Mansur & Liu, dan Satu Imaginasi
Bagaimana kecintaan pada sejarah Melayu membawa Datuk M Nasir ke pentas teater.

Oleh Zurina Waji

“Kriteria dia (sebagai Sultan Mansur) senang saja. Dia (mesti) ada personaliti, ada penampilan yang menarik dan dia bagus menyanyi sebab ini muzikal.

“DIA ada karisma dia.. sebagai sultan,” kata Datuk M Nasir, berpaling ke arah satu sosok yang sedang ditemuramah media, dari jauh sudah kelihatan segaknya dalam persalinan Melayu, siap bertengkolok.

Aliff Aziz. Aktor dan penyanyi kelahiran Singapura itu dinamakan sebagai Sultan Mansur Shah untuk teater muzikal pertama arahannya, Mansur & Liu yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, bermula 10 September ini.

“Sultan ini, kita buat bukan sultan tua, tapi sultan yang muda. Tapi cerita tak bangkitkan pasal baginda (sudah) ada isteri walaupun sebenarnya sudah beristeri. Cerita sultan, dalam cerita hikayatnya sudah ada isteri, dua tiga isteri.

“Raden Galoh (Galoh Cendera Kirana dari Majapahit) pun baginda ada, kemudian ada lagi satu dan selepas itu, barulah baginda berkahwin dengan puteri China. Tapi itu hikayatlah dan hikayat itu pun hikayat, bukan sejarah, bukan fakta,” katanya.

Sudah ditakdirkan, barangkali, Aliff yang masih diselimuti kontroversi juga pertama kali membabitkan diri dalam teater. Seperti juga Melinda Dadew, graduan muzik yang memegang watak Puteri Liu dari China.

“Semua orang (pilihan) pertama, tapi mereka datang lambat,” kata komposer dan penyanyi ini, separa berseloroh, apabila ditanya apakah Aliff merupakan pilihan terakhir setelah produksi dikatakan masih membuat uji bakat sehingga ke saat akhir.

“Kriteria dia (sebagai Sultan Mansur) senang saja. Dia (mesti) ada personaliti, ada penampilan yang menarik dan dia bagus menyanyi sebab ini muzikal. Kita semua sudah tengok pelbagai aspek dalam bakat mereka, jadi kita kena putuskan.”

Begitupun, dia mengakui Aliff sememangnya sudah berada dalam benaknya apabila dia mula membangunkan watak-watak sejarah dalam sebuah kisah yang merupakan cuplikan daripada  Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) tulisan Tun Sri Lanang.

Satu kisah pendek, membabitkan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, yang dibacanya telah memutikkan idea seawal 2019. Impiannya itu, bagaimanapun tertangguh, antaranya berikutan dunia dilanda wabak Covid-19.

LAKARAN UNTUK MANSUR & LIU

M Nasir yang juga digelar Sifu ini, ketawa apabila ditanya mungkinkah impian untuk mengarah teater muzikal itu menjadi sebahagian daripada doanya ketika berada di Mekah, sebelum ini, apabila sempat menyiapkan lakaran sebagai papan cerita untuk Mansur & Liu.

“Semasa duduk di hotel di Mekah, ada ketikanya perlu menunggu lama, jadi saya isi masa dengan buat lakaran. Nak tengok TV pun bukannya ada,” katanya, teruja kembali ke dunia teater dan mencabar dirinya yang belum lama meraikan ulang tahunnya yang ke-69 sebagai pengarah. 

Berdurasi selama 180 minit, Mansur & Liu, bagaimanapun tidak sekadar mengisahkan pertemuan antara baginda Sultan Melaka dan puteri dari Dinasti Ming itu. Ia bahkan menyingkap sebuah zaman yang menyaksikan diplomasi mengatasi sengketa, kebijaksanaan mengatasi kekuatan dan kasih merapatkan dua empayar yang dipisahkan oleh lautan.

Ditanya sejauh mana dia menikmati proses bagi mementaskan karya seumpama itu, M Nasir yang mengakui cenderung pada bahan bacaan berkaitan sejarah Melayu, menjawab, “Ia mencipta satu imaginasi.

“Itu satu-satunya karya seumpama itu, daripada zaman itu. Orang Melayu ada beberapa karya saja seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Raja-Raja Melayu, Hikayat Raja-Raja Bugis, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah…

“Ada beberapa, kurang daripada 10, kurang mengenai orang Melayu tulis pasal diri mereka. Seperti Sulalatus Salatin, tapi itu pun ditulis pada kurun ke-17. Bukan di kurun, pada zaman itu sendiri.”

Mansur & Liu diterbitkan oleh Roman Abadi dengan kolaborasi ICON Entertainment.

Turut ditampilkan Amerul Affendi sebagai Datuk Syahbandar, Brian Chan (Lin Hao), Hazama (Somdet Phra), Arena Wan (Tun Seri Anem), Taqim Zaki (Tun Perpatih), Sherry Alhadad (Fang), dan Fiza Thomas (Ying).

Juga Ruzana Ibrahim yang berperanan sebagai Tun Ratna Kenchan, Taufiq Izmir (Datuk Laksmana), Marzuki Noh (Bendahara Muda Diraja), Shahrul Mizad (Syed Al Yusuf), Anas Ridzuan (Temenggung/ Awang/ Maharaja China), dan Fadhli Masoot (Penghulu Bendahari/ Kechik).

“Tapi saya tetap sukakan lama punya muzikal yang ada lagu hits macam Les Miserables, Phantom of the Opera… semua itu sudah ada lagu sedap. Saya cuba untuk buat lagu yag sedap… “

1 MUZIKAL, 30 LAGU BAHARU

Pementasan ini jelas mengujakan M Nasir yang turut mempersiapkan kira-kira 30 lagu baharu yang disifatkannya merangkumi pelbagai genre, iaitu “elemen tradisi ada. Moden pun ada. Malah rockish pun ada.”

Ditanya mengenai penghasilan lagu-lagu berkenaan yang “idea mengalir, mudah saja”, dia mengakui antara rujukannya ialah teater muzikal, terutamanya yang dipentaskan di Broadway dan West End.

“Serius punya muzikal, Broadway atau West End sana. Tapi berdasarkan pada muzik pop saya tengok di sana, muzikal The Devil’s Wear Prada, mereka pakai lagu Elton John, tak sedaplah lagu-lagu dia, sebab lagu-lagu baharu dibuat stail lama. Rock n Roll tahun 70an, tapi The Devil’s Wear Prada punya cerita.

“Saya tak berapa suka muzik dia itu, tapi sudah tentu produksinya sangat baguslah. Jadi, kita belajar pendekatan itu. Tapi saya tetap sukakan lama punya muzikal yang ada lagu hits macam Les Miserables, Phantom of the Opera… semua itu sudah ada lagu sedap.

“Saya cuba untuk buat lagu yag sedap, cuma kita tiada peluang untuk promosikan lagu itu dulu,” katanya, sambil berharap agar Mansur & Liu dapat mewujudkan satu momentum baharu, terutama dalam dunia pementasan tanah air. 

“Insya-Allah, kalau buat dengan betul. Semangat kita tinggi, cuma kerana saya nak buat ini (teater muzikal) sudah lama. Pada masa itu, orang tak terfikir untuk buat (tentang Sultan Mansur dan Puteri Liu).

“Sifat dia ada periode punya karya, epik punya periode. Jadi, buatnya nak kena berhati-hati. Kalau saya tidak terfikir pasal ini, saya nak buat muzikal yang moden yang lebih canggihlah. Tapi yang kita buat ini pun canggih, daripada segi teknikalnya canggih. Kita bermula ini pun besar,” jelasnya.

Teater Muzikal Mansur & Liu akan dipentaskan sehingga 20 September ini. Sila layari www.ticket2u.com.my untuk pembelian tiket pada harga serendah RM88.