Saat Dancing Queen Meraikan Ulang Tahunnya Yang ke-50
Bernostalgia bersama Bjorn Again pada malam tribute buat kumpulan legenda, ABBA.

Oleh Zurina Waji

 “… sekitar 2,000 audiens malam itu – meliputi tiga generasi, sekali gus memperlihatkan magis yang dibawa muzik ABBA, merentasi usia, warna kulit, latar belakang dan sempadan…”

“JADI teringat pada abah,” ujar seorang teman usai konsert Bjorn Again – The ABBA Forever Tour di Zepp Kuala Lumpur, baru ini.

Ada nada terharu kala dia menuturkannya, tenggelam seketika dalam kenangan. Sambil menarik nafas, dia mengakui kecenderungannya pada muzik, terutamanya, dibenihkan sang ayah seawal tahun 70an, pada era piring hitam dan muzik disko.

“Abah yang memperkenalkan ABBA,” katanya, mengakui konsert oleh kumpulan tribute yang ditubuhkan di Melbourne, Australia itu, seolah menghantarnya kembali ke zaman kecilnya, pada banyak memori indah.

Juga bagaimana memori itu menyimpan cerita dan tentang perhubungan ayah-anak yang menemani perjalanan hidupnya, membuatnya tambah sebak.

Biar cuma sebuah kumpulan tribute, malah memakai nama Agnetha Falstart, Benny Andersson, Bjorn Ulvaeus dan Anni-Frid Lyngstad, Bjorn Again diperakui oleh ABBA sendiri sebagai satu-satunya yang paling dekat dengan mereka.

Saya kira, wajar saja apabila melihatkan pada kehadiran sekitar 2,000 audiens malam itu – meliputi tiga generasi, sekali gus memperlihatkan magis yang dibawa muzik ABBA untuk merentasi usia, warna kulit, latar belakang dan sempadan untuk terus relevan.

Bernostalgia sememangnya mengharukan. Siap dengan kostum ABBA, Bjorn Again menebarkan banyak momen indah melalui lebih 20 hits kumpulan asal Sweden itu yang diperdengarkan sepanjang konsert hampir tiga jam.

Dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd, Bjorn Again memungkinkan fans melepaskan rindu dendam.

Dibuka dengan Waterloo, malam itu dihangatkan dengan judul seperti Supertrouper, Honey Honey, SOS, Fernando, Winner Takes It All, Money Money, Knowing Me, Gimme Gimme Gimme, dan When I Kissed The Teacher.

BACA: Bjorn Again Bawa Demam ABBA ke KL!

Ditubuhkan pada 1998, Bjorn Again membangkitkan nostalgia buat generasi 70an dan 80an, malahan sebelumnya, sambil penggemar muda menumbuh, antaranya dicetuskan filem komedi romantik, Mamma Mia pada 2008 yang berdasarkan muzikal pentasnya.

Ini adalah persinggahan kali kedua mereka di Malaysia selepas hampir 15 tahun, sekali gus menambah kepada rekod jelajah untuk kumpulan tribute yang ditubuhkan pada 1972 itu di seluruh dunia yang meliputi lebih 120 negara.

Jika ditelusuri lagi, malam melangkaui elemen nostalgia apabila mengingatkan bagaimana ABBA memanfaatkan pengaruh mereka, misalnya melalui lagu seperti Chiquitita yang bermakna “gadis kecil” di dalam bahasa Sepanyol.

Iaitu, bagaimana sejak 1979, lebih RM20 juta hasil royalti pembelian digital atau penstriman lagu itu telah disalurkan ABBA kepada tabung UNICEF menerusi projek yang bertumpu pada usaha melindungi dan rehablitasi kanak-kanak daripada keganasan, penderaan, dan eksploitasi.

Bagi saya, bagaimanapun, apa yang menyempurnakan persinggahan Bjorn Again, kali ini, ialah kerana Dancing Queen yang pada Ogos, tahun ini, meraikan ulang tahunnya yang ke-50 sejak dipasarkan pada 1976, bulan yang sama.

“Dancing Queen kedengaran menggembirakan, tapi sebenarnya membuat aku sedih,” pernah, seorang teman lain berkongsi pandangan. “Kerana usia 17 tahun itu, apabila kau memandang semula, seolah ada sesuatu yang tertingal dan tidak mungkin berulang.”

Sepertimana kata Agnetha, dalam satu temubual secara maya, sebelum jelajah mereka tiba di Kuala Lumpur, “Ini yang menariknya mengenai ABBA (berupaya mencipta) lagu kedengaran gembira, tapi sebenarnya bukan gembira, seperti Mamma Mia.”

Entah berapa ramai penggemar yang merasai pertalian dengan karya-karya malar segar ABBA, sama ada tersisip sebagai memori atau ruang membina harapan, terlakar dalam perjalanan hidup masing-masing dan bercambah.

Dancing Queen, sudah tentu, akan selamanya menjadi lagu ABBA yang paling saya minati, tapi biar bersetuju dengan pandangan teman tadi, saya memilih untuk berdamai dengan takdir agar rasa magis yang pernah tercipta dulu hidup sampai ke akhirnya.