Sensasi 4 Dekad Aishah
Sebuah keraian legasi, cinta dan nostalgia, Julai ini.

Oleh RUMI

“Dato’ Aishah adalah nama yang membentuk sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah pengalaman yang akan menyentuh emosi audiens dari awal hingga akhir.” – Shawn Chang, Vox Nation Live

“SEMOGA akan mengimbau kenangan dan menyentuh hati, menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” kata Dato’ Aishah, melahirkan harapannya mengenai lagu-lagu yang akan berkumandang pada 4 Julai nanti.

Digelar Aishah 40 Chapters of Love, Live in Concert, malamkonsert solo berskala besar anjuran Vox Nation Live itu adalah yang pertama buat pelantun Janji Manismu ini yang mula mencipta sensasi sebagai Aishah & The Fan Club pada akhir 1980an.

Bersama band asal New Zealand itu, anak jati Negeri Sembilan ini meledak menerusi karya seperti Sensation dan Call Me, selain Don’t Let Me Fall Alone yang menembusi carta US Billboard Hot 100, ketika itu.

“Konsert ini adalah hadiah saya buat peminat setia yang telah bersama saya selama ini,” ujar Aishah dalam kenyataan medianya. “Saya tdak sabar untuk kembali ke pentas dan berkongsi momen istimewa bersama anda semua.”

Aishah 40 Chapters of Love, Live in Concert, menurut kenyataan itu lagi, bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perayaan penuh emosi yang menghimpunkan cinta, kenangan, dan perjalanan seninya selama 40 tahun dalam industri muzik.

Mengangkat tema perjalanan hidup dan cinta melalui muzik, konsert ini bakal membawa audiens menyelusuri setiap bab dalam karier gemilangnya. Setiap lagu yang dipersembahkan bukan sekadar hiburan, malah kisah yang pernah hidup dalam jiwa para peminat.

Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang, dalam kenyataan medianya, menyifatkan konsert berkenaan sebagai sebuah penghormatan kepada legasi seni seorang ikon negara.

“Dato’ Aishah adalah nama yang membentuk sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah pengalaman yang akan menyentuh emosi audiens dari awal hingga akhir.

“Kmai mahu peminat merasai setiap detik, setiap lagu, dan setiap kenangan yang dibawa ke pentas,” ujarnya.

Akses

  • 4 Julai 2026
  • Megastar Arena, Kuala Lumpur
  • 8pm

Tiket