Bila Exists Memento Mori Buat Susah Nak Move On
Pantaslah bilamana penganjuran edisi 2.0, November ini, dikurasi untuk fans dengan “cinta tulen.”

Oleh Zurina Waji | Foto Abdul Razak Latif

“… kalau boleh kita tak nak apabila (fans) rasa lagu ini tak best, lagu ini tak sesuai, lagu ini (mereka) tak tahu… walaupun (fan itu) mungkin satu yang kita hilang, kami tak rela.” – MUSA

“EXISTS tak rela hilang walaupun seorang fan,” kata Musa mengenai alasan band itu melayani permintaan fans Exists pada penganjuran konsert mereka, termasuk dalam penyenaraian lagu yang dibawa.

“Sebenarnya, kalau boleh kita tak nak apabila (fans) rasa lagu ini tak best, lagu ini tak sesuai, lagu ini (mereka) tak tahu… walaupun (fan itu) mungkin satu yang kita hilang, kami tak rela. Sebab kami mahu fans Exists bercambah, makin ramai.

“Jadi, kalau boleh kita tak nak kecewakan walau seorang pun.”

Bakal kembali ke pentas, bertujuh – Along, Ujang dan Ezad, selain Musa, juga Ajai, Shah dan Mamat yang pernah bersama Exists, konsert Memento Mori 2.0 pada November direncana dengan sekitar 30 peratus pembaharuan daripada penganjuran pertamanya, baru ini.

“Kita akan kekalkan dalam 70 ke 80 peratus. Jadi, sekitar 30 peratus itu kita akan twist, pick and choose. Gugurkan (judul) yang ini, masukkan yang itu (berbeza), berdasarkan permintaan fans. Cuma, daripada yang meminta itu, kita dapat pilih satu saja sebab orang lain pun ada pilihan dia.

“Jadi, kita tengok berapa kali orang minta lagu ini, lagu itu, apa tajuk lagu itu. Sebab kita tak nak nanti jadi isu, ‘Eh! Tak fahamlah lagu ini.’ Apa-apa yang jadi, point taken. Kita akan perbaiki, kita akan penuhi, insya-Allah. Tapi tak bolehlah 100 peratus sebab kenalah berbagi juga,” katanya.

Alasan Exists lagi, kata pemain bes itu, adalah bagi memastikan konsert berbaloi dengan pelaburan dibuat fans.

“Tapi kalau bukan pembeli tiket, kita buat tak tahu saja,” ujar Musa dalam nada separa berseloroh. “Kadang, ada orang beri pandangan tapi apabila ditanya datang konsert atau tidak, kata mereka, tak pernah datang. Bagi kita itu cinta palsu.

“Kita nak cinta yang tulen saja. Jadi, fans kita ini cinta yang tulen.”

Exists Memento Mori yang membuat debutnya di Unifi Arena, Bukit Jalil, pada 1 Ogos lalu, mencatat sejarah sebagai konsert solo terbesar dalam tempoh 35 tahun mereka dalam muzik sejak meledak bersama single Untukmu Ibu.

Pada konsert lalu, momen indah diberikan, antaranya oleh Kapal Terbang Kertas apabila arena dihujani ribuan kapal terbang kertas yang membawa audiens kembali ke zaman persekolahan, selain susunan baharu yang diberikan kepada lagu seperti Langkah Seiringan.

Memento Mori, konsert solo terbesar Exists sepanjang 35 tahun penubuhan.

Edisi 2.0 ini, juga dinamakan fans, yang hadir dengan tema warna-warni, dibawakan oleh penganjur sama, ICON Entertainment.

Ajai yang bermain keyboard untuk Exists, selain merupakan komposer dan penyanyi, mengakui edisi 2.0 nanti harus bersandarkan maklum balas fans di media sosial mereka usai konsert yang full house dengan kehadiran 8,000 orang itu.

“Kami kurang bercakap (di pentas), tapi itu pun sudah lebih tiga jam. Tapi fans suka benda itu, paling best kata mereka, tiada medley. Mereka tak nak cakap banyak, terus ‘bagi kami puas menyanyi.’ Maksudnya, buat fans menyanyi.

“Jadi, kami lakukan apa yang mereka inginkan. Perkara sama akan dilakukan pada 2.0 nanti. Kami dah cakap itu hari, kalau boleh tak nak kurangkan lagu, terus berjalan dengan 34 lagu (set list) itu,” katanya pada pertemuan usai sidang media bagi mengumumkan konsert berkenaan.

Ditanya apa yang sebenarnya diinginkan fans Exists, Musa senyum, berkata, “Dia nak kepuasan. Dia nak rasa rindu yang terbalas.”

Ketika Ajai menyifatkan Memento Mori bagai membawa fans kembali ke masa lalu, Ezad mengakui bermacam permintaan yang diterima daripada fans kadang melihatkan mereka seolah tidak pernah puas.

“Begitupun, kami masih bersyukur kerana sekurang-kurangnya kita nampak kepedulian fans. Walaupun kita membuat konsert setiap tahun, terutama akhir-akhir ini, fans masih lagi nak beri kita insipirasi, nak bagi idea dan masih lagi menyokong Exists,” katanya, terharu.

Sempat, Ezad dengan nada lucu, berkongsi, “Ada fans tanya, ‘Boleh tak Exists jangan pilih lagu (sebab) biar kami saja yang pilih, Exists nyanyi saja.’ Tapi tak bolehlah macam itu, kena ambil kira sisi pemuzik, penganjur dan disesuaikan dengan konsep. Masih, syor fans tetap kami ambil.”

Tiket bagi Exists Memento Mori 2.0 mula diual pada 18 Ogos, jam 3pm.

Akses

  • 8 November 2026
  • Unifi Arena, Bukit Jalil
  • 8.30pm

Tiket

  • RN228 (Kapal Terbang Kertas), RM288 (Masih Terselah Ayu Mu), RM328 (Dirantai Digelangi Rindu), RM388 (Rindu Serindu Rindunya), RM428 (Jangan Gentar), RM488 (Janji Padamu) & Couple Seat, RM5,000 (Mengintai Dari Tirai Kamar).
  • Dapatkan tiket di www.ticket2u.com.my/existsMori2