Thee Marloes: ‘Di Hotel Malibu’ Setia Pada Akar Soul
Bakal dilancarkan pada 22 Mei ini, album kedua ini kekal dengan bunyi unik mereka.

Oleh RUMI | Foto Raka Syahreza

“… Di Hotel Malibu digambarkan sebagai respons terhadap dua tahun kehidupan yang dilalui – realiti sosial, dinamika percintaan yang berubah-ubah, serta segala yang hadir bersama kejayaan yang dikecapi.”

DUA tahun telah berlalu sejak Thee Marloes debut dengan Perak bersama Big Crown Records.

Sebagaimana album sulung itu, keunikan bunyi yang diperkenalkan trio asal Surabaya ini terus menghiasi penghasilan Di Hotel Malibu yang memuatkan 14 lagu, antaranya beberapa single yang lebih dulu dilancarkan seperti Harap dan Ragu, I’d Be Lost, dan What’s On Your Mind.

Single itu termasuk lagu Di Hotel Malibu yang dijadikan judul bagi album kedua ini yang hadir sebagai peluasan horizon – satu langkah yakin menjauhi batasan yang sebelum ini membingkai bunyi mereka dengan kemas, menuju sesuatu yang lebih terbuka, bersifat dialog, dan berakar kuat pada identiti Indonesia.

Thee Marloes yang dibentuk oleh Natassya Sianturi sebagai vokalis dan pemain papan kekunci, selain Sinatrya Dharaka (gitaris dan penerbit), dan Tommy Satwick (pemain dram), sentiasa berkarya sebagai satu unit.

Iaitu, dengan lagu-lagu yang menurut kenyataan medianya, dibentuk melalui rujukan bersama dan rasa groove yang matang.

Di dalam album itu, bahasa kolektif itu diperluaskan lagi. Susunan muzik bergerak merentasi spektrum yang lebih luas, dengan warna instrumental baharu, perubahan ritma yang tidak dijangka, serta pendekatan struktur yang lebih bebas.

Bagi band ini,  Di Hotel Malibu digambarkan sebagai respons terhadap dua tahun kehidupan yang dilalui – realiti sosial, dinamika percintaan yang berubah-ubah, serta segala yang hadir bersama kejayaan yang dikecapi.

Thee Marloes, menerusi karya terbaru ini, memperlihatkan walaupun kekal setia pada akar soul mereka, namun kini lebih bebas bereksperimen dengan struktur, warna instrumen, dan pendekatan muzikal yang lebih cair.