“Biru Mata Hitamku gambaran terbaik perjalanan kami.” – JoBranko

Lagu dengan lirik paling bermakna dalam membicarakan tentang Jo, Mus, Eddie dan Black.
Oleh Zurina Waji | Foto ICON Entertainment
“Biru Mata Hitamku adalah gambaran terbaik perjalanan kami berempat. Kerana liriknya. Tentang bab perjuangan, dikhianati dan kemudian kami tetap melangkah ke depan.” – JoBranko
BIRU Mata Hitamku, menurut pemain gitar terkenal, JoBranko, tidak pernah diniatkan untuk berjalan sejauh ini.
Ujarnya, memikirkan perjalanan yang membawa kepada keraian tiga dekad album terbitan 1996 itu menerusi konsert Biru Mata Hitamku – 30 Tahun Anniversary di Mega Star Arena, Sabtu ini, sudah cukup menakjubkan.
Juga tidak pernah terduga baginya apabila ia menemukan semula mereka berempat, iaitu Mus, Eddie dan Black, selain dirinya, di satu pentas dengan perasaan yang mengimbau penyatuan mereka sebagai Wings, ketika itu.
“Biru Mata Hitamku adalah gambaran terbaik perjalanan kami berempat,” kata Jo, merujuk lagu popular ciptaan Andi Rahman dan lirik Loloq itu yang dijadikan judul album Wings yang ketika itu, menampilkan Mus sebagai vokalis buat pertama kali.
“Kerana liriknya. Tentang bab perjuangan, dikhianati dan kemudian kami tetap melangkah ke depan.”
Mus yang mendengar, menganggukkan kepala, seraya menambah, “Itu album pertama saya bersama mereka, jadi bila sebut Biru Mata Hitamku memang kita sudah nampak gambaran perjalanan itu.
“Kalau lagu lain tak seluas (makna) Biru Mata Hitamku. Semua ada cerita dia di dalam lagu itu.”
Turut menampilkan lagu dengan judul seperti Enigma dan Gegar Gunung Gemora, selain Satu Titik Yang Kosong dan Makam Kekasih yang kedua-duanya merupakan ciptaan Allahyarham JS Kevin, album ini merai trofi Kulit Album Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1997.
“Bila saya buat album, saya tak fikir apa yang saya nak (tapi) saya fikir apa yang saya nak beri orang dengar. Eksperimenlah, sebab kalau boleh kita berkarya ini kita kena bereksperimen. Bagi bandlah, saya bercerita pasal band.
“Kita tidak akan buat benda yang sama setiap kali keluar album, kita mesti ada eksperimen. Paling ketara saya bereksperimen dengan Mus, masa itu suaranya sangat tinggi tapi tiba-tiba keluar lagu Biru Mata Hitamku, dia tampil rileks. Kalau orang sudah suka, orang akan tangkap,” katanya.

Pada pertemuan bersama media semasa sesi latihan akhir mereka, Eddie yang tampil lebih rileks, tidak menafikan debar yang dirasai semakin menghampiri tarikh konsert yang dianjurkan ICON Entertainment itu.
“Ada lagu yang sudah 30 tahun kita memang tidak pernah main. Memang nak kena ingat baliklah, nak kena dengar, ‘Eh, betul ke ni Joe, note dia macam ini?’
“Sebab bila dengar balik album Biru Mata Hitamku, terutamanya, bab bass line dia… masa rakam dulu semasa masih remaja, jadi apabila dengar balik… Alamak! Bergulung tangan nak main,” kata Eddie, sempat berseloroh.
Jo mengakui kira-kira 85 peratus daripada lagu-lagu yang bakal dipersembahkan pada konsert selama kira-kira 190 minit itu, termasuk daripada album terkemudian masih mengekalkan susunan asal.
“Solo (instrumen) sudah tentu kerana konsert rock kena ada benda macam itu. Kadang kita ini bukan nak tunjuk hebat sebab pada kedudukan sekarang kita sudah tidak lagi memikirkan hal itu. Juga bukan nak cakap dia ini bagus, dia itu tidak bagus.
“Pemuzik ini masing-masing ada ‘barang’ sendiri dan bermain solo ini kita buat supaya show nampak menarik. Sama macam susunan lagu, kenapa ada intro, kenapa ada solo di tengahnya kerana memang kena ada cerita, kena ada intro selain beri penyanyi peluang berehat,” katanya.
Berbalik kepada pengaruh Biru Mata Hitamku baik terhadap perjalanan pemuziknya, mahupun para pendengar, Jo menyifatkan kekuatan lirik lagu berkenaan memungkinkan karya itu menjadi malar segar.
“Saya pun ada buat lirik dulu, tapi pernah kena tolak. Kita faham kenapa kena tolak sebab lirik itu penting. Zaman kami, penulis lirik menulis cerita sehingga lirik itu orang boleh buat filem. Bayangkan berapa kuatnya lirik ketika itu.
“Sebab itu, dulu lirik dipanggil senikata. Lirik kena ada seninya, tapi sekarang sudah tiada seni pada lirik itu. Dulu, kata-kata itu ada sesuatu dan apabila dibaca lain orang, lain rasanya. Mutu lirik sekarang dan zaman kami memang jauhlah (beza), lemah. Harap hal ini diambil serius,” katanya.
Untuk mengetahui rahsia Biru Mata Hitamku, raikan ulang tahun ke-30 album itu dengan melayari www.ticket2u.com.my bagi pembelian tiket.






Comments are closed.