G.O.A.T DOLLA Tampilkan Rapper Thailand, F.Hero
Tanda permulaan era baharu DOLLA yang lebih berani melebarkan sayapnya.

Oleh RUMI

“Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala F.Hero pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras ini menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensti baharu.” – DOLLA

“SATU pengalaman yang sangat menarik kerana gaya muziknya sangat berani dan penuh karakter, selari dengan arah baharu kami yang kami ingin tampilkan menerusi G.O.A.T,” kata DOLLA mengenai kolaborasi bersama ikon rap Thailand, F.Hero.

Bukan sekadar sebuah single, G.O.A.T menjadi lambang keberanian DOLLA untuk berkembang, bereksperimen dan terus memperluaskan horizon muzik mereka. Ia hadir selepas lapan bulan penantian, serentak mencerminkan aspirasi mereka untuk terus mengembangkan pengaruh ke seluruh Asia Tenggara dan pasaran antarabangsa.

Diterbitkan oleh penulis dan penerbit dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen yang pernah menghasilkan lagu-lagu antarabangsa seperti I Am dan Kitsch nyanyian IVE,  G.O.A.T menggabungkan produksi pop yang mantap dengan elemen rap yang penuh karakter.

Lagu ini ditulis bersama Erika Dahlen, Amanda Liedberg, Stian Nyhammer Olsen dan F.Hero.

F.Hero, salah seorang figura hip-hop paling berpengaruh menyuntik karisma dan identiti tersendiri  ke dalam lagu ini.,sekali gus menghasilkan gabungan unik antara pop Malaysia dan hip-hop Thailand.

“Kami rasa F.Hero benar-benar membawa semangat lagu ini,” ujar DOLLA yang melihat kolaborasi ini sebagai langkah penting mereka untuk mencipta peluang di Thailand, antara pasaran muzik paling dinamik di Asia Tenggara.

“Sebagai kumpulan wanita, vokal kami lebih feminin, manakala F.Hero pula membawa tenaga yang lebih garang dan kuat. Kontras ini menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberi satu dimensti baharu.”

SIAPA F.HERO?

  • Penulis lagu dan aktor, selain rapper
  • Nama sebenar, Nattawut Srimhok. Berusia 43 tahun
  • Asal Mae Sai, Thailand, dia juga merupakan lulusan undang-undang daripada Universiti Ramkhamhaeng
  • Dikenali, antaranya lewat Mirror Mirror, satu kolaborasi Kolaborasi dengan Milli, menampilkan bintang Korea, Changbin daripada Stray Kids

G.O.A.T juga, menurut DOLLA, adallah permulaan kepada satu era yang akan terus berkembang.

“Fans boleh menjangkakan lebih banyak persembahan, konsep-konsep menarik dan tentunya lebih banyak muzik terbaharu daripada kami,” kata mereka yang bakal terbang ke Paris, Oktober nanti, untuk The A Festival 2026.

“Ia merupakan satu pencapaian besar buat DOLLA,” katanya, merujuk persembahan di Paris itu. “Konsep ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini. Jadi, fans akan terus melihat sisi DOLLA yang lebih berani, lebih yakin dan lebih matang pada masa akan datang.”

G.O.A.T kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama.