Radja Kembali ke KL, Tampilkan DJ Wanita untuk Tribute
Julai ini, untuk sebuah persembahan eksklusif sempena Konsert Revolusi Radja 25 Tahun.

Oleh RUMI

“INI bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan emosi,” kata Ian Kasela, mengenai

Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang disifatkan sebagai “keraian 25 tahun muzik, kenangan dan sokongan yang tidak pernah putus daripada para peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara.”

Padanlah mengapa Kuala Lumpur penting dalam keraian band terkenal Indonesia ini.

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati kami sejak awal perjalanan seni Radja.

“Setiap kali kami membuat persembahan di sini, sambutan peminat sentiasa luar biasa dan penuh kehangatan,” katanya, seraya menyifatkan konsert itu sebagai hadiah istimewa daripada Radja buat peminat setia mereka.

Dianjurkan oleh Dhyah Prod7ction bersama Infinity Love Creative Ventures, konsert yang akan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai nanti dijangka menjadi sebuah malam penuh nostalgia, emosi dan energi.

Selain Ian yang bertindak sebagai vokalis, Radja turut dianggotai Moldy (gitar/ komposer utama), Adit (bass) dan Seno Aji (dram). Band pop rock asal Banjarmasin ini dikenali dengan lagu seperti Cinderella, Jujur, Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, dan Manusia Biasa.

Mubarak Akhtar Mohd Aris yang mewakili penganjur, menjelaskan beberapa elemen kejutan turut disusun bagi konsert berkenaan, termasuk persembahan tribute oleh dua DJ profesional wanita.

Dia berkata, segmen yang menggabungkan DJ, masing-masing dari Malaysia dan Indonesia itu akan mempersembahkan lagu-lagu Radja dalam susunan muzik elektronik  yang lebih segar dan moden.

“Setakat ini, Nathalie Holscher, iaitu antara DJ wanita yang sedang meningkat naik di Indonesia, sudah mengesahkan penglibatannya di dalam konsert ini,” katanya, memetik kenyataan medianya.

“Walaupun diberi pembaharuan daripada segi susunan muzik, identiti asal serta kekuatan emosi setiap karya tetap dikekalkan, sekali gus menawarkan pengalaman persembahan yang lebih moden, bertenaga dan relevan dengan citarasa penonton masa kini.”

Keraian itu yang turut menampilkan beberapa artis tempatan yang akan diumumkan kelak, tambahnya, adalah peluang terbaik untuk peminat, terutama yang tidak puas pada Konsert RadjaWali, Januari lalu, untuk menikmati persembahan Radja dalam format konsert penuh.

Akses

  • 11 Julai 2026
  • Stadium Hoki Bukit Jalil
  • 8pm

Tiket Sila layari https://www.airasia.com/movietix/en-gb/ untuk info.