Cinta dan Serakah, Mansur & Liu Sempurna Dalam Ketidaksempurnaan
Menerawang bersama Datuk M Nasir yang memberikan lebih daripada sebuah imaginasi.

Oleh Zurina Waji | Foto Bangsawan Pictures

“Reputasi M Nasir sebagai komposer tentunya membibitkan kerinduan untuk mendengar karya baharunya selepas sekian lama. Soalnya, apakah Sang Sifu masih memiliki sentuhan Midas itu?”

“SAYA agak, ketika itu, ada berapa peratus (saja) orang Melayu yang boleh menulis,” kata Datuk M Nasir, membentangkan logikanya berhubung kurangnya penulisan orang Melayu dulu mengenai diri mereka sendiri.

Itu diungkap sekitar dua bulan sebelum Mansur & Liu ke Istana Budaya yang membuat saya menantikan pementasan teater muzikal pertama arahannya itu, apatah lagi naskah yang sedikit, termasuk Hikayat Raja Pasai dan Hikayat Hang Tuah, mencabarnya untuk berpaut pada imaginasi.

Enggan berdebat, saya lebih memikirkan pementasan yang merupakan cuplikan daripada Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), tentang Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu daripada Dinasti Ming, China, juga bermakna peluang meneroka bersama pemikiran M Nasir sebagai tukang karut.

Cuma, apakah imaginasi M Nasir bakal membuat menerawang atau sebaliknya?

Bayangan keserakahan menyambut audiens seawal pembukaan Mansur & Liu menerusi kemunculan Amerul Affendi sebagai Datuk Syahbandar yang mengundang lucu, awalnya, namun meniupkan kegelapan pada penceritaan dengan penampilan penari yang serba hitam sebagai perlambagan.

Babak itu segera menguit rasa ingin tahu, ke mana cerita yang banyaknya mengambil suasana Kerajaan Melaka pada abad ke-15 yang dicorakkan berdasarkan watak-watak sejarah daripada tulisan Tun Sri Lanang itu akan dibawa.

BACA: Mansur & Liu, dan Satu Imaginasi

TENTANG CINTA

Juga kerana ini adalah sebuah teater muzikal, sudah tentu 30 lagu baharu dan skor muzik, atau lebih sedikit, yang dipersiapkan M Nasir menambah keterujaan terhadap pementasan terbitan Roman Abadi dengan kolaborasi ICON Entertainment itu yang sempat mengundang skeptikal susulan pemilihan aktor dan penyanyi, Alif Aziz sebagai Sultan Mansur Shah.

Reputasi M Nasir sebagai komposer tentunya membibitkan kerinduan untuk mendengar karya baharunya selepas satu tempoh yang agak lama. Soalnya, apakah Sang Sifu masih memiliki sentuhan Midas itu?

Satu yang jelas, pada usia 69 tahun, M Nasir kembali ke dunia teater, bukan sebagai pelakon, tapi untuk mengarah. Juga, 30 tahun selepas Merah mencatat namanya sebagai pengarah filem, pertama kali. Jadi, mungkinkah Mansur & Liu mencetuskan satu momentum baharu kelak dalam dunia seni pementasan tanah air?

Kerana kata M Nasir, Alif sudah berada dalam benaknya sejak awal, sudah tentu saya menantikan kemunculannya, apakah benar bakat asal Singapura itu memiliki karisma sebagai Sultan, selain suara yang jelas menjadi kelebihannya.

Segak. Aliff memang tampak segak dalam persalinan Melayu, siap bertengkolok, tampil meyakinkan sebagai pemegang takhta Kesultanan Melayu Melaka yang sedang menempuh zaman kegemilangannya.

Baru pertama kali ke pentas teater, dia berusaha menghidupkan karakter, mempamer kematangan dan kewibawaan sebagai seorang pemimpin yang berdepan ujian daripada soal perempuan, kekuasaan hinggalah pengkhianatan, bagai membiaskan suasana politik hari ini.

Tak hanya Alif, keyakinan M Nasir turut menyaksikan Melinda Dadew diserahkan watak sebesar Puteri Liu yang turut menuntutnya untuk berbahasa Mandarin. Suara dimiliki graduan muzik ini jadi kelebihan, menjentikkan bermacam emosi dalam gemersiknya, sekali gus mematikan apa jua prasangka.

Ikut meraih perhatian, Tun Seri Anem dan kenaifannya yang diberikan pendatang baru, Arena Wan, yang tersungkur setelah cinta bertepuk sebelah tangan kepada baginda Sultan diperalatkan musuh dalam selimut yang memberi plot twist penceritaan yang dicetuskan kerakusan Syahbandar.

Saya jadi teringat babak sulaman pada sapu tangan oleh Tun Seri Anem, antara kiasan indah orang Melayu, sebagai tanda cinta buat Sultan yang bagaimanapun memandangnya tidak lebih daripada seorang adik.

Cinta juga boleh membuat akal tidak terpakai. Cubaan gagal Tun Seri Anem untuk memikat hati Sultan yang dilihat sebagai bibit kemusnahan impian sang anak melukakan hati Tun Ratna Kenchana yang menyerlahkan Ruzana Ibrahim sebagai pelakon yang berpengalaman.

Saya terkesan dengan kekuatan monolog Tun Ratna sebagai ibu dan wanita, barangkali demi survival di istana, menghibakan apabila didedahkan akhirnya sebagai perencana untuk menepikan Puteri Liu sehingga Sultan yang sebaliknya diracun.

“…spektakularnya Mansur & Liu itu, menurut saya, banyak berdiri atas gahnya set rekaan Yusman Mokhtar, daripada gambaran armada kapal sehinggalah babak perang, dan keindahan kehidupan istana, misalnya, juga kemewahan puluhan kostum, hasil sentuhan Naz Manterang… “

MOMEN YANG TERCIPTA

Bukan saja Ruzana, Mansur & Liu sebetulnya turut membuat saya melihat pelakon seperti Anas Ridzuan yang memegang watak Temenggung, Awang dan Maharja China dengan pandangan berbeza.

Saya senyum sendiri dengan babak sinikal Tun Perpatih, lakonan Taqim Zaki, yang membawakan “air basuhan kaki Sultan Mansur” sebagai penawar penyakit Maharaja China yang mungkin saja halus membicarakan bezanya ketinggian maqam Sultan yang berdaulat.

Momen paling diingati, tentunya humor yang disuntik Anas pada watak Maharaja Chinanya, siap dengan pelat Cina, dari saat suara mengerangnya di sebalik tabir sehinggalah apabila Raja Dah Sembuh diperdengarkan yang menurut saya, lagu paling menarik dicipta M Nasir untuk malam itu yang mengingatkan saya pada intensiti The Small House of Thomas dalam muzikal The King and I.

M Nasir, dalam pertemuan dengan media, kemudiannya juga sependapat mengenai kekuatan lagu berkenaan dan mengakui karyanya itu yang membawa pengaruh muzik Cina itu disiapkannya dengan cepat sekali.

“Saya dah nampak raja dia macam mana, tiba-tiba keluar saja (idea),” katanya, ketawa. “Tapi dia juga dijadikan bahan dia itu, bahan muzik itu. Saya memang menggemari muzik Cina sejak kecil sebab komuniti semasa saya duduk di flat saya dulu di Singapura banyak bercampur dengan kaum Cina.”

Kejutan manis, barangkali, apabila mendengar kelunakan suara Brian Chan yang memegang peranan Laksamana Lin Hao. Saya menyukai kelembutan dalam nadanya, terasa seperti hatinya sedang menangis, setelah datang perintah Diraja untuk dia menghantar Puteri Liu, gadis yang dicintainya, sebagai kurniaan buat Sultan Melaka.

Juga Fiza Thomas yang ditampilkan sebagai Ying, iaitu dayang istana China bersama Sherry Al Hadad (Fang), dengan kejelasan lontaran suaranya, hairan kenapa saya boleh tidak menyedari bakat sehebat itu. Seperti juga Hazama yang mencabar dirinya sebagai si antagonis, Somdet Phra.

Kerendahan hati produksi ini yang jelas dalam kalangan para pemerannya, juga antara yang mengundang rasa senang pada pementasan yang berakhir pada 20 September lalu itu yang turut dibintangi Taufiq izmir (Datuk Laksamana), Marzuki Noh (Bendahara Muda Diraja), Shahrul Mizad (Syed Al Yusuf) dan Fadhli Masoot (Penghulu Bendahari/ Kechik).

Tapi apa yang membuat mulut saya ternganga?

Spektakularnya Mansur & Liu itu, menurut saya, banyak berdiri atas gahnya set rekaan Yusman Mokhtar, daripada gambaran armada kapal sehinggalah babak perang, dan keindahan kehidupan istana, misalnya, juga kemewahan puluhan kostum, hasil sentuhan Naz Manterang yang menyulam kehalusan seni Melayu dan Cina, serta Siam menerusi rekaannya.

Cuma apakah Mansur & Liu sempurna?

Sebetulnya, ada beberapa hal yang saya ingin lihat, misalnya untuk Melinda lebih lembut dalam langkah, mahu pun lenggok bicaranya. Juga, untuk M Nasir membawa audiensnya dibuai lebih ke dalam rasa cinta antara Sultan Mansur dan Puteri Liu, atau kelukaan k Lin Hao di sebalik kesetiaan pada sang Raja.

Namun, seperti kata seorang teman, adakah saya menikmatinya? Selepas sekian lama, harus saya akui, di dalam ketidaksempurnaan itu, Mansur & Liu masih berupaya membuat saya menerawang bersama rindu yang menghambat. Cukup.