AM : PM Showcase, Sisi Paling Peribadi Amir Masdi
Sebuah malam eksklusif bagi meraikan perjalanan seni bersama fans yang sentiasa setia.

Oleh RUMI

“… merasakan hubungan yang lebih dekat dengan setiap lagu dan cerita yang dibawakan sepanjang malam itu yang direncana bagi meraikan perjalanan seni bersama fans… “ – Amir Masdi

“SAYA selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap fans juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut,” kata penyanyi, Amir Masdi, merujuk pengumuman showcase terbaharunya, AM : PM Showcase, Disember nanti.

Justeru, dia ingin agar setiap yang hadir dapat merasakan hubungan yang lebih dekat dengan setiap lagu dan cerita yang dibawakan sepanjang malam itu yang direncana bagi meraikan perjalanan seni bersama fans yang sentiasa memberikan sokongan sejak awal pembabitannya.

“Sebab itu, saya mahu AM : PM Showcase menjadi sebuah malam yang cukup istimewa,” katanya lagi.

Dianjurkan oleh AR United Music dengan sokongan Nova Music dan Rocketfuel Entertainment, ia dijanjikan bakal menjadi sebuah pengalaman eksklusif yang menampilkan sisi paling peribadi Amir sebagai seorang penyanyi, penghibur dan pengkarya.

Kapasiti Zepp KL yang lebih intim juga membolehkan fans berpeluang menyaksikan sendiri persembahan yang menggabungkan vokal mantap, susunan muzik segar, visual berkualiti serta pelbagai kejutan yang disediakan khas untuk malam itu.

“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar diliupakan.

“Pelbagai elemen baharu sedang dipersiapkan agar pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya, teruja menantikan malam itu yang turut disifatkan sebagai hadiah penghargaan buat fansnya.

AR United Music pula, dalam kenyataan medianya, berkata pemilihan Amir Masdi dibuat bukan saja berlandaskan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi dan penghibur, malah kerana mempunyai kelompok penggemar yang sentiasa berkembang.

Baru meraikan ulang tahunnya yang ke-30, anak Selangor ini yang mula meraih perhatian selepas

menjuarai pertandingan TV realiti, Akademi Fantasia 2016 juga dkenali dengan lagu seperti Kau Sakiti, Sengaja dan cover hits Ella, Sepi Sekuntum Mawar Merah.

“Amir Masdi merupakan antara artis yang sentiasa konsisten menghasilkan karya berkualiti dan memberikan persembahan yang bertenaga di pentas.

“Melalui AM : PM Showcase, kami mahu menampilkan sisi Amir yang lebih dekat dengan fans menerusi sebuah persembahan yang eksklusif, penuh emosi dan berbeza daripada konsert berskala besar.

“Setiap elemen yang dirancang, daripada susunan muzik, visual hinggalah pengalaman audiens, disusun dengan teliti bagi memastikan malam tersebut menjadi satu memori yang sukar dilupakan,” ujar wakilnya.

Akses

  • 20 Disember 2026
  • Zepp KL

Tiket

  • VIP (Duduk) RM254, CAT 1 (Duduk) RM204, CAT 2 (Duduk) RM184, CAT 3 (Duduk) RM154 dan CAT 4 (Berdiri) RM104
  • Layari www.myticketempire.com/amirmasdiampm
  • Bagi pembelian di BOX (Duduk), sila hubungi 011-59963265 untuk tempahan