Dari Busking ke Showcase Eksklusif, Fajar Noor Menyinar
Menyapa fans di Malaysia bersama album sulungnya, Sementara, Selamanya.

Oleh RUMI

“Indahnya malam intimasi yang dihadiahkan penyanyi ini menerusi Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor, baru ini, juga mengesahkan ini bukan pertama, juga bukan yang terakhir.”

RASA rindu Fajar Noor terbalas sudah. Indahnya malam intimasi yang dihadiahkan penyanyi ini menerusi Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor, baru ini, juga mengesahkan ini bukan pertama, juga bukan yang terakhir.

Kemunculan penyanyi Indonesia ini yang telah mencuri perhatian penggemar muzik lewat album sulungnya, Sementara, Selamanya, memahat momen istimewa bersama lebih 600 fans yang hadir pada persembahan di Aloft Kuala Lumpur Sentral, baru ini.

Ia merupakan kemuncak kunjungan Fajar yang terlebih dulu mendekati fans menerusi promosi di sekitar Kuala Lumpur, termasuk sesi busking di SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang bersama Syamel dan Khai Bahar.

Turut membawakan lagu popular masing-masing, antaranya menerusi gandingan Fajar dan Khai Bahar yang menyanyikan Cukup Sekali yang merupakan lagu Syamel yang kemudian membawakan hit Fajar, Salah Apa Aku.

Ia diikuti persembahan oleh Fajar yang memberikan versinya untuk Luluh, antara hit Khai Bahar.

Dari jalanan ke pentas eksklusif, Fajar menjawab penantian para penggemarnya dengan sebuah persembahan yang penuh emosi, diselang-seli perkongsian kisah di sebalik lagu-lagunya, tentang cinta dan kehilangan hinggalah penyesalan dan rasa yang masih tersisa, sekali gus membuka sisinya yang lebih dekat dan peribadi kepada fans.

Fajar, menerusi kenyataan medianya, menyifatkan peluang untuk bertemu dan membuat persembahan secara langsung di hadapan fans Malaysianya merupakan satu momen yang cukup bermakna.

“Saya mahu berterima kasih buat semua yang datang ke showcase Fajar untuk album pertama, Sementara, Selamanya. Semoga malam itu jadi kenangan kerana kalian adalah kenangan paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” katanya.

Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.