi hampir separuh daripada lebih 50 persembahan live antarabangsa, musim ini.
Dengan impak daripada pelancongan dan ekonomi, dia berkata, 2026 dijangka menyumbang sebanyak RM1.7 bilion kepada ekonomi negara, ketika 2024, misalnya menyaksikan Malaysia menjadi hos kepada lebih 400 konsert dan menjana sebanyak RM553 juta.
“… mempromosikan gaya hidup agar orang ramai dapat menonton bakat tempatan menyanyi, membuat persembahan. Kami, menerusi DBKL, bermula dengan Taman Botani dan Taman Tasik Titiwangsa… “ – Hannah Yeoh
MENEROKA KEUPAYAAN KUALA LUMPUR KE BAKAT MUDA TEMPATAN
Paramananthan berkata, persembahan mega oleh Post Malone, The Weeknd dan BTS menerusi KL Headline Season 2026 juga mencerminkan keupayaan Kuala Lumpur untuk menganjurkan produksi jelajah berskala besar menerusi dukungan faktor seperti infrastruktur, komitmen, dan kolaborasi.
Ini bertepatan dengan matlamat Live Nation yang fokus untuk mencipta lebih banyak momen yang menyatukan artis dan peminat bagi membina rentak persembahan live yang konsisten dalam mewujudkan momentum lebih kukuh, seraya menjadikan Kuala Lumpur hentian tetap dalam jelajah Asia.
“Apa yang anda saksikan hari ini adalah hasil perancangan, perbincangan selama 18 bulan
untuk mendapatkan kepercayaan, antara artis dan pasukan jelajah terbesar dunia, untuk meletak Kuala Lumpur di peta jelajah dunia,” katanya.
“Ia menggambarkan keyakinan terhadap Kuala Lumpur, keyakinan terhadap Malaysia.”
Sementara itu, Fahmi, menerusi ucapannya, antara lain mengumumkan mengenai kempen Beli Tiket Selamat (BTS), iaitu sebuah inisiatif yang bakal dilancarkan bagi melindungi pembeli tiket daripada menjadi mangsa penipuan ketika Kuala Lumpur sedang membina reputasinya di mata dunia.
Pelancaran kempen 24 bulan itu yang merupakan kolaborasi antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pemain industri, menurutnya, bertepatan dengan kerancakan persembahan live, termasuk antarabangsa seperti yang dianjurkan KL Headline Season.
“Ini bagi memastikan pembeli tahu apa yang boleh dan perlu dilakukan sekiranya mereka terbeli tiket yang tidak sah. Itu pasca pembelian, tapi sebelum itu, akan ada siri kempen kesedaran bagi meningkatkan kesedaran, meningkatkan pemahaman, dan apakah tanda,” katanya.
Fahmi juga bertegas, industri muzik tanah air harus ikut membangun, misalnya dengan memastikan bakat tempatan, setidak-tidaknya menjadi pembuka konsert sebagai syarat lulus Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Hannah, pada sidang media, kemudiannya menyatakan dukungan terhadap pembangunan bakat muda, antaranya menerusi usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memanfaatkan taman sebagai platform untuk membuat persembahan.
“Kami juga mempromosikan gaya hidup agar orang ramai dapat menonton bakat tempatan menyanyi, membuat persembahan. Kami, menerusi DBKL, bermula dengan Taman Botani dan Taman Tasik Titiwangsa, di mana Jumaat dan Sabtu dilanjutkan masa operasi sehingga jam 12 tengah malam.
“Kami akan uruskan persembahan di taman, jadi keluarga dapat menonton dan artis muda akan mula membina pengikut muda. Kita mulakan dengan gaya hidup di taman, juga seperti di Dataran Merdeka dan memastikan ada saja kegiatan yang berlaku,” katanya.




Comments are closed.