Dari Naykilla ke Hindia, dan The Alif, Ultra Kalcer Malaysia 2026 Hangat
Lewat festival yang menghimpunkan 19 artis antara yang terbaik dari Malaysia dan Indonesia.

Oleh RUMI

“… bangga dapat bersama meraikan Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang menampilkan barisan 19 pemuzik terbaik dari dua negara serumpun itu.”

SEMBILAN belas pemuzik terkenal Malaysia dan Indonesia akan berkampung di KL Festival Park selama dua hari, bermula 7 November nanti, bagi memeriahkan penganjuran Ultra Kalcer Malaysia 2026.

Dianjurkan oleh Neptune Presents, gabungan artis daripada pelbagai genre, termasuk pop hingga ke hipdut itu bakal menjadikan festival berkenaan antara acara muzik terbesar di negara ini, tahun ini.

Penganjur, baru ini, mengesahkan kehadiran antara penyanyi wanita terkenal Indonesia, seperti pelantun Menghitung Hari, Kris Dayanti, dan Naykilla yang sedang hit dengan MMG (My Mine Gueh).

Juga diterbangkan khas dari Indonesia ialah Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Moring Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights.

Manakala Malaysia akan menampilkan Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo.

Nabila Huda Suhaimi yang mewakili penganjur, berkata kerana itu, acara berkenaan diadakan di tempat terbuka, KL Festival Park yang boleh memuatkan lebih 20,000 penonton pada satu-satu masa.

“Kenapa KL Festival Park? Kerana lokasinya yang strategik, terutama untuk penganjuran festival sebesar ini.

“Pada masa sama, KL Festival Park juga dapat memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana mampu memuatkan lebih 20,000 penonton pada satu-satu masa,” katanya pada sidang media, baru ini.

Turut hadir daripada Neptune Presents ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Izwan Johar; Ketua Pegawai Operasi, Fizzany Adnan, dan Pengarah Projek, Shamil Yusof.

Merujuk senarai artis yang bakal membuat persembahan, ujar Nabila lagi, pihaknya bangga dapat bersama meraikan Ultra Kalcer Malaysia 2026 yang menampilkan barisan 19 pemuzik terbaik dari dua negara serumpun itu.

“Kerana lagu nyanyian artis ini juga menduduki carta muzik teratas dan mendapat tempat di hati peminat kedua-dua negara,” katanya mengenai kriteria pemilihan artis, selain merupakan antara nama hebat dalam industri muzik.

Akses

  • 7 & 8 November 2026
  • KL Festival Park

Tiket