Mana Fans Ari Lesmana? Last Call untuk konsert Mangu!
Buat julung kalinya, tampil dengan gandingan DJ Firza dan Enau sebagai penampilan khas.

Oleh RUMI

“… kombinasi nama-nama besar, khasnya Ari Lesmana bagi konsert Mangu di Kuala Lumpur yang menjanjikan sebuah garapan estetika muzik yang bakal terpahat dalam sejarah penganjuran acara tempatan bagi tahun 2026.”

“TERHAD dan sangat kritikal,” menurut penganjur, Rockstage Entertainment, mengenai jualan tiket konsert eksklusif Mangu di Kuala Lumpur yang kini berbaki sedikit saja lagi menjelang persembahan di Zepp Kuala Lumpur, 15 Ogos ini.

Sehubungan itu, satu notis panggilan terakhir dibuat kepada semua pecinta muzik, khususnya penggemar bintang asal Indonesia, Ari Lesmana yang juga bakal tampil menerusi satu kolaborasi eksklusif dan dinamik bersama DJ Firza bagi menyuntik elemen tenaga yang berbeza.

Juga, buat pertama kalinya, bagi melengkapkan lagi naratif malam penuh magis itu, konsert berkenaan akan diperhangatkan degan penampilan khas Enau yang lebih dulu mencipta gelombang bersama Ari lewat Sesi Potret, awal tahun lalu.

Penganjur, menerusi kenyataan medianya, memaklumkan momentum pembelian tiket menunjukkan unjuran yang sangat luar biasa dan mengajak fans untuk tidak ketinggalan mencipta malam indah bersama penyanyi itu yang juga sebahagian daripada band Fourtwnty.

Ini, ujarnya, jelas dicetuskan kombinasi nama-nama besar, khasnya Ari Lesmana bagi konsert Mangu di Kuala Lumpur yang menjanjikan sebuah garapan estetika muzik yang bakal terpahat dalam sejarah penganjuran acara tempatan bagi tahun 2026.

Memetik kenyataan itu, kata penganjur lagi, “Kami amat terharu dan berterima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan oleh para peminat, setakat ini. Keghairahan yang dizahirkan membuktikan audiens kita amat dahagakan persembahan yang berkualiti tinggi.

“Sehubungan itu, kami tidak mahu ada fans yang kecewa kerana terlepas peluang keemasan ini.”

Bagi pembelian tiket, sila layari myticketempire.com