Bjorn Again Bawa Demam ABBA ke KL!

Sebuah malam magis, dihidupkan kembali oleh kumpulan tribute ini pada 12 Ogos ini.
Oleh Zurina Waji
“… ini yang menariknya mengenai ABBA (berupaya mencipta) lagu kedengaran gembira, tapi sebenarnya bukan gembira, seperti Mamma Mia.” – AGNETHA
“DANCING Queen, sudah tentu,” kata Agnetha Falstart yang mengganggotai kumpulan tribute ABBA, Bjorn Again, mendedahkan antara tiga lagu kumpulan legenda Sweden itu yang paling digemarinya.
“Anda tidak akan tersalah pilih dengan Dancing Queen, sebuah lagu magikal. Setiap kali, apabila lagu itu bermula saja akan memberikan rasa yang menggembirakan, kebanyakannya. Juga, kerana saya suka menari.”
Jadi, boleh bayangkan kalau masa dapat diputar untuk kembali ke era 70an bersama ABBA?
Pada 12 Ogos ini, di Zepp Kuala Lumpur, kegemilangan era itu akan dihidupkan kembali oleh Bjorn Again lewat konsert jelajah Bjorn Again – The ABBA Forever Tour. Dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd, ia menjanjikan sebuah malam penuh magis.
Arkib ABBA dengan puluhan hits malar segar, menurut Agnetha sendiri yang entah berapa banyak lagu ABBA mahu pun konsert yang dipersembahkan kumpulannya sejak ditubuhkan di Australia pada 1988 menyebabkan bukan mudah untuk memilih.
“Susah nak jawap sebenarnya,” katanya, sebelum itu, pada temubual secara maya, baru ini. Dia yang ditemani seorang lagi anggota kumpulan itu, Benny Andersson, menambah, “Saya suka semua (lagu) sebenarnya.
“Selain Dancing Queen, secara peribadi, The Winner Takes It All. Ia adalah sebuah lagu yang sangat emosional. Sebaik anda menyanyikannya, terasa menyedihkan dan kemudian mula rasa marah, menyerah dan menerima. Roller coaster.
“Saya menangis setiap kali (menyanyikannya), malah ia membuat saya emosi sekarang ini.”
Dia juga menamakan SOS yang disifatkannya, “Sangat indah, SOS kendengaran seperti sebuah lagu yang menggembirakan tapi bukan dan ini yang menariknya mengenai ABBA (berupaya mencipta) lagu kedengaran gembira, tapi sebenarnya bukan gembira, seperti Mamma Mia.”
Diminati, daripada band rock, Metallica ke Dave Grohl, juga legenda Tom Jones ke aktor terkenal British, Rowan Atkinson, antaranya, Bjorn Again dikatakan satu-satunya yang diperakui ABBA sendiri dan dilihat pilihan terbaik untuk fans mengenali kumpulan yang ditubuhkan pada 1972 itu.
Bagi Benny, konsert di Malaysia cukup bermakna buat mereka yang kembali selepas lebih sedekad.
“Kami pernah mengadakan persembahan di Kuala Lumpur, mungkin sekitar 12 atau 15 tahun lalu,” katanya yang cukup meminati Mamma Mia, Dancing Queen dan Gimme! Gimme! Gimme! (A Man After Midnight).
“Ia memberikan memori yang menggembirakan dengan audiensnya, energinya. Bakal bermain di lokasi yang agak baharu seperti Zepp Kuala Lumpur, kami teruja untuk membawa demam ABBA dengan pelbagai perisa keriangan kepada audiens kelak,” katanya.
“… dua atau tiga generasi daripada keluarga yang sama, datang menonton persembahan kami. Iaitu mereka yang membesar sebagai fans ABBA, atau fans pementasan Mamma Mia! misalnya dan mereka membawa anak cucu bersama.” – BENNY


Ditubuhkan di Stockholm, ABBA yang turut dianggotai Bjorn Ulvaeus dan Anni-Frid Lyngstad, selain Agnetha dan Benny adalah antara artis dengan jualan album tertinggi di dunia, melebihi 150 juta unit.
Bagi konsert di Kuala Lumpur nanti, Benny berkata, mereka menyenaraikan sekitar 22 lagu, sebahagian besarnya merupakan hits ABBA yang akan diperdengarkan dalam sebuah persembahan yang dijangka memakan masa hampir tiga jam.
“Sudah tentu malam di Kuala Lumpur akan diisi dengan karya hits ABBA, tak boleh kalau kami tak mainkan Dancing Queen, Mamma Mia, Fernando. Kami juga ingin memberikan beberapa cover yang tidak begitu dikenali atau bukan hits, tapi ia akan menjadi campuran judul yang menarik,” katanya.
Agnetha, apabila ditanya apa yang paling menggembirakannya selama membuat jelajah sebagai kumpulan tribute ABBA, jawapnya, “Dapat bertemu audiens, fans ABBA. Melihat wajah gembira mereka apabila kami menyanyi, wajah yang berseri apabila lagu tertentu dipresembahkan.”
Benny ikut mencelah, bukan asing untuk melihat dua atau tiga generasi dalam kalangan audiens mereka.
“Selalunya akan ada dua atau tiga generasi daripada keluarga yang sama, datang menonton persembahan kami. Iaitu mereka yang membesar sebagai fans ABBA, atau fans pementasan Mamma Mia! misalnya dan mereka membawa anak cucu bersama.
“Ia memperlihatkan ada suatu yang agak istimewa mengenai muzik ABBA itu sendiri yang membuktikan kekuatan karya-karya mereka, dan menjadikan persembahan ini sebagai sebuah malam keluarga, tiada kata lucah serta sesuai dengan semua peringkat usia,” katanya.
Bagi menghidupkan malam nostalgia ABBA bersama Bjorn Again, Agnetha mengajak audiens untuk hadir dengan gaya 70an.
“Ia tentang soal mengekspres diri, bergembira, dengan gaya 70an anda yang penuh kilauan, taburan manik. Kami tak akan terkejut kalau ada nanti yang datang dengan mengenakan kostum ABBA.
“Kita kembali ke era itu, kita melawa dan berseronok, ambil foto dan video dengan pakaian berkilauan, sepatu platform. Jadikan ia sebagai sebuah pengalaman baharu yang paling diingati,” katanya.
Selepas persiapan rapi selama enam bulan, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, berkata dia gembira konsert bertaraf antarabangsa seperti Bjorn Again – The ABBA Forever Tour akan terzahir dalam beberapa hari ini.
“Ganjaran terbesar bagi kami adalah melihat wajah para peminat sewaktu meninggalkan dewan. Apabila mereka mengatakan ini antara malam terbaik dalam hidup mereka, itu mengatasi segalanya.
“Ia membuatkan segala persiapan, pelbagai halangan dan kerja keras berbaloi apabila objektif utama untuk membahagiakan peminat tercapai. Jarang sekali kta dapat saksikan konsert di mana tiga generasi boleh datang dan menikmati muzik bersama-sama,” katanya.
Tiket terhad bagi konsert Bjorn Again – The ABBA Forever Tour boleh didapatkan di www.ticket2u.com





Comments are closed.