Tiket Puteri Gunung Ledang The Musical Mula Dijual
Dijangka laku keras, ia dirancang bakal menjadi pementasan paling diingati penggemar seni.

Oleh RUMI

“Sejak para pelakon kami menamatkan imersi budaya Jawa, awal tahun ini, pasukan kreatif dan teknikal kami telah tenggelam dalam pra-produksi, memperhalusi setiap perincian –  “ – – Tiara Jacguelina.

“INI adalah detik yang sangat emosional bagi saya,” kata Pengarah, Tiara Jacquelina yang kembali mementaskan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical, bermula 31 Oktober ini, dengan barisan pelakon baharu.

Diterajui Aisha Retno dan Mila Mohsin sebagai Puteri Gunung Ledang, manakala Aqasha bagi watak Hang Tuah, versi 2026 ini turut menampilkan Mimifly, Nadia Aqilah, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.

Dipentaskan kali pertama, dua dekad lalu, muzikal yang menyusuli filem epik, Puteri Gunung Ledang arahan Saw Teong Hin yang menyaksikan gandingan Tiara-Datuk M Nasir, pengumuman rasmi  berhubung penjualan tiket , baru ini, membangkitkan keterujaan di platform media sosial.

“Membaca semua komen di Threads, Instagram dan Tik Tok benar-benar mengharukan dalam cara yang paling indah. Telefon kami hampir tidak berhenti berdering, dan kami sudah mula menerima pertanyaan daripada syarikat yang ingin menempah persembahan korporat.

“Sejak para pelakon kami menamatkan imersi budaya Jawa, awal tahun ini, pasukan kreatif dan teknikal kami telah tenggelam dalam pra-produksi, memperhalusi setiap perincian – daripada muzik dan koreografi hingga set, kostum, dan kesan khas.

INFO TIKET

  • Kini mula dijual, dengan tempoh tempahan keutamaan eksklusif 72 jam untuk pemegang kad AFFIN, bermula 8 malam pada 18 Ogos.
  • Jualan umum akan dibuka pada 21 Ogos.
  • Untuk info dan kemas kini, ikuti @PGLTheMusical dan @EnfinitiMakesMagic di semua platform media sosial.

“Kini, dengan latihan bermula pada 17 Ogos, keajaiban sebenar akan bermula. Seluruh pasukan saya dan saya sendiri bertekad untuk mencipta sebuah produksi yang akan diingati penonton sepanjang hayat mereka,” kata Tiara yang juga Penerbit Bersama muzikal itu.

Diterbitkan oleh Enfiniti dan dipersembahkan oleh Jeffrey Cheah Performing Arts Centre, manakala Sunway Square sebagai produksi pembukaan besar, pementasan itu dijadual berlangsung sehingga 15 November ini.

Produksi ini, menurut kenyataan medianya, telah dibangunkan secara senyap selama beberapa bulan, antaranya Bengkel Imersi Budaya Jawa selama 10 hari, secara intensif, bagi memperdalam pemahaman mereka tentang dunia, adat dan tradisi yang mengilhamkan kisah ini.

“Sudah lapan tahun sejak Enfiniti, kali terakhir, mementaskan muzikal Ola Bola The Musical, dan saya hampir terlupa betapa mengujakan tempoh ini  – debaran, perbualan, dan perasaan indah melihat penonton mengira hari menuju malam pembukaan,” katanya