Bawa Konsep 80an, Exists Mahu Fans “Rasa Muda”

Sambil tiket bagi konsert Memento Mori yang bakal sold out jadi indikasi.
Oleh Zurina Waji
“… Memento Mori akan memperlihatkan Exists membawa pembaharuan, terutama daripada segi bunyi dan muziknya. Penting untuk Exists tidak tersekat pada lagu-lagu lama semata.”
“JUJUR, agak mengejutkan,” kata Along mengenai sambutan terhadap Konsert Exists Memento Mori yang dijadualkan pada 1 Ogos nanti yang tiketnya hanya berbaki kurang lima peratus dalam tempoh kurang sebulan sejak penjualan dibuka.
“Ikutkan, konsert Exists paling besar di Malaysia ialah Reunion pada 2019, tapi berbanding dengan konsert akan datang, ini lagi besar dan daripada segi penjualan tiket, juga lebih baik daripada dulu. Ini suatu yang memberangsangkan.”
Bakal berlangsung di Unifi Arena Kuala Lumpur yang berupaya memuatkan hampir 16,000 penonton pada satu-satu masa, bergantung pada set up, konsert anjuran ICON Entertainment ini adalah yang terbesar pernah diadakan Exists.
Memento Mori, dikutip daripada frasa Latin, yang mengangkat falsafah menghargai setiap saat dalam kehidupan dengan baik dilihat bertepatan dengan perjalanan band itu sendiri yang tahun ini meraikan ulang tahun penubuhan mereka yang ke-35.
Ia malahan disifatkan Along sebagai penghargaan kepada setiap momen hebat yang telah dilalui mereka, menjadikan konsert berkenaan sebagai manifestasi perjalanan dan perjuangan mereka sejak meledak dengan Untukmu Ibu.
Dia mengakui terharu apabila kesemua tujuh anggota asal Exists – Ajai yang bermain keyboard, Shah (gitar), Ujang (dram) dan Musa (bes), selain dia sendiri, bersama dua vokalis mereka, Mamat dan Ezad – dapat kembali bergabung di satu pentas mega.
“Saya rasa, tidak keterlaluan kalau menganggap ini adalah konsert yang cukup istimewa. Sebab itu, fans terutamanya tidak boleh melepaskannya kerana satu, kita akan bersama meraikan ulang tahun ke-35 Exists.
“Kami mahu fans yang sama membesar, ada banyak kenangan dan hidup bersama kami merasakan satu nostalgia atau kenangan yang tidak boleh dilupakan. Kita imbas balik, jadi apabila kembalikan semula zaman sekolah dulu atau zaman remaja, ia satu perkara yang menghiburkan.
“Itu adalah zaman yang dipenuhi benda yang menyeronokkan, suatu kenikmatan. Usia remaja, menurut saya, adalah antara perkara paling menyeronokkan kerana pada waktu itu, kebanyakan kita tidak ada komitmen sangat, tidak fikir benda yang berat-berat sangat,” katanya.


Kerana itu jugalah, menurut Along, mengapa konsep 80an diketengahkan pada konsert berkenaan.
“Supaya rasa lebih real, konsep 80an diketengahkan bagi membangkitkan mood dan vibrasi menerusi fesyen daripada warna terang menyala yang sinonim dengan era itu, misalnya ke potongan oversized, pad bahu sampailah ke rambut besar mengerbang,” katanya, senyum.
Siapa yang masih kecil atau pun sudah mencapai usia remaja, ketika itu, ujar Along lagi, Konsert Exists Memento Mori bakal menghidupkan semula nostalgia, seiring dengan perjalanan band asal Johor ini yang tidak kurang roller-coasternya.
“Kita akan dapat rasa keenakan era 80an itu, kita throwback zaman itu, merasakan vibrasinya supaya pada malam itu nanti, semua orang akan rasa muda,” katanya, kemudian ketawa sendiri dengan selorohnya.
Along berkata, menariknya pada malam itu nanti, lagu-lagu yang sudah disenaraikan juga termasuk sebuah karya baharu, selain beberapa judul yang akan diperdengarkan dalam versi baharu.
“Juga istimewa kerana Memento Mori akan memperlihatkan Exists membawa pembaharuan, terutama daripada segi bunyi dan muziknya. Penting untuk Exists tidak tersekat pada lagu-lagu lama semata.
“Jadi, sempena 35 tahun Exists, sekurang-kurangnya ada sebuah lagu baharu, khusus buat fans supaya Exists akan dapat berjuang demi fans semua.
“Semoga karya baharu itu nanti membawa Exists dan fans terus melangkah seiring,” ujarnya, tekad untuk memberikan kepuasan maksimum dalam persembahan yang dijangka memakan masa tiga jam itu. Sila layari www.ticket2u.com.my untuk pembelian tiket yang terhad.





Comments are closed.