“Legend macam itu kita kena salute.” – Ezad Lazim, antara ribuan fans Senario

Tapi mengapa konsert keraian 30 tahun kumpulan pelawak itu menimbulkan persoalan lebih besar.
Oleh Zurina Waji | Foto Kamarul Baharin
“… tidak sukar untuk melihat bagaimana malam yang dibawakan Dreamscape Events itu menyambut sebuah kerinduan yang sekian lama didambakan. Bukan hanya buat fans, malah Senario sendiri…”
1997, kalau tidak silap. Buku nota baru saja dibuka, siap untuk memulai temuramah dengan Senario apabila terdengar bunyi angin dilepaskan yang membuat suasana yang tadinya agak riuh jadi hening, seketika.
Allahyarham Hamdan, ketika itu, ekspresi serius, sedangkan teman Senario lain bermain mata, berbolak-bolak memandang antara kami berdua, jelas menantikan reaksi yang akan menyusul. Tapi sekali lagi, Hamdan memecah sunyi. Lebih kuat, dan masih mempamer muka tidak bersalah.
2026. Usai konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun, akhir April lalu, masa jelas tidak mengubah keperibadian Senario – mesra, masih membuat pertemuan jadi riuh rendah, macam pasar sebetulnya.
“Kita orang suka menyakat,” kata Saiful Apek pada kesempatan kami berbual, senyum apabila ditanya apa yang paling dirindukannya tentang Hamdan yang sudah lebih dua tahun meninggal dunia.
“Kita rasa momen itu, momen yang menyakat.”
Itulah yang mengingatkan saya pada pertemuan aneh dengan Allahyarham atau nama sebenarnya, Ahmad Hamdan Mohamed Ramli, yang sepertimana Azlee, Lan Pet Pet, Wahid, Pak Ya, Saiful dan Yassin, adalah produk kelahiran program bakat TV3, Sinaran Pasport Kegemilangan.
Selepas tiga dekad, tidak sukar untuk melihat bagaimana malam yang dibawakan Dreamscape Events itu menyambut sebuah kerinduan yang sekian lama didambakan. Bukan hanya buat fans, malah Senario sendiri yang kini memakai gelar Senariounion.
Kerana pada usia melewati setengah abad, kecuali Yassin yang diteriak “adik bongsu”, konsert yang membangkitkan nostalgia itu, terutama buat mereka yang membesar bersama, turut menyingkap rasa yang terpendam, serta mencipta banyak momen yang menyentuh hati.

“The Godfather of comedy.” – Penganjur

Aina Abdul dan fesyen rambu langsirnya meriahkan suasana.
THE GODFATHER OF COMEDY
Seawal panggung dibuka, kemunculan Senario dalam sut hitam mereka menzahirkan gambaran penganjur yang mengumpamakan kumpulan itu, “The Godfather of comedy”, sekalian dipahat menjadi konsep untuk diketengahkan sebagai satu persembahan, lain daripada yang lain.
Ibarat pelari yang memecut menuju ke garisan akhir, keraian 30 tahun yang diterbitkan Kapla Entertainment itu, manakala Mewah Event Management mengendalikan promosi, memperlihatkan Senario dengan energi seolah tidak terkuras di sebalik cabaran usia.
Di Idea Live Arena yang memaksa penganjur menambah kerusi, konsert sekitar dua jam itu meliputi 19 lagu yang pernah dirakam Senario, juga sketsa – terserah juga jika mahu dianggap menyakat atau membahan, menghadiahkan momen yang membuat fans terhibur.
Diiringi Chaan & The Leman Band yang memberikan, antaranya bunyian horn dan akordian, memenuhi dahaga audiens untuk kemunculan paling dinantikan, lewat judul seperti Kerja, Cinta Sate, Boria Miskin Kaya dan Cepat Kaya dalam nafas baharu dan segar.
Jenaka yang berselang-seli, dan saya mengira kebanyakannya secara impromptu, membikin suasana hidup dengan gelak tawa audiens, sekali gus menyedarkan realiti ini: Adakah yang mampu melakukan ini selain Senario?
Senario mungkin tidak memiliki suara emas, tapi siapa peduli tentang terkucil sedikit apabila pada penghujung harinya nostalgia membuai fans pada pertemuan yang menghantar mereka pulang dengan senyuman puas. Juga dengan aura yang ditebarkan Senario, dibantu grafik yang menceriakan persembahan bersama pencahayaan yang membangkitkan mood seperti ketika Lap Lip Lap, Motor Kapchai dan Cinta Berkarat dilagukan.
Atau, ketika vibrasi era 90an kembali menyapa lewat kemunculan Lan dengan gaya ikonik Michael Jackson, selain Saiful dan topi lebar ala Speedy Gonzales, juga Yassin yang membuat audiens mengekek, mengingatkan tentang perjalanan Senario semasa mereka bukan siapa-siapa.
Tapi apabila pelawak mula menghamburkan air mata?
Pentas kelam, di bawah sorotan lampu, meluruhkan perasaan yang menyesakkan dada apabila sebuah kerusi kosong, simbolik kehilangan Hamdan, membuat Doa Untuk Ayah sukar untuk dilagukan.
“Saya merasakan anak dia (Hamdan) duduk di situ, menyanyi. Suara dia sama,” kata Saiful, kemudiannya, mengenai kehadiran Muhammad Syazreen Haqem dengan wajah seiras bapanya yang menambah hiba Senario sehingga segelintir audiens dilihat sama menyeka air mata.
“… Senario antara pelopor muzik tradisional, selain lagu berunsur nasihat walaupun dibawa dalam cara lawak. Tak ada lagi seperti Senario yang boleh menyanyi dan ada album, selain melawak, malah ada sketsa dan filem.” – Ezad Lazim

Kemunculan anak Allahyarham Hamdan, Muhammad Syazreen Haqem (tengah) menambah hiba.
SEBELUM DAN SESUDAH
Satu sosok berbaju Melayu baby blue, malam itu, ternyata bukan fan biasa-biasa. Dia yang hadir bersama anaknya, Putera Muhammad Darwish, 11, dan seorang teman, menyimpulkan ini: “Legend macam itu kita kena salute.”
Ezad Lazim, vokalis band terkenal Exists. Senario, baginya, bukan sekadar memberikan memori indah lewat sitkom, juga filem dan lagu-lagu mereka seawal zaman remajanya, malah menginspirasinya sebagai pelakon, terutama dalam komedi.
“Saya beli tiket lama dah sebab anak (Darwish) pun minat Senario sejak dia menonton filem mereka. Sebelum pergi Haji saya layankan dulu permintaan anak, bagi dia gembira,” katanya yang kini berada di Mekah bagi menunaikan ibadah Haji bersama isteri, Nor Azeana Ramli.
The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun, katanya, adalah hadiah bermakna buat mereka dua beranak.
“Kerana saya juga peminat, ini jadi reunion yang sangat mengimbau memori,” katanya yang masih menyimpan impian untuk sepentas dengan Senario. “Sambil bonding antara bapa dan anak, kami ada memori bersama., dan rasanya bukan kami saja yang rasa begitu.
“Apa momen paling best? Semua, dan paling terkesan tentunya tribute kepada Allahyarham Hamdan. Secara peribadi, saya paling enjoy apabila bermula segmen lagu Hari Raya, terutama lagu Seminggu Berhari Raya, dan lagu tradisional mereka,” katanya.
Konsert jadi ekstra istimewa dengan kemunculan Aina Abdul bersama kelunakan suaranya, memberikan Joget Senda Gurau, Joget Toleh Menoleh, Zapin Cinta SMS dan Zapin Usik Mengusik, sporting biarpun sempat jadi bahan usikan dek busana diihiasi rambu langsir yang digayakannya.
“Di situ juga boleh lihat Senario antara pelopor muzik tradisional, selain lagu berunsur nasihat walaupun dibawa dalam cara lawak,” kata Ezad lagi, sebelum berubah nada, menambah, “Tak ada lagi seperti Senario yang boleh menyanyi dan ada album, selain melawak, malah ada sketsa dan filem.”
Malam terasa masih muda ketika kumpulan itu, diketuai Yassin lewat Cari Tapak, menyempurnakan rindu dendam 30 tahun, sedang persoalan sama terus berlegar, sekali lagi: Siapa selepas Senario?

Konsert Senario, hadiah Ezad (kanan) buat anaknya, Darwish (depan).





Comments are closed.