A Tribute to Sharifah Aini, Legasi Seorang Biduanita

Jun ini, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) memberikan penghormatan itu buat julung kalinya.
Oleh Zurina Waji | Foto MPO
“SUSAH untuk kita bagi satu set list yang ideal,” kata konduktor, Ahmad Muriz Che Ros, mengakui pemilihan lagu bagi malam A Tribute to Sharifah Aini yang sudah direncana MPO sejak setahun lalu pun sudah cukup mencabar.
Cuma satu harapannya.
Iaitu, agar 29 lagu yang dipilih daripada arkib Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang meliputi sekitar 700 lagu dengan lebih 100 album, dapat menzahirkan penghormatan buat legasi legenda itu lewat persembahan yang bakal dipimpinnya kelak.
“Karyanya melangkaui tiga dekad,” katanya mengenai penyanyi itu yang debut lewat Seri Dewi Malam pada 1970. “Saya cuba, itulah dia perkataannya, ‘saya cuba’ untuk mencari antara yang terbaik daripada setiap era dan juga genre.
“Dia ada (Melayu) Deli. Dia ada tradisional. Dia ada pop. Dia ada melodi Hindustan, ala-ala dangdut. Muzik daripada filem tak banyak, tapi powerful, jadi kena ada. Itulah bentuk pengiraan yang saya cuba untuk membuat keputusan.”
Justeru, ujarnya, kepada penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim, Salamiah Hassan, Asmidar, dan Shiha Zikir, harapan turut disandarkan bagi menjadikan malam itu sebagai sebuah konsert yang membangkitkan nostalgia, serta mengingatkan akan kekuatan muzik Sharifah Aini yang tiada batas.
Jelasnya, diiringi 65 pemuzik orkestra, Kadijah misalnya akan membawakan lagu seperti Hapuslah Airmatamu danKudaku Lari, manakala Salamiah memperdengarkan Tiada Maaf Bagimu dan Forever and Ever.
Manakala Asmidar, katanya, akan menyanyikan, antaranya Seri Dewi Malam dan Surat dari Seberang, selain Mawar Putih Untuk Mama dan Bunga Tanjung daripada Shiha yang juga merupakan protege Allahyarham.
Sambil mengungkapkan perumpaan, ‘sesuatu yang disukai oleh seseorang, mungkin dibenci pula oleh orang lain’, katanya, ia tidak menghalang MPO untuk berusaha menyajikan yang terbaik daripada Allahyarham Sharifah Aini menerusi gubahan semula Azhad Sulaiman, Shahhakam, Jenny Chin, Ilham Subri dan Luqman Aziz, selain Ahmad Muriz sendiri.

Majlis sidang media A Tribute to Sharifah Aini.
A Tribute to Sharifah Aini itu sendiri, ujarnya, cukup untuk menjelaskan mengapa ia salah satu persembahan paling mencabar pernah dikendalikannya, terutama daripada segi susunan muziknya, selain pemilihan lagu.
“Sukar untuk padatkan lagu-lagu (Sharifah Aini) kerana ia bukan sekadar lagu, tapi hits yang hendak dimuatkan di dalam sebuah konsert dua jam,” katanya, seraya mengambil kira bagaimana ia kelak turut memberi keadilan buat para penyanyi yang akan menyampaikan karya berkenaan.
Berhubung pemilihan penyanyi, menurut Ahmad Muriz, sementara keupayaan penyanyi seperti Khadijah dan Salamiah sememangnya tidak perlu dipertikaikan, bakat muda seperti Asmidar dan Shiha juga tidak boleh dianggap enteng.
“Saya tidak perlu mencari lebih jauh,” katanya, merujuk Asmidar selepas beberapa kali mereka bekerjasama. “Penyanyi ini kadang ada trial and error daripada segi pemilihan, tapi Asmidar ini saya tahu, kalau saya beri satu benda dia akan… saya suruh buat dua, dia akan buat empat.”
Begitu juga, katanya, dengan Shiha yang diyakini berupaya membuka mata lebih ramai pihak, termasuk mendedahkan generasi muda dengan karya-karya Sharifah Aini, sekali gus menarik minat untuk mendengar dan menghargai, termasuk usaha seperti dilakukan MPO.
“Kalau Sharifah Aini sendiri memilih Shiha sebagai protege, siapalah saya untuk menafikannya,” ujarnya, percaya Shiha yang mendapat bimbingan Allahyarham sejak bersama dalam program realiti, Mentor, pada 2011, berupaya memberi kejutan.
APA KATA PENYANYI?
KHADIJAH
“Arwah selalu menyanyi dengan Abang Latif (Ibrahim). Kadang-kadang bila Abang Latif tiada Kak Pah (Sharifah Aini), Khadijahlah kena menyanyi, menggantikan Kak Pah. Sudah tentu kita tidak boleh menyanyi seperti Kak Pah, tetapi kami akan menyanyi dengan cara kami, rendisi kami sendiri.
“Penyampaian itu ialah untuk orang merasainya – ingat, imbas waktu muda dulu. Saya sendiri pun, lagu Seri Dewi Malam, dulu umur 12 tahun, 13 tahun dengar lagu macam itu membawa kembali memori yang indah.”
SALAMIAH
“Saya rindukan dia. Dia adalah penyanyi terbaik Malaysia, selamanya. Nak menyanyi di konsert ini, berat untuk saya. Saya tidak tahu bagaimana saya mahu melakukannya, tapi saya akan melakukan sedaya mungkin untuk menyampaikannya dengan cara saya menyampaikannya. Tapi tak bolehlah macam Sharifah Aini, suara saya pun tak sesedap dia.
“Dan bagus untuk anak muda (Asmidar dan Shiha) mendapatkan pengalaman ini. Walaupun saya sudah berada di dalam industri ini 50 tahun lebih, tapi untuk menyanyi bersama 65 pemuzik Orkestra Filharmonik… bagus untuk anak muda belajar sesuatu.”
ASMIDAR
“Lagu-lagu dia malar segar. Beliau adalah satu penyanyi yang kita bagi lagu apa pun, dia akan sedapkan lagu itu. Itulah kelebihan Sharifah Aini yang sentiasa memberikan inspirasi. Berbanding lain, saya paling kurang terkait dengannya, tapi dia membawa pengaruh paling besar buat saya.
“Sejak kecil, lagu beliaulah yang menemani perjalanan saya. Pertandingan yang saya masuk, peluang-peluang kecil yang diberikan… saya sangat menghargai peluang diberikan MPO. Ini datang daripada kata-kata seorang peminat saja, tapi dapat menyanyikan lagu beliau dengan orkestra MPO adalah impian yang menjadi kenyataan.”

Asmidar menempuhi perjalanan seni dengan karya-karya Sharifah Aini.
SHIHA
“Sewaktu saya menerima demo, saya (menangis) teresak-esak di rumah. Terlalu banyak momen… ‘aku mampukah nak menyanyi?’ Saya takut, saya rasa gementar. Saya bangga sebab dipilih menyanyi, tapi saya gementar sangat, saya takut. Saya takut tak mampu sampaikan sebaiknya.
“Sebenarnya, saya memang nak menyanyi dengan MPO. Sudah lama saya angankan, bilalah saya dapat menyanyi dengan MPO. Macam bulan jatuh ke riba, tiba-tiba dapat panggilan. Ini yang saya memang nak sangat, dapat pula bersama kawan-kawan baik arwah, terima kasih.”

Shiha hargai peluang diberi MPO bagi tribute buat mentornya.
Akses
- 6 Jun 2026
- Dewan Filharmonik PETRONAS
- 8pm
Tiket
- RM249, RM299, RM349, RM399, manakala RM449 (suite/duduk) termasuk hidangan ringan.
- Hubungi 03-23317007 untuk pembelian, atau e-mel boxoffice@dfp.com.my





Comments are closed.