Art of Speed 2026 Bawa 54 Pemuzik, dari Cokelat X Ella ke Tenxi sampai Masdo

Kembali bersama Festival SoundCircus di MAEPS selama dua hari, Ogos ini.
Oleh RUMI
“… untuk mengangkat SoundCircus menjadi pengalaman muzik destinasi yang meningkatkan profil Selangor sebagai destinasi kreatif dan pelancongan terkemuka di rantau ini.” – Asep, Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026
EDISI ke-15 Art of Speed (AOS) kembali Ogos ini, memperkukuhkan jenamanya lewat koleksi automotif, seni dan pop culture, dengan membawakan Festival SoundCircus bersama 54 pemuzik di enam pentasnya.
Dua tahun tidak hadir, festival itu dianggap sebagai bonus bagi penganjuran AOS 2026.
Dibarisi artis Malaysia, juga Indonesia, Singapura, dan Jepun, AOS 2026 akan berlangsung di Taman Ekspo Agro Malaysia, Serdang (MAEPS), selama dua hari, iaitu pada 1 dan 2 Ogos.
Pengarah Festival Art of Speed Malaysia dan SoundCircus Summer Festival 2026, Asep Ahmad Iskandar, menyifatkan penganjuran SoundCircus yang disokong Tourism Selangor sebagai rakan strategik, menyaksikan edisi tahun ini sebagai sebuah evolusi.
“Kembalinya SoundCircus menandakan evolusi festival dan impaknya yang semakin meningkat terhadap industri kreatif dan pembangunan pelancongan Malaysia.
“Sejak penubuhannya pada 2017, SoundCircus telah dikonseptualisasikan sebagai platform muzik terpilih yang didedikasikan untuk menyokong kedua-dua bakat yang mapan dan baru muncul, terutamanya dalam ekosistem muzik Indie dan underground Malaysia,” katanya.
Jelas Asep, kolaborasi itu sejajar dengan usaha yang lebih meluas untuk meletakkan Selangor sebagai hab yang bertenaga buat pelancongan kebudayaan, industri kreatif dan acara gaya hidup berskala besar.
“Dengan sokongan Tourism Selangor, kami berhasrat untuk mengangkat SoundCircus menjadi pengalaman muzik destinasi yang meningkatkan profil Selangor sebagai destinasi kreatif dan pelancongan terkemuka di rantau ini.
“Pengenalan enam pentas susun atur pada 2026 pula mencerminkan komitmen kami untuk mengembangkan skala festival sambil mengekalkan integriti dan kepelbagaian artistik,” tambahnya.

Apa yang menanti di pentas SoundCircus?
- Slot persembahan terpilih, Takhta Ratu Nusantara, buat pertama kalinya, membawakan legenda dua negara seperti Cokelat X Ella di satu pentas
- Dua band rock, dua generasi berbeza dengan Jemson X Def-Gab-C lewat Legends X Renegades
- Slatan 0108 yang merayakan konsep baru sambil menyambung ulang tahun mereka lewat 010.8 FM present: Hari Slatan
- Dikir Kustom, sebuah persembahan dikir barat oleh Issey dan The Clique
- Konsep istimewa, anak dan ayah oleh Couple dan Adnan Othman yang berkongsi pentas buat pertama kali lewat Power Pop Yeh Yeh
- Buat fans muzik hardcore, edisi 2026 ini memperkenalkan 30 Years of Asian Hardcore
Kenyataan media AOS 2026 turut mengumumkan SoundCircus akan dibahagikan kepada tiga fasa, iaitu 20 pemuzik bagi Fasa 1 dengan artis seperti The Jansen, Masdo, Midnight Fusic, Sweetass, Johny Comes Lately, dan DJ Miko Naiko, manakala Fasa 2 dibarisi 34 pemuzik seperti Cokelat X Ella, Nadin Amizah, Tenxi, Johnny Pandora, K.O.I, Piring Terbang, Overthrown dan DJ Mekanik.
Fasa 3 akan diumumkan dalam masa terdekat.
AOS 2026 juga akan dimeriahkan dengan pertandingan kereta dan motosikal, Show & Shine; ThunderCircus Brotherhood Rally & Mega Ride; Santai Scooterist & Roda Rumble 2026 Two Wheels Gathering, selain Kulture Kartel yang membawakan barangan vintaj, terpakai, dan streetwear.

Akses
- 1 & 2 Ogos 2026
- MAEPS, Serdang
- 10am – larut malam
Tiket
- AOS 2026 – RM35
- SoundCircus – RM89 – RM169 (General Admission), RM139 – RM219 (SoundCircus Rockzone) dan RM188 – RM388 (Hero Guest Care Pack)
- Beli di https://biz.bboevents.com/event/#/aosscf26
- Tiket juga boleh didapatkan di pintu masuk pada hari acara





Comments are closed.