Salam Terakhir Sudirman
Saodah akhirnya menulis kisah Sudirman, 27 tahun selepas pemergiannya
Bukan cuma cerita budak kampung, naskah Sudirman Yang Ku Kenali nyata tidak mudah untuk diselesaikan.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid, koleksi Saodah Ismail dan Intan Arshad
“BUKAN buku yang senang nak ditulis,” kata Saodah Ismail yang menghamparkan pengkisahan seorang bintang yang dikenali sebagai Sudirman ini.
“Sebab macam yang saya sering katakan, ia mengenai seorang kawan,” katanya lagi, merujuk Sudirman Yang Ku Kenali itu, naskah bersampul tona hitam putih yang diperkemas dengan judul dalam cetakan emas. “Kita takut silap. Kalau musuh atau orang kita tidak suka, senang (menulis) tambahan dia sudah tiada.
“Ini susah sebab kita jadi sedih. Jadi sentimental, kenang balik semua momen itu.”
Siapa tidak kenal Sudirman? Penyanyi legenda bertubuh kecil dengan wajah agak keCinaan. Orangnya bergaya, sering diingati dengan celana gelobos atau rambut ala Superman yang bercangkuk S dan berjuntai di dahi.
Seorang budiman, diserlahkan dengan penampilan kemas, biasanya mengenakan sut dan sering, dipadan dengan topi dan kaca mata hitam. Dia tampak yakin, biarpun dalam sut serba kuning seperti yang pernah dirakam lewat satu persembahan pada tahun 80an.
Juga, bukan saja-saja apabila dia digelar Penghibur No.1 Asia, takhta yang masih dilihat utuh miliknya.
Sungguh bukan peminat tegar Sudirman, saya sudah lama menantikan buku mengenainya oleh Saodah, antara wartawan yang akrab dengan penyanyi itu, dan merupakan senior saya semasa kami sama-sama bertugas di akhbar Harian Metro pada tahun 90an.
“Ia membuat saya mengimbau memori lalu yang menyentuh perasaan,” katanya yang akhirnya beroleh kekuatan untuk menulis atas dorongan suami. “Apabila saya tulis pasal konsert (Sudirman) di Chow Kit, macam saya masuk balik ke saat itu. Macam terdengar suara orang ramai jerit panggil dia, seolah nampak balik visual lautan manusia dan dia menaiki forklift, seperti saya masuk kembali ke terowong masa.”
Saya tidak pernah berpeluang menemubual Sudirman dan pengalaman bersama legenda itu banyak dikongsi Saodah yang saya teriak “Kak Oda” kerana kami duduk di meja berdekatan. Saya hanya seorang wartawan rookie apabila akhbar kami, ketika itu berjaya mendapatkan skop berita kematian penghibur itu pada Februari 1992.
“… ditulis dari hati.” Saodah dan Sudirman
“Sudirman Sudah Mati.” Dan tajuk muka depan itu mengakhiri berbulan spekulasi mengenai kehilangannya.
Ya, Sudirman mati muda dan saya hanya dapat mengagak kesukaran yang dihadapi Saodah untuk menulis walau sesudah 27 tahun pemergiannya. Ia bukan hanya cerita persahabatan antara seorang wartawan hiburan dan seorang selebriti berpengaruh, malah menjawab spekulasi termasuk tohmahan yang sudah terlalu lama berlegar.
Saodah menulis daripada perspektifnya, selain memuatkan temubual bersama beberapa indvidu, antaranya penulis lirik, Habsah Hasan; mantan setiausahanya, Intan Zabidin dan pengurus, Dharanee yang akrab dengan penyanyi yang dijoloki The Singing Lawyer itu.
Juara Bintang RTM 1976 itu sudah pun punya album apabila dia yang juga pemegang ijazah undang-undang daripada Universiti Malaya ditauliahkan sebagai peguam pada Disember 1983 selepas lapan bulan menjalani latihan di sebuah firma guaman.
Saodah (kiri) bersama Noor Kumalasari (tengah) yang persis wanita dicintai Sudirman (kanan)
Saya dapat merasakan emosi Saodah, juga bebanan perasaan yang ditanggungnya sepanjang menyiapkan buku ini. Katanya kepada saya, “Memang buku ini ditulis dari hati”, namun saya merasai masih banyak yang tidak diceritakan kerana ada garis yang barangkali tidak boleh dilangkau.
Di sebalik populariti, glamor dan pencapaian yang dicipta Sudirman, buku ini mendedahkan lipatan hidup sebenarnya yang penuh kesedihan itu. Saya merasakan bahawa watak badut dengan gaya ala Charlie Chaplin yang sering diperlihatkannya, hanya menutupi episod sedih yang berakar di jiwanya.
Saya mencongak bahawa bukan hanya pneumonia yang menyebabkan kematiannya, tapi sebahagiannya didorong kesedihan yang akhirnya, memakan diri. “Ya, dia begitulah. Lilin,” kata Saodah dalam satu perbualan kami, mengimbau bagaimana dia juga merasai lagu Send In the Clown yang dinyanyikan Sudirman, sambil bersolek dan berpakaian persis Chaplin, adalah refleksi dirinya.
Ini adalah cerita seorang lelaki yang terlalui mencintai seorang wanita, dalam perihal ini adalah Kay, satu-satunya suri yang pernah bertakhta di hatinya. Sudirman, bagi saya adalah seorang yang kesepian, menyebabkan perasaan saya berbolak balik antara simpati dan ngeri.“Cinta dibawa hingga mati,” kata Saodah apabila saya memberitahunya begitu.
Kay, satu-satunya yang bertakhta di hati Sudirman. Foto persandingan disiarkan majalah Alam Wanita.
Separuh jalan buku dibaca, saya memilih untuk mendengar kembali koleksi lagu Sudirman dan segera diingatkan bahawa anak kelahiran Temerloh, Pahang itu cukup berbakat terutama lenggok yang diberikan lewat lagu-lagu Melayu Deli.
Ada masanya, saya ikut merasa kecelaruan Sudirman kerana di sebalik gambarannya sebagai seorang perfectionist, anehnya dia juga berdepan soal keyakinan diri yang rendah. Sukar untuk saya melihat bagaimana itu mungkin berlaku, namun saya hanya dapat meneka konflik dalaman menyebabkan dia berdepan peperangan paling getir di jiwanya.
Dan buku ini seolah mahu meletakkan nokhtah pada segala fitnah yang menyusuli pemergiannya – daripada gosipnya menagih dadah hinggalahlah kematiannya yang dikaitkan dengan Aids. Juga khabar mengenai penyakit misterinya yang dikatakan berpunca daripada ilmu sihir. Benarkah?
Sejujurnya, pengkisahan dalam Sudirman Yang Ku Kenali hanya permulaan kepada banyak lagi misteri yang menyelubungi kehidupan bintang berkeperibadian tinggi ini. Di satu sisi, saya mengagumi insan bernama Sudirman ini namun pada sisi yang lain, ada rasa kesal.
Saya mendengar semula Merisik Khabar, mengingati matanya yang bergenang di satu persembahan dan hati sebak mendengar kepedihan pada bait-bait yang dinukilkan Habsah:
“Terkapar-kapar ku kelemasan
Sakit dilambung ombak kerinduan
Di dalam tidur, di dalam jaga
Diburu oleh mimpi yang serupa
Mengapa aku jadi tidak menentu
Kerana mu
Ku menyusuri jalan berliku
Membiarkan hari-hari berlalu
Tiada salam, tiada pesan
Memaksa diri untuk melupakan
Namun wajahmu bermain di mata, tiap waktu.”
Awalnya, saya merasa buku ini tidak memberi kepuasan yang saya harapkan, barangkali kerana teori-teori yang tidak jelas. Tapi mungkin sebaiknya persoalan atau rahsia, sekiranya ada, biarlah berkubur bersama tuan empunya badan kerana memang ada sesetengah perkara perlu dilepaskan oleh manusia dan persoalan yang ada biar kekal misteri, selamanya.
Cukuplah saya kira, sama ada anda penggemar Sudirman atau bukan, adanya naskah Sudirman Yang Ku Kenali ini yang dapat menegakkan keadilan dengan memperbetulkan prasangka, sekaligus meletak insan bernama Sudirman Haji Arshad ini di tempat yang sepatutnya iaitu di dalam doa kita.