KUDRAT 1968 Bukan Cuma Mengulang Dunia High Council
Sebuah prekuel yang membawa persoalan sistem dan jurang di antara kelas.

Oleh RUMI

Council, tetapi turut mengangkat naratif yang lebih dekat dengan realiti. iaitu tentang jurang di antara kelas dalam sesebuah sistem.” – Penerbit, Raja Jastina Raja Arshad

“KUDRAT 1968: High Council bukan sekadar membawa audiens kembali kepada permulaan High

“TAHUN 1968 dipilih kerana ia mencerminkan sebuah negara yang masih muda, sedang mencari identiti serta berdepan dengan pelbagai perubahan dan ketegangan,” kata  Zulaikha Zakaria mengenai naskah terbaru arahannya, KUDRAT 1968: High Council.

“Jadi, latar ini membentuk sistem, budaya dan legasi dalam KUDRAT.”

Prekuel ini diteruskan dengan kemunculan Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith yang diumumkan Astro Shaw, sebelum ini, sebagai penyambung legasi francais popular ini.

Ia dikatakan bukan saja mencetuskan gelombang spekulasi dalam kalangan penonton dan peminat apabila pelbagai teori mula muncul tentang bagaimana kisah ini akan membentuk permulaan dunia High Council serta merungkai hubungan di antara setiap watak.

Ujar Zulaikha, KUDRAT 1968 merupakan karya fiksyen yang mengutamakan hiburan, namun tetap membawa naratif yang mendalam dan dekat dengan realiti, antaranya dengan meminjam elemen sejarah dan suasana sosial Malaysia.

“Dari segi hala tuju kreatif, kami ingin mengangkat skala KUDRAT ke tahap lebih tinggi melalui pendekatan visual yang lebih berani dan kreatif, tanpa mengorbankan emosi dan konflik yang dekat dengan audiens.

“Pada masa yang sama, DNA High Council tetap dikekalkan. Kami berharap KUDRAT bukan sekadar mengulang dunia High Council, tetapi berkembang dengan identiti dan bahasa tersendiri,” katanya.

Ia diterbitkan oleh Astro Shaw bersama rakan penerbit ZAK Capital, Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, HM Entertainment dan GSC. Manakala produksi oleh PASAL Productions, di samping kolaborasi strategik bresama jenama fesyen tempatan., Christy Ng.

KUDRAT 1968 membentangkan kesemua persoalan untulk dijawab sejak 11 September lalu, menerusi siri premium Astro Originals dengan empat episod sebelum filem berada di pawagam di seluruh Malaysia tahun ini.

Kenyataan medianya menyebut, buat pertama kalinya di Malaysia, audiens diperkenalkan dengan pendekatan baharu, satu cerita dua format. Perancangan dan penggambaran siri, serta filem  dilakukan dalam satu tempoh yang sama, begitu juga dengan tempoh tayangan yang berterusan.

Strategi ini bukan sahaja menawarkan pengalaman penceritaan yang lebih meluas kepada audiens, malah memperkenalkan satu rangka pemasaran baharu dengan siri berperanan sebagai medium untuk membina keterujaan, memperkenalkan dunia cerita serta mendekatkan audiens sebelum pengalaman sinematik filem KUDRAT 1968 : High Council di pawagam.

Siri ini turut dibintangi Zamarul Hisham, Nabila Huda, Datuk Seri Eizlan Yusof, Aziz M. Osman, Aleza Shadan, Yasmin Hani, Rusdi Ramli, Muzayyin Mahyuddin, Johnny Gillett, Jebat Zulfar, Balkisyh Semundur Khan, Umar Shakur, Nix Wong, Mokhtar Mohsin, dan Zarul Zaidee.

Penerbit Eksekutif KUDRAT 1968: High Council merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata penghasilan siri berkenaan turut membantu memperkukuhkan jenama High Council.

“KUDRAT 1968: High Council bukan sekadar membawa audiens kembali kepada permulaan High Council, tetapi turut mengangkat naratif yang lebih dekat dengan realiti. iaitu tentang jurang di antara kelas dalam sesebuah sistem.

“Kami percaya jurang ini wujud di mana-mana, dan melalui penceritaan ini, kami ingin membuka ruang refleksi terhadap bagaimana struktur sebegini membentuk identiti, pilihan dan konflik dalam kehidupan,” katanya.

Saksikan sendiri bagaimana kewujudan High Council ini tercipta menerusi KUDRAT1968: HighCouncil di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108) setiap Jumaat, jam 9.00 malam. Atau tonton episod lebih awal pada jam 12 tengah malam melalui Sooka atau Astro X3.