Ari Lesmana, Enau Yang Mengurai Rasa

Pada malam MANGU di Kuala Lumpur, sebuah konsert yang memberikan momen penuh erti.
Oleh Zurina Waji
“… mendengar mereka membawakan Sesi Potret yang menghantui peminat muzik seawal tahun baru ini, tidak sukar untuk merasakan ketulusan yang disampaikan dan jiwa besar yang mengiringi, memberikan momen mengharukan… “
“LAGU ini tercipta dari kekhuatiran,” terngiang kata-kata Enau mengenai Sesi Potret, sebuah lagu ciptaannya yang menampilkan dia dua bersaudara bersama Ari Lesmana yang juga merupakan vokalis Fourtwnty.
“Lagu ini aku cuba berimaginasi kerana kematian itu sebuah hukum yang pasti. Jadi, lagu ini memang menggambarkan kalau waktunya bila, kita tidak tahu. Cepat atau terlambat, aku secara peribadi juga merasakan lagu ini.”
Kali pertama melihat lelaki berambut kerinting ala 70an ini di Zepp Kuala Lumpur, membuat penampilan istimewanya pada konsert solo abangnya, MANGU di Kuala Lumpur, menjadikan saya senyum sendiri mengira bagaimana dia membawa rambutnya dengan tubuh lidinya itu.
Begitupun, mendengar mereka membawakan Sesi Potret yang menghantui peminat muzik seawal tahun baru ini, tidak sukar untuk merasakan ketulusan yang disampaikan dan jiwa besar yang mengiringi, memberikan momen mengharukan lewat gandingan dua beradik ini.
Jadi manis apabila sang ayah yang setia di belakang pentas memunculkan diri setelah diajak Ari dan Enau, membuat 1,800 audiens yang menghangatkan konsert anjuran Rockstage Entertainment itu ikut bersorak mendengar kelunakan suaranya melantunkan beberapa baris lagu itu.
“Suara kita berdua ini menurun dari ayah,” kata Ari dengan ‘rambut celup’ yang menjadi trademarknya, tampil sederhana dengan kemeja lengan panjang dan jeans, bicara penuh rasa bangga.
BACA: Mana Fans Ari Lesmana? Last Call untuk konsert Mangu!


Harus diakui, malam solo pertama Ari Lesmana di Kuala Lumpur yang turut menghadirkan DJ Firza dan MC Millvrd, selain Enau, membuat rasa bercampur baur. Kehadiran yang dinantikan dijawab dengan 20 lagu, diawali klasik Louis Armstrong, What A Wonderful World yang membuka kepada kepelbagaian dalam penyampaiannya.
Repertoire Ari menyaksikan keupayaannya sebagai seorang penghibur yang turut tidak menghampakan para penggemar yang melihatnya menumbuh bersama Fourtwnty dengan memberikan karya band seperti Zona Aman, Aku Tenang, Fana Merah Jambu, dan Hitam Putih.
Tentunya tidak terbanding apabila anak Riau ini memperdengarkan Mangu yang dirakam bersama Charita Utami, menjadi antara karya yang amat dinantikan, bersandarkan hubungan berbeza pegangan yang mengundang emosi.
Lagu teman seangkatan, sama lunaknya di lidah Ari yang memberikan versinya, daripada karya Dewa 19, iaitu Pupus ke Ada Titik-Titik di Ujung Doa yang dicipta Sal Pariadi sampailah Runtuh yang lebih dulu dibawa Feby Putri dan Fiersa Besari.
Kala Krisdayanti, satu ketika, pernah membuat hati luluh dengan Menghitung Hari, Ari membalas dengan lagu karismatik Anda Perdana, Menghitung Hari 2 yang merupakan sebahagian daripada runut bunyi filem Heart yang menjulang nama Irwansyah dan Acha Septriasa.
Tapi untuk apa hanya sendirian apabila ada saudaramu yang bernama Enau?
Jelas, melayari malam tambah asyik pada setiap kesempatan Enau di pentas, antaranya ketika duo ini membawakan Pagi Yang Gelap yang beridentitik dengan Hujan untuk mencatat detik bermakna, terutama buat fans yang mengerumuni Ari yang turun ke tengah gelanggang.
Menghampiri penghujung malam, luahan rasa Ari dan Enau menerusi Sesi Potret menyapu malam itu dengan ketakutan pada sebuah kehilangan, juga rasa sesal pada momen yang tidak mungkin lagi berulang.
Sederhana, namun menusuk dada, lagu yang paling saya nantikan, malam itu, membawa saya diimbau lagi kepada rasa sebak yang diungkapkan Enau, “Khuatir akan kehilangan orang tersayang itu makin besar kerana kami berdua (dan Ari) merantau, (sedangkan) orang tua jauh, seperti ada kekhuatiran begitu.
“Seperti momen besar begitu, atau seperti Ramadan, Lebaran, takutnya nanti tahu-tahu tidak lengkap lagi. Jadi, (Sesi Potret) tercipta daripada kekhuatiran itu.”
Kerancakan Cincin, sebuah cover Hindia, mengubati sedikit rasa untuk kembali bernafas melihat kehidupan, sekalian menyempurnakan malam MANGU di Kuala Lumpur yang melakar sebuah perjalanan rasa yang imengesahkan kehadiran Ari Lesmana, juga Enau, akan sentiasa dinantikan.




Comments are closed.