Ghea Bukan Cuma Jiwa Yang Bersedih
Pada konsert Rasi Jiwa, baru ini, yang menyaksikan penyanyi dan komposer itu berbagi rasa.

Oleh Zurina Waji

“… bukanlah penggemar lagu-lagu galau, mahupun apa yang dibilang sebahagian orang, lagu-lagu healing, namun ia tidak mengurangi rasa senang saya pada gadis asal Kalimantan ini yang mula membina fan base Malaysianya.”

GHEA Indrawari hadir lebih matang. Setidak-tidaknya berbanding penampilan sulungnya di Kuala Lumpur, hampir dua tahun lalu.

Disaksikan sekitar 1,200 penggemarnya, Ghea Indrawari: Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur melakar momen bermakna sebagai konsert solo pertamanya. Iaitu, sejak dia debut dengan Rinduku, sedekad lalu, selepas penyertaannya dalam program pencarian bakat, Indonesian Idol.

Saya bukanlah penggemar lagu-lagu galau, mahupun apa yang dibilang sebahagian orang, lagu-lagu healing, namun ia tidak mengurangi rasa senang saya pada gadis asal Kalimantan ini yang mula membina fan base Malaysianya.

Bukan kecil tentunya pengaruh lagu ke-11 yang dirakamnya itu apabila pada Julai 2024, ia  diiktiraf platform penstriman Spotify sebagai lagu paling banyak distrim, iaitu dengan lebih 240 juta kali.

Saya akui, kedatangan saya ke konsert anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment pada malam Rasi Jiwa memang untukJiwa Yang Bersedih, satu-satunya karya Ghea yang melekat di kepala.

Para Ghealways, begitu Ghea menggelar peminatnya, yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur menyambut bintang bertubuh kecil itu yang membuka malam persembahan lewat Rasa Cinta Ini, diikuti Malaikat dan Bucketlist.

Sedang dia, cukup feminin, menyerlah dalam dres merah jambu, antaranya. Lembut, dia melayani melayani audiens yang membalas dengan bersama menyanyikan lagu-lagu yang diperdengarkan.

Sering, tanpa sengaja dia membuat audiens ketawa, mungkin kerana pembawaannya yang kadang keanak-anakan, ditambah dengan suaranya yang halus itu walaupun usianya kini sudah mencecah 28 tahun.

Sebetulnya, mendengar beberapa lagunya yang tampil mendatar, hampir tiada beza antara satu sama lain, nyaris membuat saya lemas di tengah fans yang lebur dalam aura Ghea yang mengulit malam Rasi Jiwa dengan sebuah persembahan yang sederhana, jujur.

Bait lirik melatari pentas pada sepanjang malam, sambil Ghea turut ditemani para pemuzik dan  penampilan serba putih mereka. Ia mengingatkan saya pada temubual dengan Ghea, tentangnya yang mengajak pendengar mencintai diri sendiri lewat lagu-lagunya.

“Mungkin lagu mengenai mencintai diri dan kesihatan mental ini akan kedengaran cringe,” kata Ghea, keitka itu, dan mengakui terharu apabila tidak menduga karyanya berupaya membantu mereka yang memerlukan melalui masa-masa sulit mereka.

Di tengah konsert, sebuah video pendek dipertontonkan, menjadi salam perkenalan Ghea yang berkongsi latar belakangnya, dan berhasil mencuri hati fans Malaysianya yang bersorak mendengarnya mengakui menggemari “durian, Nasi Lemak dan Upin Ipin.”

Antara 15 karyanya diperdengarkan, konsert ini memperkenalkan saya dengan satu dua judul yang agak menarik, antaranya Tadi Malam yang turut membuatkan audiens riuh dengan usikan nakal Ghea dan seorang penggemar lelakinya, mencipta momen yang mencuit hati. Ghealways juga diberi penghormatan untuk mendengar rakaman lagu terbarunya, Daun Daun sebelum Jiwa Yang Bersedih tiba memenuhi keinginan.

Manusia Paling Bahagia menyusulmenutup malam, dan bersama kematangan yang diraih seiring perjalanannya, juga selama mana dia “menulis dari hati”, ini bukan kali terakhir anda mendengar tentang Ghea Indrawari.